Tolak politik kotor semasa kempen

Tolak politik kotor semasa kempen

MENJADI tanggungjawab warganegara yang layak mengundi memilih pemimpin dalam PRN akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUBARAN Parlimen, kelmarin menyaksikan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak berapa lama lagi. Rakyat kini diberikan semula mandat dalam memilih pemimpin serta kerajaan baharu yang bakal memerintah negara.

Beberapa fasa semestinya akan dilalui menjelang PRU ini termasuk penetapan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Berdasarkan Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menetapkan PRU mestilah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen.

Kempen politik pilihan raya secara amnya dijalankan dalam usaha mempromosikan manifesto yang dibawa sekiranya sesuatu parti mencapai kemenangan. Dalam kempen ini, sesebuah parti yang bakal bertanding semestinya mempunyai strategi tersendiri dalam menarik minat pengundi termasuk dari segi manifesto iaitu janji-janji yang akan dipenuhi sekiranya dipilih, calon ingin diketengahkan sama ada seseorang dikenali penduduk setempat serta mempunyai kelayakan pendidikan tinggi, di samping strategi tambahan lain misalnya penggunaan media sosial dalam promosi bagi mendekati golongan muda.

Isu yang kerap kali berlaku adalah wujudnya unsur-unsur politik kotor dalam proses kempen. Contohnya, fitnah iaitu berita palsu dan cerita tidak benar berkenaan pemimpin lawan, isu-isu semasa yang dimanipulasikan secara tidak bertanggungjawab, aktiviti membeli undi, sabotaj bahan media parti lawan serta lain-lain lagi bentuk politik tidak sihat. Perkara ini wajar dibendung dan ditolak secara habis-habisan bagi mengelak berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat di samping menimbulkan lagi kebencian dalam diri rakyat terhadap politik.

Penggunaan media dan komunikasi termasuk media sosial dalam kem­pen politik wajar dimaksimumkan secara baik dan sihat. Fakta benar, manifesto relevan dan berpotensi untuk dipenuhi serta kaedah menarik pengundi secara baik yang harus diaplikasikan. De­ngan cara ini, rakyat akan lebih menghormati pemimpin politik di samping menjunjung tinggi sistem demokrasi di negara ini. – UTUSAN

DR. Mohamad Hafifi Jamri ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Komunikasi & Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×