Pastikan tiada lagi ahli politik ‘bebal’

Pastikan tiada lagi ahli politik ‘bebal’

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI segi rakyat jelata, politik negara yang mereka miliki jua tidak pun pernah berada dalam keadaan tenat sehingga memerlukan pembubaran Parlimen pada waktu tidak sepatutnya, dengan ramalan banjir besar akan melanda dalam waktu terdekat ini, selain proses pemulihan negara masih amat perlu diberi perhatian dari segenap sisi oleh kerajaan memerintah. Ini kerana mereka secara umumnya tidak berpolitik sepanjang masa, apatah lagi secara sakan pula seperti dilakukan ahli politik sehingga mengabaikan tugas utama untuk membela nasib rakyat, khususnya pada waktu sangat mencabar kini.

Sebenarnya dengan masih ada ahli politik tidak baik, yakni hanya mementingkan diri dan parti mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), keadaan politik negara tidak terjamin akan menjadi stabil. Ini kerana ahli politik ini akan terus-terusan memanipulasi keadaan untuk kepentingan diri dan parti mereka dengan melakukan segala macam perkara yang sama sekali tidak adil kepada rakyat jelata seperti pembubaran Parlimen pada kali ini.

Dengan kembalinya mereka yang tidak baik ini, kita semacam ketandusan pemimpin baik yang boleh diharapkan untuk memulihkan negara khususnya daripada krisis ekonomi yang amat mengesani rakyat dari golongan bawahan di seluruh pelosok negara. Oleh sebab manipulasi ahli politik ini, keadaan politik negara tidak pernah ada peluang untuk menjadi stabil. Ini dapat dilihat pada perebutan kuasa sehingga memperlihat peralihan kerajaan berlaku beberapa kali dalam penggal Parlimen sama.

Sudah tiba masanya pada PRU15 ini, rakyat jelata digesa untuk memilih hanya ahli politik baik, yakni yang tidak mementingkan diri dan parti mereka sahaja dengan kesanggupan membelakangkan kepentingan rakyat semata-mata untuk mencapai matlamat politik mereka yang rakus itu. Dengan penolakan secara besar-besaran terhadap ahli politik ini, baharulah negara dapat diperintah oleh kerajaan yang terdiri daripada pemimpin baik yang boleh diharapkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan lain-lainnya.

Walaupun mandat dipulangkan kepada rakyat jelata, tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang tidak mahu keluar mengundi seperti berlaku pada PRU lepas-lepas. Ini kerana rata-ratanya bukan sahaja tidak lagi mempercayai ahli politik yang telah menyelewengkan mandat mereka. Lebih daripada itu ialah mereka kini amat benci kepada ahli politik yang didapati langsung tiada maruah sehingga mengkhianati sistem demokrasi itu sendiri.

BURUK

Dalam hal ini, ketidakstabilan politik yang sangat tenat, selain sikap buruk yang hanya mementingkan diri dan parti mereka pada sepanjang masa tanpa mengira waktu cemas seperti kini adalah buktinya. Seperti dapat dilihat dengan jelas berdasarkan perkembangan politik kebelakangan ini, didapati tidak ada satu parti pun yang dominan kini untuk membentuk kerajaan secara tunggal melainkan melalui gabungan sebilangan parti sebagai satu gerakan kebangsaan.

Apabila ini berlaku, kekhuatiran rakyat jelata bahawa keadaan politik negara akan kembali tidak stabil bukan sahaja masih ada, malah ia amat berasas sekali. Ini kerana walaupun sudah ada perundangan yang melarang ahli politik bertukar ke parti lain dengan sewenang-wenangnya seperti berlaku sebelum ini, sebetulnya perundangan ini didapati tidak seutuh itu untuk tujuan pembentukan kerajaan, yakni ia masih membenarkan penggabungan parti secara entiti keseluruhan.

Dengan ini, kemungkinan politik negara kembali atau bertambah tenat tetap ada. Ini kerana gejala ketidaksetiaan tidak dapat dihalangi sepenuhnya. Sehubungan ini, ia yang dapat membendungnya pada peringkat individu, masih diperlukan untuk pembentukan kerajaan pada kala sebuah parti yang mempunyai majoriti terbesar, perlu bekerjsama dan bergabung dengan yang lain bagi tujuan pemerintahan negara.

Perundangan ini walaupun tidak utuh sepenuhnya amat diharapkan dapat menangani masalah ketidakstabilan politik dihadapi negara, yang telah menyaksikan kejatuhan pemerintahan di kedua-dua peringkat negeri dan negara akibat gejala melompat parti secara wewenang itu. Dalam pada ini, perundangan ini sebenarnya sangat penting, malah amat diperlukan untuk menstabilkan keadaan politik negara selain menyampaikan kemarahan rakyat jelata yang mahu melihat adanya moraliti politik di negara ini.

Apa-apa juga, perundangan ini secara jitunya masih tidak dapat memastikan pembelotan sesebuah parti yang telah pun bersetuju untuk bergabung sebagai gerakan kebangsaan bagi tujuan pembentukan kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat. Sebenarnya, pembelotan inilah, dahulu oleh ahli politik secara individu sahaja adalah punca utama ketidakstabilan politik di negara ini. Kini pembelotan ini masih boleh berlaku tetapi dalam bentuk lain, iaitu parti dalam bentuk entiti keseluruhannya pula.

Jika ini masih berlaku selepas PRU 15, Malaysia yang kini sudah berada dalam kehancuran, akan terus jahanam dalam sekelip mata sahaja. Ini kerana ia retak yang menunggu belah sahaja dalam banyak hal. Oleh itu, ahli politik harus insaf dan mula bertindak sebagai golongan cerdik selain yang masih boleh dihormati lagi untuk sama-sama menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara gagal.

Sebenarnya kehancuran kini dan kegagalan kelak dengan keadaan politik tidak stabil ini berlanjutan adalah sepenuhnya kerana kebebalan ahli politik yang hanya menghabiskan masa bercakaran untuk berebut kuasa yang sepatutnya digunakan untuk menangani pelbagai krisis runcing sedang dihadapi negara. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×