BERBANDING Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PRU15 nampaknya tidak mencetuskan keterujaan besar. Keadaan sedemikian mungkin kerana dua sebab.
Pertama, Malaysia mengalami pertukaran kerajaan buat kali pertama sejak kemerdekaan negara dalam PRU-14, maka ia tidak lagi menjadi perkara baharu untuk dikejar-kejar. Kedua, sehingga kini belum muncul apa-apa isu besar dalam negara yang berupaya menyemarakkan bahang PRU15.
Namun begitu, terdapat beberapa pandangan dan cadangan awal masyarakat Cina yang agak menarik dalam berdepan PRU15 tidak lama lagi.
Ada pihak menyarankan bagi mengelak kemerosotan sistem demokrasi negara, maka patutlah pengundi PRU15 cuba menyekat pemerintahan negara kembali kepada zaman ‘dominasi oleh satu parti’ seperti dahulu. Secara spesifiknya, pihak berkenaan mencadangkan agar UMNO dibatasi kemenangan atau kekuasaannya supaya parti pemerintah itu tidak lagi mentadbir negara sewenang-wenangnya seperti lazim berlaku sejak merdeka.
Bak kata seorang sarjana Barat, Boston, “Semua kuasa cenderung kepada rasuah dan kuasa mutlak merosakkannya secara mutlak.” (All Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.)
Bagi menghalang parti pemerintah utama daripada mengabaikan suara-suara dan kepentingan komuniti minoriti, maka biarpun UMNO kuat, ia tidak harus diberi sokongan secara total.
Sesungguhnya penyelewengan kuasa sering berlaku dalam kerajaan demokrasi berparlimen di negara-negara lain. Apabila sekumpulan ahli politik memperoleh kuasa berlebihan, maka penyalahgunaan kuasa dan rasuah mula berleluasa dan seterusnya memudaratkan masa depan sesebuah negara. Untuk mencapai tujuan tersebut, para pengundi Cina diseru keluar mengundi beramai-ramai seperti pada PRU14.
Pembentang idea tersebut turut berhujah, memandangkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sering tidak berdaya menyekat tindakan sewenang-wenang parti utama dalam perikatan mereka, maka amalan semak dan imbang merupakan satu strategi yang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan negara dan rakyat untuk jangka panjang.
Tambahan lagi, dalam keadaan pertandingan banyak penjuru muncul di sesuatu kawasan, sekiranya lawan yang ditempuh ialah calon dari Barisan Nasional (BN), maka penyokong parti pembangkang digesa hanya menyokong calon parti politik yang mempunyai peluang kemenangan terbesar. Pengundian perlu dilontarkan secara rasional dan bijak. Jangan mengundi secara membuta tuli sehingga memberikan laluan mudah kepada BN.
Cadangan seterusnya dilihat agak ekstrem. Ada pihak mencadangkan agar parti-parti komponen BN yang berasaskan sokongan pengundi Cina seperti MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dimansuhkan sama sekali dengan tidak memberikan undi kepada calon-calon dari kedua-dua parti tersebut.
Hal ini kerana menurut rekod, mereka ini tidak berfungsi dalam menyeimbangkan kekuasaan mutlak parti yang lebih besar dalam BN. Maka pemberian undi kepada mereka dikatakan sia-sia sahaja. Bagi golongan yang mengutarakan pandangan ini, pemilihan calon dari MCA dan SUPP hanya akan menambah keangkuhan dan keegoan parti pemerintah utama.
Dalam pada itu, ada pihak dalam kalangan masyarakat Cina mencadangkan agar jangan percaya lagi janji-janji bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan akan bertanding di kawasan Langkawi di bawah tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Golongan ini menegaskan, Dr. Mahathir tidak lagi sesuai diangkat oleh mana-mana gagasan sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
PENYATUAN UMMAH
Sesungguhnya, kepada masyarakat Cina secara am, pimpinan Dr. Mahathir selama 22 bulan sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) telah menghampakan harapan dan mandat rakyat untuk membentuk sebuah negara yang membawa pembaharuan dalam politik. Beliau didapati masih terperangkap dengan mentaliti dan acuan politik lama yang mengutamakan kepentingan ras. Bagi kebanyakan pengundi, legasi politik dan kredibiliti Dr. Mahathir sepanjang penglibatan beliau dalam politik, kepentingan negara barangkali sudah banyak tergadai.
Di samping itu, pengumuman Pas tidak bergabung dengan UMNO dalam PRU15 yang membawa kepada berakhirnya gagasan Muafakat Nasional (MN) juga mendapat perhatian masyarakat Cina. Pas dilaporkan akhirnya membuat keputusan untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atas prinsip penyatuan ummah. Parti itu akan mengekalkan gagasan politiknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dengan kata lain, pada PRU15, rakyat dijangka menyaksikan pertandingan hebat tiga gagasan politik utama iaitu BN, PH dan PN.
Bagaimanapun, masyarakat Cina kini mengerti akan politik Melayu tanah air yang komplikasi dan penuh kesamaran. Selagi belum sampai ke saat terakhir, tiada siapa-siapa dapat menjangkakan perkembangan terakhir.
Politik Melayu dilihat sekejap berpecah, sekejap bergabung. Tindakan mereka berdolak-dalik dan mengaburi mata rakyat. Sama ada Pas atau UMNO sudah betul-betul terputus hubungan atau masih terjalin persefahaman sulit? Itu memang sukar diramal umum.
Dalam pada itu, DAP mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di 50 kerusi Parlimen di seluruh negara. Mereka dijangka berhadapan lawan politik tradisi iaitu MCA di kebanyakan kawasan.
Walaupun MCA mungkin berpeluang mengambil balik beberapa kerusi yang tewas pada PRU14, namun hingga saat ini DAP masih berkeyakinan bahawa sokongan pengundi Cina pada parti mereka tidak akan luntur, bagaikan ‘peti undi besi.’
Di samping itu, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP diramalkan akan terus memerintah secara mudah kerana PH dilihat menggenggam tampuk pemerintahan yang kukuh di negeri tersebut.
Sesungguhnya, kewujudan PRU merupakan amalan dan proses demokrasi berparlimen negara kita yang sungguh membanggakan.
Oleh demikian, para pesaing PRU baik sebagai individu mahupun mewakili mana-mana parti politik seharusnya mengambil bahagian secara berhemah demi memartabatkan dan mengutuhkan sistem demokrasi negara. – UTUSAN
PENULIS ialah siswazah Ijazah Sarjana Media & Komunikasi dari Universiti Malaya (UM)










