Remaja lelaki cedera tangan tersepit mesin pengisar daging - Utusan Malaysia

Remaja lelaki cedera tangan tersepit mesin pengisar daging

SEORANG remaja lelaki Orang Asli cedera selepas tangan kanannya tersepit mesin pengisar daging di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham 10, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang remaja lelaki Orang Asli berdepan detik cemas apabila tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham 10, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 4.41 petang.

Katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa yang berusia 19 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setibanya jentera di lokasi, didapati tangan kanan mangsa masih tersepit di dalam mesin pengisar daging, namun mangsa masih sedar.

“Ketua operasi kemudiannya memohon bantuan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi untuk memberikan bius pada tangan mangsa kerana mangsa mengalami kesakitan ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi menyelamat dilakukan menggunakan konsep SAVER dengan anggota memisahkan dan memotong bahagian mesin berkenaan menggunakan peralatan khas.

“Kerja-kerja memotong mesin dilakukan sehingga ke bahagian acuan mata pengisar namun tangan kanan mangsa masih gagal dikeluarkan kerana acuan mata pengisar diperbuat daripada keluli tahan karat.

“Keadaan mangsa yang semakin lemah turut menyebabkan operasi menyelamat dihentikan dan perbincangan dibuat bersama pasukan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, setelah perbincangan dijalankan, mangsa dibawa ke HRPB untuk rawatan selanjutnya oleh pihak hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×