NAMPAKNYA bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hangat. Parti-parti politik mula bersiap sedia untuk memancing sokongan awal pengundi.
Dalam satu perhimpunan di ibu kota baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan melepaskan ‘tembakan’ pertama ke atas bekas Presiden MCA yang juga bekas Ahli Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai. Anthony seperti dalam laporan akhbar berkata, beliau mahu mengumpulkan ‘peluru’ bagi jentera pilihan raya DAP Bentong dan bertegas ingin ‘menundukkan Tiong Lai sehingga tidak mampu berdiri.’
Bagaimanapun, perang mulut seumpama itu tidak disambut baik oleh sesetengah pengundi Cina kerana mereka sudah bosan melihat politik musuh-memusuhi tanpa kesudahan.
Ada ura-ura mengatakan Tiong Lai akan kembali bertanding di kawasan Parlimen Bentong pada PRU15. Beliau memegang kerusi Ahli Parlimen Bentong sejak 1999 hingga 2018. Namun, dalam satu pertandingan yang amat sengit pada 2018 (PRU14), Tiong Lai tewas kepada calon DAP, Wong Tack. Wong Tack memperoleh majoriti 2,032 undi, satu kemenangan besar buat Pakatan Harapan (PH).
Sudah menjadi pengetahuan umum, DAP merupakan parti pemenang terbesar dalam PRU14. Parti itu mengutip 42 kerusi Parlimen dan membentuk Kerajaan Persekutuan bersama rakan-rakan parti pembangkang lain dalam gagasan PH. Bagaimanapun, kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan dan akhirnya hilang kuasa di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.
Sesungguhnya, selama ini masyarakat Cina memang memberikan sokongan kuat kepada DAP. Namun, kaum Cina kini berada dalam dilema terhadap parti tersebut.
Sejak 1960-an, persaingan politik antara kaum yang menegang menyebabkan suara-suara kurang senang hati dengan parti pemerintah, iaitu Parti Perikatan mula menonjol.
Dalam 1970-an, Barisan Nasional (BN) ditubuhkan. Walaupun parti-parti pembangkang masih tidak berupaya membentuk kerajaan pada masa itu, namun DAP tetap mendapat sokongan padu daripada majoriti pengundi Cina. DAP merupakan parti pembangkang terbesar di Parlimen untuk beberapa penggal.
Selama ini, masyarakat Cina kecewa dengan parti-parti politik yang kononnya mewakili mereka dalam kerajaan, iaitu MCA, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Hal ini kerana parti-parti tersebut tidak berupaya memperjuangkan kepentingan kaum seperti yang diharapkan.
Di bawah keadaan politik sedemikian, kaum Cina amat memerlukan satu saluran yang sanggup mendengar rintihan hati mereka. DAP muncul pada masa yang tepat dan akhirnya berjaya memenuhi keperluan tersebut.
Parti-parti berasaskan sokongan Cina sering dituduh DAP sebagai lemah dan kurang berani menyuarakan kepentingan kumpulan minoriti.
CERAMAH RAKSASA
Selama ini, masyarakat Cina dilihat mengamalkan strategi mengundi yang realistik dan sederhana. Mereka akan memilih beberapa tokoh dari parti sekaum untuk mewakili kepentingan mereka dalam kerajaan. Pada masa sama, mereka juga akan menghantar beberapa wakil pembangkang yang berani berhujah ke Parlimen.
Sejak dahulu lagi, DAP sering memfokuskan sepenuh tenaga bertanding di kawasan-kawasan bandar yang menjadi tumpuan para pengundi Cina. Parti ini kerap menganjurkan ceramah raksasa dengan mengetengahkan propaganda yang gilang-gemilang. Slogan yang berentak dan senang diikuti sentiasa menjadi faktor kemenangan DAP dalam menakluki pengundi Cina.
DAP memang pintar bertanding dalam PRU. Pada setiap PRU, pemimpin-pemimpin pusat DAP akan turun padang, mencipta trend pendapat umum dan mempengaruhi keputusan orang ramai untuk mengundi.
Penceramah-penceramah parti pembangkang didapati gemar memprovokasi lawan politiknya habis-habisan demi mencetuskan emosi dan perasaan bagi meraih hasil undian yang lebih tinggi.
Dalam PRU13 dan PRU14, slogan-slogan DAP termasuklah Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia, Meranapkan Parti MCA dan lain-lainnya banyak membuahkan hasil. Parti itu cuba menamatkan riwayat politik lawannya, baik MCA mahupun Gerakan dengan mewakilkan orang kuat dari kawasan lain bagi melenyapkan pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam BN sekali gus.
DAP tera (pandai) menggunakan teknologi internet dan media sosial. Kempen bertanding DAP sememangnya berjaya menggoncang emosi khalayak pengundi Cina dan seterusnya berjaya memperkaya peti undi parti berkenaan.
Bagaimanapun, selama 22 bulan pemerintahan, PH dikritik kerana gagal menunaikan banyak janji yang dilafazkan mereka kepada para penyokong dalam PRU14. Sebetulnya, rakyat tidak nampak kerajaan di bawah PH telah membawa hasil yang besar perbezaannya berbanding zaman BN.
Boleh disimpulkan, PH tidak berbeza seperti parti-parti politik lain di merata dunia, lebih cenderung mengamalkan strategi populisme dengan kata-kata menyindir lawan politik dan janji-janji manis yang digemari pengundi umum. Perjuangan ideologi dan pendirian parti kini tidak lagi dipegang teguh seperti parti politik dahulu.
Dalam pada itu, ramai juga tidak nampak perbezaan yang ketara antara MCA dan DAP dalam dasar-dasar dan pegangan politik masing-masing.
Pengundi umum sesungguhnya sedih melihat MCA dan DAP yang tidak bertolak-ansur untuk memperkasakan persaingan politik sihat dan seterusnya berusaha bersama ke arah Malaysia yang lebih baik.
Adalah menjadi hasrat sebilangan besar masyarakat Cina agar PRU15 dapat berlangsung secara lebih tertib dan bertatasusila. Parti berlawanan seharusnya membahaskan isu-isu penting tentang pertumbuhan ekonomi, pendidikan, kebajikan rakyat, pentadbiran sempurna dan masa depan negara demi kepentingan seluruh rakyat.
Sehubungan ini, perang mulut yang berlebihan-lebihan menjelang PRU memang bukan budaya dan tradisi masyarakat kita. Biarpun perdebatan dan provokasi lawan politik merupakan sebahagian daripada proses demokrasi berpilihan raya, namun ia patut dikawal pada paras yang munasabah dan secara berhemah. – UTUSAN
PENULIS ialah siswazah Ijazah Sarjana Media & Komunikasi dari Universiti Malaya (UM).










