Namanya sudah naik - Utusan Malaysia

Namanya sudah naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Junaidah bercakap, Puan free ke sekarang?”
“Ok…free, apa hal sahabatku. Dah dapat berita yang kutunggu-tunggu ?”
“Ini yang Ju nak cakap.”
Perbualan itu terganggu apabila loceng rumahnya berbunyi beberapa kali. Ahhhh, ada-ada sahaja. Tak boleh melihat orang senang.
“Junaidah, ada tetamu tak diundang datang. Kejap lagi Sal panggil balik.”
Puan Salmah bergegas menarik daun pintu. Seorang perempuan separuh usia, berselipar dan berpayung berdiri di garaj kosong.
“Rusdan keluar. Apa hal? “
“Saya orang miskin puan. Datang nak mohon bantuan dari Penjaga Khazanah Mukim. “ Ucap perempuan berpayung kelabu merah, tunduk melihat selipar kaki kirinya yang sopek.
“Kan saya kata, suami saya tak ada di rumah. Lagi pun, awak kena tahu, suami saya bukan kilang buat duit. “
“Bukan mohon banyak puan, sekadar nak beli secupak beras dan serajut minyak masak.”
“Datang petang ini, suami saya mungkin ada di rumah.”
“Saya bukan tinggal dekat sini, puan. Saya datang pun dihantar orang. Tak apalah puan. Tak ada rezeki saya. “
Perempuan itu masih berdiri seketika, mengharapkan kalau-kalau akan dikeluarkan sekeping dua rial dari beg kecil yang dipegang isteri Penjaga Khazanah Mukim itu. Tetapi apabila melihat daun pintu ditutup kemas, perempuan itu beredar. Menggendong kehampaan yang bertali.
Puan Salmah kembali ke meja kecil sofa dan menyambar telefon nipis miliknya. Melihat nama Junaidah diskrin.
“Maaflah Ju, ada tetamu datang nak jumpa Rusdan. Macam biasa datang minta nak beli beras dan minyak. Tak larat Sal. Sal minta dia datang sebelah petang.”
“Orang kampung tak datang dua kali, Sal. Dia datang meminta rezeki tu. Apa salahnya disedekahkan sedikit. Kamu ini, kedekut macam suami juga! “
Puan Salmah terkedu. Rupanya Junaidah ini juga jenis cakap tidak berlapik langsung. Bila pula aku kedekut. Kalau berperangai macam itu, takkan rumahnya dihiasi beberapa perabot jati asli Jawa. Takkan tak terbentang permaidani Turki.
Cuba Ju menjadi seperti Salmah. Laratkah melayan tetamu tak diundang pagi, petang sehingga malam?
“Kakak yang budiman, takkan tak tahu apa-apa, “ Puan Salmah merendahkan suara. Melupakan tikaman sahabat baiknya itu. Dia mendengar Junaidah tertawa.
“Adik yang disayang, namanya sudah naik. “
“Seriuskah ini? “ Ada kegembiraan melonjak. Tetapi dipendamkan pekikan keseronokan itu. Kalau dia berteriak kuat-kuat tanda kegembiraan, hanya angin mendengarnya.
“Kalau tak serius, masakan kakak nak beritahu. “
“Terima kasih kak, terima kasih.” Puan Salmah terus ke talian suaminya. Empat kali, disuruh tinggalkan pesan. Ini satu hal. Dalam keadaan penting begini, tidak dijawabnya. Atau dia sudah diberitahu khabar gembira ini.
Puan Salmah memetik nombor telefon adiknya Ruhaini di Putrajaya, dia telefon emaknya dan ayahnya, dia telefon abangnya di Perak. Biar mereka tahu nama suaminya sudah naik. Rusdan akan dijulang dan dibawa ke sana sini untuk diperkenalkan.
Puan Salmah akan ikut sama ke mana Rusdan diheret. Dia akan bersalam dengan setiap perempuan bergelar ibu, remaja dan kanak-kanak.
Selepas itu, pasti ada yang akan menitip cerita akan hal perilakunya. Isteri Rusdan itu terlalu ramah. Senyumnya tidak putus. Orangnya pula jenis perempuan sedap mata memandang ! Sesuai benar menjadi isteri wakil rakyat.
