MUKADIMAH
TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 menyaksikan perkembangan baharu dalam dunia seni. Ini termasuk aktiviti jualan hasil seni melalui token tidak sepiawai (NFT) yang menjadi bualan orang ramai. Malah aktiviti yang kini menjadi fenomena dalam kalangan penggiat seni itu berjaya dinobat sebagai Word Of The Year 2021.
Bagi Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, AMERRUDIN AHMAD, Malaysia banyak melahirkan anak seni tempatan yang berjaya meraih keuntungan besar menerusi karya NFT. Jadi, menurutnya, platform itu berjaya mengembangkan sumber pendapatan mereka selain berjaya memperkenalkan seni budaya tempatan kepada dunia.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan MARLLISA ANTTONY di pejabatnya baru-baru ini, beliau percaya platform jual beli karya secara alam maya itu tidak menggugat karya seni fizikal ekoran ia masih ada permintaan daripada peminat seni.
UTUSAN: Perkembangan jumlah pelawat ke Balai Seni Negara selepas pembukaan semula?
AMERRUDIN: Amat memberangsangkan lebih-lebih lagi dengan pendekatan IR4.0 (Revolusi Perindustrian Keempat). Kita bagi keutamaan kepada pelawat dengan memastikan keselesaan, informasi dan pengalaman yang baik sepanjang tempoh lawatan.
Malaysia satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menyediakan ruang bagi membolehkan pelawat melihat hospitaliti yang ada. Kita menyediakan dinding kaca dan lorong khas bagi pelawat melihat cara-cara kita menyimpan koleksi seni. Pelawat juga dapat melihat kerja-kerja konservasi dalam bilik yang disediakan. Secara langsung mereka boleh belajar bagaimana sesebuah hasil seni dipelihara.
Terbaharu, kita memperkenalkan media baharu iaitu karya seni menggunakan teknologi.
Biasanya yang datang ke sini adalah mereka berusia bawah 40 tahun yang mahukan pengalaman baharu. Kebanyakan mereka tahu tentang teknologi dan mahu pengalaman itu. Jadi, mereka membuat kandungan kemudian kongsi di media sosial.
Menyedari perkara itu, kita juga menyediakan ruang untuk mereka bergambar atau merakam video ala OOTD (peragaan hari ini). Ini adalah pendekatan serampang dua mata. Apabila mereka memuat naik gambar atau video di media sosial, secara tidak langsung mempromosi Balai Seni Negara.
Untuk jumlah pengunjung pada hari biasa boleh mencecah 500 orang sementara pada hujung minggu, lebih 1,000. Jumlah ini jauh berbeza dengan sebelum ini. Dahulu nak dapat 70 orang pun susah.
Jadi, dakwaan Balai Seni Negara kurang menganjurkan aktiviti adalah salah?
Itu mungkin masa PKP. Memang kita tutup sebab bumbung bocor. Kita terpaksa ubah suai secara besar-besaran selama dua tahun dan kebetulan pula PKP.
Tetapi ketika itu kita ada menjalin kerjasama dengan melakukan aktiviti seni di tempat lain. Aktiviti seni sentiasa bergerak. Apabila membuat aktiviti di luar, pengiat seni berasa lebih dekat dengan masyarakat.
Kami memberi sokongan kepada kumpulan ini dengan menggerakkan unit jaringan dan pendidikan untuk kerjasama mengadakan program di luar dan bantuan dari segi kewangan bagi memastikan aktiviti dapat dijalankan dengan lebih baik. Harapan kami, pendekatan ini dapat membawa kemakmuran dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
Contoh, buat program di sebuah kampung, mestilah ada makanan, rakaman video dan gambar. Jadi, pendekatan ini membantu kita mengenal pasti ekosistem setempat. Kita boleh membantu menjana pendapatan penduduk sebanyak mungkin. Sekurang-kurangnya 13 pihak akan terlibat selain pelukis. Impaknya sangat besar melibatkan masyarakat secara keseluruhan.
Malah jika dilihat, banyak pengiat seni seperti pelukis mural dan grafiti mula dikenali. Malah, banyak permintaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mereka melukis di dinding-dinding sebagai kawasan tarikan pelancongan atau taman-taman yang penuh dengan aktiviti kesenian. Secara tidak langsung mereka bukan sahaja dapat menjana pendapatan tetapi menyumbang kepada negara.
Perkara-perkara ini akhirnya diterjemahkan oleh anak muda melalui fesyen jalanan yang kemudiannya mencipta barang dagangan.
Untuk itu, di pihak kami akan membantu dengan memberi bantuan cat dan ruang. Cara ini membolehkan penggiat seni merasa diri mereka wujud, diiktiraf dan berfungsi kepada masyarakat.
Pandangan anda apabila melihat ramai penggiat seni terutama yang muda beralih kepada NFT?
Era IR4.0 telah mendemokrasi dan membebaskan minat dan peminat. Dahulu kalau pelukis kerjanya melukis sahaja dan pembelinya pula penggiat seni atau pengumpul karya seni tetapi disebabkan kewujudan NFT, sesiapa sahaja boleh buat (melukis), tak semestinya pelukis dan orang yang nak beli pun bukan semestinya peminat seni.
Pada kami, itu satu lagi susur masa perkembangan seni yang baharu dari segi cara dan kaedah. Kita sedar dan kita galak kerana ia kaedah untuk penggiat seni jana pendapatan.
Kami mengalu-alukan sesiapa yang ingin berkongsi ilmu untuk membina, membuat jaringan dan mengembangkan kerjaya. Cuma kami tidak boleh buat perolehan (jana pendapatan) daripada karya NFT.
Selagi kerajaan tidak iktiraf cara ini, maksudnya tiada cukai yang dikenakan dalam proses jual beli ini, Bank Negara Malaysia tidak iktiraf, maka kami hanya sekadar menjadi pemerhati.
Adakah ia boleh menjejaskan bidang seni lukis negara?
Ia lebih menceriakan dunia seni kerana kepelbagaian itu penting. Penghayatan berlaku dalam pelbagai cara dan kita perlu menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu.
Apa pun, ia tidak menjejaskan bidang seni kerana lukisan berbentuk fizikal masih lagi ada peminat dan jualannya memberangsangkan kerana ia dijadikan hiasan dalam rumah atau pejabat.
Perlukah kerajaan iktiraf NFT jika ia membawa pulangan besar?
Itu kena buat kajian terlebih dahulu. Kena tengok negara mana yang buat kajian dan tengok hasilnya. Kena juga tengok kajian dalam sistem perbankan kerana ia menjadi trend semasa PKP.
Benarkah ada dakwaan mengatakan jual beli lukisan melibatkan aktiviti ‘cuci duit’?
Kita tak tahu. Kami hanya ada data berapa banyak lukisan, hasil yang dijual, nilai sesebuah karya, jumlah pelukis dan jumlah galeri.
Kita sentiasa galak orang beli lukisan kerana ia sistem ekonomi yang membawa pulangan tetapi niat seseorang membeli itu kita tidak tahu dan tidak perlu tahu. Bukan bidang kami untuk menyiasat. Itu perlu dilakukan oleh pihak yang sepatutnya. – UTUSAN










