Mudahnya kita ditipu media sosial

Mudahnya kita ditipu media sosial

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEADAAN politik yang semakin panas mencetuskan ledakan berita tular bertali arus di media sosial. Kadangkala kita gerun membacanya, seolah-olah keadaan di luar terasa begitu tidak selamat. Namun begitu, yang menularkan berita-berita sebegini nampaknya tidak pula berasa risau dengan keselamatan diri mereka. Malah, mereka selesa keluar ke mana sahaja tidak seperti mana yang telah ditularkan.

Nampaknya ada pihak yang sengaja mereka-reka pelbagai cerita panas bagi mencapai tujuan tertentu. Ada pula yang sama ada secara sengaja atau tidak telah menokok tambah untuk dijadikan berita sensasi.

Ramai pula dalam kalangan kita yang terlalu percayakannya secara bulat-bulat tanpa ragu walau sedikit pun. Apa sahaja yang tular di media sosial, itulah yang dianggap benar walaupun faktanya bercanggah dengan kebenaran. Seterusnya, ada pula yang berasa seronok berkongsi tanpa menyemak dahulu sama ada ia benar atau tidak.

Baru-baru ini, saya menerima banyak hantaran di aplikasi WhatsApp berupa poster amaran taufan yang dipetik daripada sebuah laman sosial yang tidak saya kenali. Poster itu memaparkan gambar sebaris pokok kelapa yang condong ditiup angin kencang dengan kapsyen besar bertulis Jabatan Meteorologi Keluarkan Amaran Taufan Nesat. Di media sosial, ramai warga maya mula panik kerana yakin negara bakal dilanda banjir akibat taufan dan berkongsi kerisauan mereka tentang hal ini.

HAINAN

Terkejut dan kehairanan, saya meneliti poster tersebut untuk memahami apa yang mahu disampaikan. Adakah Taufan Nesat akan membadai negara? Rasanya tidak mungkin kerana ia bercanggah dengan fakta yang saya tahu. Pada ketika itu, kita sudah maklum berita Taufan Nesat diramal melanda Hainan, China dan bukannya negara kita.

Jika benar Taufan Nesat bakal membadai negara kita, sudah pasti kerajaan telah mengeluarkan amaran secara rasmi serta mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya, termasuk memindahkan penduduk di kawasan terlibat.

Menyemak laman Twitter Jabatan Meteorologi Malaysia, saya mendapati cerita yang ditularkan itu adalah tidak benar. Sebenarnya ialah amaran kuning bagi angin kencang dan laut bergelora bagi Timur Condore, Reef North, Layang-layang, Labuan dan Palawan sahaja. Kenyataan tersebut hanyalah berkenaan kesan ribut tropika kuat, bukannya amaran Taufan Nesat akan membadai negara kita.

Mudahnya kita ditipu oleh cerita-cerita rekaan kerana sikap yang tidak teliti dalam menganalisis fakta. Berfikirlah dahulu sebelum mempercayai dan menularkan cerita di media sosial. Jadilah warga yang bijak dan jangan biarkan diri kita menjadi mangsa berita palsu. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×