Atas sebab-sebab itulah, apabila dipelawa menduduki jawatankuasa lantikan Serikandi Daerah Parit Berjuntai enam bulan lalu, cepat-cepat dia memberi kesanggupan.
Seminggu selepas pelantikan itu, diketahuinya orang di belakang pelantikan itu rupa-rupanya Junaidah juga.
“Jangan tolak kalau ada yang mengajak duduk di dalam badan NGO. Bakal isteri wakil rakyat mesti terlibat. Tunjuk muka! ” kata Junaidah beberapa hari sebelum itu.
Sebuah kereta memasuki pagar rumahnya. Puan Salmah menjenguk, adiknya Sumiah. Seingatnya dia seorang yang belum diberitahu. Apa ada orang lain yang menyampaikan?
“Rupanya Su seorang kakak sembunyikan, tapi tahu juga, “ katanya sebaik sahaja duduk di sofa menghadap kakaknya.
“ Kak, setahu Su, abang Rusdan tiada karisma pemimpin. Dia cuba hendak mewatakkan dirinya sebagai pemimpin. Pemimpin ini anugerah Allah juga. Ia bersifat semulajadi. Dari awal suka tolong orang. Lalu orang angkat menjadi ketua. Abang Rusdan tidak naik dari situ. “
Puan Salmah rasa hendak mencakar muka adiknya itu. Pandai-pandai memberikan penilaian terhadap suaminya.
“Jadi kamu datang sekadar hendak bersyarah tentang abang ipar kamu? ” Puan Salmah bangkit dari sofa, mencapai remote pendingin hawa, memetiknya.
“ Begini, sejak Kak Ani beritahu Su tentang cerita kak, Su terus bertanya banyak orang. Yang sahihnya, nama abang Rusdan ada dalam senarai lapan orang pilihan calon. Betul tidaknya Su tak tahu sangat. Khabarnya di tempat keenam atau tujuh.”
Puan Salmah tersandar. Dadanya berkocak. Barangkali ada sedikit kebenaran di situ. Di peringkat awal, sah suaminya berada pada senarai paling bawah iaitu di kedudukan nombor lapan. Tadi Su kata, sudah di kedudukan enam atau tujuh. Namanya sudah naik! Apakah Junaidah juga bermaksud begitu?
Telefon berdering di sisi sikunya. “Ruhaini, “ katanya kepada Sumiah.
Puan Salmah merapatkan telefon ke telinganya. Sekejap saja dia berbual dengan Ruhaini. Puan Salmah cepat-cepat meletakkan telefon.
“Apa katanya?” tanya Sumiah. Antara dengar tidak perbualan mereka.
“ Marah pada kakak, gopoh tak bertempat. Gelojoh nak jadi…heee geram.”
“Memang kakak gopoh pun. Tahu dah abang Rusdan tidak disukai ramai, periksalah diri. Dekat mana lemahnya. Kalau dah dapat tempat tercorot, jangan harapkan sangat. Ini tidak, lobi orang itu, lobi orang ini. Kalau biji kelapa itu baik, jatuh ke sungai pun akan jadi pulau, kak. Ikutlah pepatah itu.”
Sumiah terus menyambung apabila dilihat kakaknya menjuihkan bibir.
“Bukan sahaja gelojoh, tapi sombong dengan masyarakat miskin. Rata-rata orang bercakap pasal kakak. Kata mereka belum lagi jadi isteri wakil rakyat, jadi isteri Penjaga Khazanah Batang Patah saja sudah kedekut pahit.”
“Apa? Cakap sekali lagi.”
Sumiah bangkit, terus ke kereta. Mengepit beg tangan di celah ketiaknya. Puan Salmiah ikut dari belakang, menutup pintu dengan kuat.
“Lain kali jangan datang-datang lagi rumah aku ini ! “ tempik Puan Salmah.
Cerita kedekut itu sengaja dibesar-besarkan oleh musuh suaminya. Dia tidak melahap jika yang datang ke rumahnya sesuai dengan ‘moodnya”. Ini tidak, datang ketika dia diterjah kiri kanan, ketika emosinya tidak menentu.
