DASAR Ekonomi Baru (DEB) 1971 dengan tumpuan kepada kepelbagaian ekonomi, penekanan kepada pembangunan luar bandar, pengurangan kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat menjadi objektif utama pembangunan ekonomi negara satu ketika dahulu.
Pendekatan ketika itu lebih kepada membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir dari arus pembangunan perdana daripada mundur, tidak membangun. Dengan tulang empat kerat, kita membangun bersama-sama dan hasilnya diagihkan bersama-sama, seakan-akan satu keluarga.
Memang diakui, strategi-strategi disasarkan khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar.Ketika itu, sektor pertanian masih menjadi teras ekonomi negara dan sektor luar bandar (pertanian) merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan guna tenaga.
Bagaimanapun, sektor luar bandar mula dilihat kurang penting apabila teras ekonomi negara memasuki era perindustrian sejak pertengahan 1980-an. Diakui pembangunan juga dilihat sebagai satu proses transformasi ekonomi daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian dan perkhidmatan. Ketika itu, proses perindustrian di Malaysia berlaku dengan pesat.
Selain itu, sejak pertengahan 1980-an, pendekatan pembangunan juga nampaknya telah berubah daripada kita ‘membangunkan kumpulan sasaran terpinggir’ kepada ‘kita bangunkan dahulu satu kumpulan terbaik’ yang kemudiannya dapat membangunkan satu kumpulan lain lebih besar.
Mudahnya, untuk maju, dua tiga orang/syarikat perlu dimajukan dahulu, kemudian akan berlaku proses titisan ke bawah memajukan satu kumpulan lain yang lebih besar. Apa yang dikhuatiri, akan berlaku ketidakseimbangan agihan peluang yang adil kepada rakyat untuk terlibat dalam arus pembangunan perdana.
Globalisasi dan liberalisasi serta perubahan struktur ekonomi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi) dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dijalankan seiring dengan pendekatan ‘membangunkan satu kumpulan terbaik’, nampaknya tidak banyak membantu sektor ekonomi dan rakyat sebahagian besarnya tidak mempunyai modal, pendidikan, tingkat pendapatan yang secara relatifnya lebih rendah dan di luar arus pembangunan perdana.
Dalam sesetengah keadaan, peluang untuk golongan berpendapatan sederhana dan industri kecil untuk terlibat sama dalam arus pembangunan utama diambil oleh orang politik atau mereka dikelilingi orang politik.
Terdapat agensi-agensi kerajaan yang dibentuk bukan lagi untuk membangunkan kumpulan sasar tetapi mengumpul kekayaan. Proses titisan ke bawah seakan-akan tidak berlaku. Yang berlaku hanyalah membentuk satu rantaian kronisme dan nepotisme politik-kapitalis yang materialistik di bandar dan luar bandar.
AISKRIM
Falsafah pembangunan akan datang wajar dipulangkan semula kepada ‘pertumbuhan dan pengagihan yang saksama dicampur membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir daripada arus perdana pembangunan.’
Falsafah yang sama seperti era 1970-an dan 1980-an, membangun bersama seakan-akan satu keluarga tetapi dalam persekitaran dan cabaran baharu.
Sebelum Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, struktur ekonomi negara pada dasarnya tidak pro kepada pencari kerja, pekerja, pengguna dan golongan berpendapatan rendah.
Pencari kerja bersaing dengan pekerja asing, gaji rendah dan berhutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum mula bekerja dan pengguna berhadapan kos sara hidup tinggi. Mereka dengan tabungan rendah sangat terkesan jika berlaku sesuatu perkara di luar kawalan.
Gambaran ekonomi negara dengan pendapatan KDNK, eksport, pengeluaran industri, perniagaan runcit, hotel dan lain-lain yang semakin meningkat, bagaimanapun tidak sampai kepada sebahagian besar rakyat.
Sebagai Perdana Menteri yang bukan berasal dari golongan bangsawan, dari luar bandar, semasa kecil menjual aiskrim sekitar kampung, pastinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasai ekonomi rakyat, kehidupan golongan berpendapatan rendah (B40) dan apa yang rakyat kebanyakan harapkan.
Banyak perkara yang kita belajar daripada Covid-19, PKP, kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik. Kini masanya untuk kita, rakyat dan negara bersama-sama berubah kepada sesuatu yang lebih baik.
Dalam keadaan berhadapan pelbagai masalah dan masa depan tidak menentu dan kemungkinan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan, terlalu berpolitik tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.
Rakyat memerlukan kerajaan stabil, cekap dan cepat membuat keputusan. Konsep Keluarga Malaysia dicetuskan oleh Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021 meliputi aspek keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Oleh itu, falsafah pembangunan Keluarga Malaysia berteraskan Dasar Ekonomi Rakyat wajar diterjemah sebagai teras dasar pembangunan akan datang iaitu visi nasional baharu setelah tamat Wawasan 2020.
Ini termasuk mencapai pertumbuhan ekonomi kukuh, pengurangan kadar inflasi dan pengangguran, peluang dan hasil pendapatan ekonomi gig yang dirasai golongan belia, peningkatan nilai ringgit dan pelaburan, pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif dalam satu struktur di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, bandar, luar bandar dan rantaian bekalan.
Ia adalah pembangunan ekonomi berpaksikan penduduk tempatan, pelajar, pelabur, peniaga, pekerja dan pengguna yang saling bekerjasama sebagai suatu keluarga dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global pada tahun akan datang. – UTUSAN
DR. Asan Ali Golam Hassan ialah Profesor Bidang Ekonomi, Perancangan & Pembangunan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).











