MALAYSIA sedang menuju negara bandar apabila data Bank Dunia menunjukkan 77.7 peratus penduduknya tinggal di bandar berbanding purata peratusan rakyat dunia tinggal di bandar (57 peratus). Walaupun kadar migrasi penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar berkurangan, namun jumlah migrasi penduduk bandar ke bandar meningkat iaitu 73 peratus pada 2020.
Faktor utama mereka berpindah dari satu kawasan bandar ke bandar lain disebabkan keluarga (45.3%), kerjaya (23.6%), alam sekitar (22.3%) dan lain-lain. Ini menunjukkan masyarakat memilih bandar yang lebih baik untuk mereka tinggal bagi meningkatkan kualiti hidup.
Pandemik Covid-19 dan pascapandemik memperlihatkan bandar perlu dibangunkan bukan sahaja melihat kepada jumlah bangunan tinggi yang dibina tetapi bagaimana ia hidup dan memberi kehidupan. Kita boleh lihat, bagaimana ketika pandemik, nilai daya huni sesebuah bandar diuji. Kawasan hijau bagi riadah, capaian internet bagi pendidikan, pengangkutan awam yang teratur dan terhubung, fasiliti kesihatan dan banyak lagi menjadi penentu kemandirian sesebuah bandar ketika berhadapan pandemik.
Menurut laporan The COVID-19 crisis in urban and rural areas, faktor krisis pandemik bukan disebabkan oleh kepadatan penduduk, tetapi urus tadbir dan keadaan bandar itu sendiri.
Sepanjang 2021, kita berhadapan beberapa krisis pembandaran yang menjadi tumpuan, bermula dengan Covid-19, isu kesesakan lalu lintas dan pengangkutan awam hingga masalah bencana alam iaitu banjir di sekitar Lembah Klang. Isu-isu ini menyebabkan rakyat mula berbahas mengenai perancangan bandar, adakah ia sudah cukup baik dan mengapa kita menghadapi masalah-masalah seperti ini?
DUBAI, HONG KONG
Walaupun Kuala Lumpur dinobatkan Bandar Nombor Satu Dunia oleh Expat City Ranking 2021, itu tidak menafikan kedudukan Malaysia di tangga 41 dalam Quality of Urban Living Index di belakang Singapura yang berada di tangga ketiga. Indeks ini lebih penting kerana mengukur tahap kestabilan politik, keselamatan awam, pengangkutan awam dan persekitaran bandar.
Kuala Lumpur turut berada pada tangga ketiga sebagai bandar paling kurang work-life balance selepas Dubai dan Hong Kong. Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk kita melihat kembali ekosistem pembandaran bagi memastikan pembangunan mampan berjaya dicapai.
Aspirasi Malaysia Berdaya Huni yang dicetuskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merupakan satu idea yang tepat dan kena pada masanya. Ketika rakyat sedang menilai apakah bandar kita selamat dan mampan, Malaysia Berdaya Huni menekankan konsep bandar itu perlulah melihat kepada keperluan terkini masyarakat. Konsep bandar berdaya huni merupakan ciri sesebuah bandar sesuai didiami oleh semua kaum, tarikan sosioekonomi, aksesibiliti mudah, seni reka bangunan yang cantik, kemudahan, kehijauan bandar dan fasiliti lengkap serta pelbagai perkara positif untuk faedah kehidupan manusia.
Pujian wajar diberikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengambil inisiatif mewujudkan pelan bagi mengukur tahap kemampanan sesebuah bandar dikenali sebagai Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM). iDAM boleh menjadi indikator penting terutama bagi rakyat menilai prestasi 101 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan wang dikutip oleh mereka kembali kepada rakyat melalui ukuran prestasi daya huni.
iDAM berpotensi menjadi antara indikator penting dalam mengembangkan pembangunan ekonomi di sesebuah bandar dan membantu Malaysia mendapat pengiktirafan dunia dalam Global Liveability Index yang secara tidak langsung menarik perhatian pelabur-pelabur luar untuk mencari peluang pelaburan lebih baik khususnya dalam sektor ekonomi dan pembangunan bandar. Kewujudan iDAM juga akan menjadi indikator penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dikunjungi dan didiami serta peluang mendapatkan kualiti hidup lebih sempurna.
METROPOLITAN
Antara perkara utama perlu dilihat adalah meningkatkan tahap capaian antara bandar. Ini bagi mengurangkan kadar migrasi keluar antara negeri dan tidak berfokus kepada bandar metropolitan sahaja. Menurut Laporan Bank Dunia, Malaysia mempunyai 19 kawasan urban yang padat dengan Kuala Lumpur mempunyai populasi melebihi lima juta orang manakala Georgetown dan Johor Bahru (1 hingga 5 juta).
Kemakmuran ini tidak seharusnya difokuskan kepada bandar metropolitan sahaja tetapi dirasai oleh rakyat di seluruh negara melalui bandar-bandar yang ada. Ini bagi memastikan setiap rakyat mendapat peluang meningkatkan kehidupan mereka dan memastikan mobilisasi sosial berlaku di seluruh negara.
Selain itu, melalui iDAM kerajaan perlu memastikan pembangunan bandar-bandar ini berfokus dan menitikberatkan pembangunan mengikut wilayah. Setiap wilayah mempunyai kluster ekonomi tertentu bagi memastikan jurang antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan. Ini dapat dilihat dalam kajian oleh Asian Development Bank pada 2014, dasar pembandaran di China yang membahagikan kawasan luar bandar dan bandar menyebabkan berlaku ketidaksaksamaan sebanyak 45 peratus.
iDAM perlu dijadikan indikator penting dalam menilai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seiring tema utamanya iaitu melonjakkan kemampanan, menjana semula ekonomi dan memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti. Kesemuanya terdapat dalam iDAM yang dilancarkan.
Keperluan ini dapat dilihat apabila masalah pembandaran ini tidak terhad kepada KPKT sahaja tetapi melibatkan Kementerian Pengangkutan (isu kesesakan lalu lintas), Kementerian Kesihatan (fasiliti kesihatan), Kementerian Wilayah Persekutuan (masalah banjir). Malah, Aspirasi Malaysia Berdaya Huni turut boleh dilaksanakan di kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar kerana ia merupakan hala tuju jelas untuk memastikan rakyat dapat meningkatkan kualiti dan hidup di persekitaran yang baik. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah Strategik Forward Malaysia.