Sebentar tadi ayahnya turut menelefon untuk mendapat pengesahan. Ayah marah-marah kerana terlalu cepat percaya cakap orang. Memaksa dia meminta penjelasan lanjut daripada Junaidah.
“Ju minta maaf Sal, sepatutnya Ju perincikan berita itu. Sebenarnya suami Sal tu tidak lagi di tempat kelapan. Dah dinaikkan dua tiga tangga, tetapi masih boleh dilonjakkan. Faham Ju cakap ini? ”
Bukan senang hendak dilonjakkan. Apakah silap Rusdan sehingga namanya berada di bawah, tidak seperti Muis. Hendak dikatakan tiada kelulusan, sudah ada ijazah, harta? Semua orang tahu.
Kata Man Gemuk, orang dalam Gerakan, suaminya itu terlalu berkira apabila ada kumpulan memohon bantuan. Lambat buat keputusan.
Puan Salmah bangkit dari sofa sebaik melihat kereta suaminya masuk di garaj. Mahu melihat gerak dan wajah suaminya yang menghilang sejak awal pagi.
“Hal apa sampai dua tiga kali telefon. Abang dalam bilik kerja Dato’ Munir. “
“ Yalah, banyak sangat cerita hal abang hari ini. Sal hendak tahu juga.”
“Ayah emak pun telefon. Ini semua berpunca daripada awak. Perkara yang tidak tahu hujung pangkal, dihebohkan kepada ramai orang.”
Puan Salmah membatu. Tunduk memandang majalah lama di atas ribanya.
“ Dato’ Munir yang rapat dengan Dato’ Zakir pun tidak tahu. Alih-alih awak tahu. “ Puan Salmah menggeletar.
“Kalau awak nak tahu, sekarang masih lagi Muis.”
“Takkan tak ada ikhtiar. Sal malas nak dengar nama Muis. Abang kena jumpa sendiri Dato’ Zakir. Minta bagi peluang pada Abang. ”
“Malam lusa Dato’ Munir ajak abang jumpa Dato’ Zakir di rumahnya. ”
Puan Salmah tersenyum. Itulah dikatakan perjuangan. Empat tahun lalu, ketika bergerak cergas dalam Pergerakan, sasarannya menjadi calon. Tanpa ada sasaran tiada faedah masuk parti itu. Berjuang mesti bermatlamat. Itu yang Rusdan, suaminya, kata.
Rusdan tidak mahu menjadi seperti Cikgu Kasim, kerja siang malam, banyak habiskan duit sendiri tanpa ada matlamat.
“ Saya nak bantu orang kurang bernasib baik. Niat untuk jadi calon, jauh sekali Rusdan.” Puan Salmah tersenyum sendiri mendengar penjelasan guru sekolah rendah itu kepada suaminya. Kejujuran tidak bertempat, dia memberikan penilaian.
Petang lusa, Puan Salmah sudah gosok baju dan seluar suaminya untuk dipakai menemui Dato’ Zakir.
Digantungnya batik tangan panjang yang jarang-jarang dipakai suaminya, digandingkan dengan seluar hitam. Kasut kulit dalam kotak sisi rak itu sudah dikilatkan. Dia mahu Rusdan bergerak di dalam keadaan segak ketika berjabat tangan dengan Dato’ Zakir.
Sekiranya suaminya mempelawa dia ikut sama, 10 tapak tangan dihulur. Dapat berbual dengan isterinya Datin Zakiah yang comel itu. Tentu dia dapat bercerita tentang kerja suaminya untuk rakyat semukim. Biar Datin Zakiah tahu Rusdan penting untuk Pergerakan .
Telefon suaminya berdering di atas meja. Puan Salmah bergegas mencapainya.
“ Dato’ Munir, bang.”
Rusdan bercakap, “Dato’”
“ Dato’ Zakir ke kota raya beberapa hari. Belum pasti bila kita dapat ke rumahnya. “
“ Pukul berapa ke rumah Dato’ Zakir? “
“ Dia ke kota raya. Tak tahu bila dapat jumpa.”
Puan Salmah merebahkan diri di sofa. Dia menarik bantal kecil dan menutup mukanya. Dia tidak mampu lagi menelah perasaan suaminya. Dia sendiri sudah mula rasa bosan untuk mendengar nama suaminya ‘sudah naik’. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya