Misteri wanita dalam kereta - Utusan Malaysia

Misteri wanita dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hasri garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik dia fikir dengan apa yang terjadi. Jika sekali dua, bolehlah dia buat tak tahu, tetapi kalau sudah berkali-kali pening juga kepala fikir. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena untuk dia siasat dengan teliti.
Ini semua bermula apabila beberapa rakannya seringkali menuduhnya membawa pulang teman wanita balik ke rumah pada waktu malam.
“Alah, kau jangan tipulah, macamlah aku tak nampak,” kata rakannya Afiq ketika mereka bersarapan di kantin tempat kerjanya pagi tadi. Puas Hasri menafikan namun Afiq tetap tidak percaya. Katanya, bukan dia seorang sahaja nampak, malah ramai lagi rakan di kilangnya yang tahu tentang perkara tersebut.
“Ishh kamu semua ini … bila masa pula aku bawa perempuan balik ke rumah. Tak baik fitnah,” kata Hasri.
Rakan-rakannya yang ada di situ sekadar tersenyum sinis sambil mencebikkan bibir. Mati-mati mereka tak percaya dengan penafian Hasri.
Geram juga rasanya bila setiap penjelasannya disambut dengan gelak ketawa dan perlian. Nasib baiklah dia seorang penyabar, jika tidak mahu terbalik meja dia buat.
Dan sekali lagi perkara yang sama berulang pada malam itu. Sebaik sahaja dia ingin menghidupkan enjin kereta di kawasan parkir untuk pulang ke rumah, tiba-tiba rakannya Haidir muncul di sebelah.
“Amboi, tergesa-gesa sangat kau nak balik. Dah tak sabar nak ambil awek ke? Soalnya sambil menyarung topi keledar yang dijinjitnya.
Terdiam Hasri. Sekali lagi dia mengerutkan dahi. Pelik pula rasanya kenapa ramai sangat yang kata kononnya dia bawa perempuan pulang ke rumah sedangkan setiap hari rutinnya selepas balik kerja akan terus pulang ke rumah tanpa singgah di mana-mana. Dan seperkara lagi dia mana ada teman wanita.
“Alah aku tahulah kau baru beli kereta. Terus tangkap awek baru kan! Kenal-kenalkanlah dengan kawan-kawan,” sambung Haidir sebelum memecut motosikalnya.
Hasri malas nak fikir panjang dan melayan pertanyaan rakannya itu. Selepas menghidupkan enjin dia terus memandu keluar dari kilang tempat kerjanya. Dia lihat jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Dia tarik nafas lega kerana bermula minggu hadapan dia sudah kembali bekerja syif pagi, bermakna dia akan pulang pukul 5 petang setiap hari. Bolehlah dia habiskan masa dengan rakan-rakan untuk bermain futsal dan menonton wayang.
Hampir satu kilometer memandu tiba-tiba hidungnya terhidu bau yang sungguh wangi. Hasri pandang ke luar tingkap namun dia tidak melihat apa-apa yang pelik selain semak samun dan beberapa deretan rumah kedai yang sudah gelap gelita.
Sedang asyik meninjau sekeliling tiba-tiba dia tersentak. Ketika menoleh ke arah cermin sisi di hadapan dia perasan seperti ada sesuatu. Nampak seperti ada kelibat seseorang di kerusi belakang. Lantas dia menoleh, namun tiada sesiapa berada di situ. Yang kelihatan hanyalah sebuah beg pakaiannya yang terletak kemas di kerusi belakang.
Hasri teruskan pemanduan sehingga kenderaannya sampai di kawasan parkir kediamannya. Sebaik sahaja dia buka pintu belakang untuk mengambil beg pakaian sekali lagi bau wangi tadi menerjah ke rongga hidungnya.
Malas untuk memikirkan perkara bukan-bukan, lantas dia mengunci kenderaan dan menuju ke arah lif. Namun tidak sampai beberapa langkah berjalan, baru dia teringat rokoknya tertinggal di dalam kereta. Sebaik sahaja ingin berpatah balik tiba-tiba dia tergamam. Matanya terpaku ke arah objek yang samar-samar di kerusi belakang kenderaannya.
Sah, matanya dapat melihat dengan jelas sosok seorang wanita berbaju putih sedang duduk di kerusi belakang. Namun wajahnya tidak kelihatan kerana dilitupi rambut. Jantung Hasri berdegup kencang.
Namun tidak sampai beberapa saat kemudian kelibat wanita tersebut hilang. Hasri berlari meniti anak tangga. Hasrat untuk mengambil rokok terus dibatalkan. Jantungnya masih berdebar kencang. Patutlah selama ini ramai rrakannya beranggapan dia membawa wanita pulang ke rumah, dan malam ini dia sudah mendapat jawapannya.
Namun otaknya masih ligat berputar. Yang menjadi persoalannya ketika itu adalah kewujudan wanita misteri itu. Dari mana datangnya, dan kenapa boleh berada di dalam keretanya?
Sebaik sampai di rumah terus dia mengetuk bilik rakannya Aril. Bergegas rakannya itu membuka pintu. Fikirnya ada sesuatu yang mustahak menimpa Hasri.
“Beb, aku nak tanya kau satu perkara. Agak penting jugalah,” kata Hasri sambil memandang ke arah rakannya yang masih terpinga-pinga di muka pintu ketika itu.
“Kereta yang aku beli dari saudara kau sebelum ni kepunyaan siapa sebenarnya?” tanya Hasri.
Rakannya sedikit tersentak sambil menggaru kepala. Sesekali dia mengerutkan dahi seakan cuba mengingati sesuatu.
“Kalau tak silap aku kereta yang kau beli itu kepunyaan anak saudara sepupu ayah aku. Aku pun tak kenal rapat dengan keluarga dia orang, kira macam saudara jauh jugalah. Kenapa?” tanya Aril.
Hasri menggelengkan kepala. Setelah beberapa kali menghela nafas, lantas Hasri menceritakan tentang apa yang berlaku. Terlopong mulut Aril mendengarnya. Tidak tahu bagaimana untuk dia memulakan cerita walaupun tahu serba sedikit apa yang terjadi.
“Sebenarnya aku tahu sikit pasal kereta yang kau beli ini. Tapi kalau nak tahu lebih lanjut terpaksalah aku bawa kau jumpa keluarga arwah, minta mereka ceritakan apa yang berlaku,” kata Aril bersungguh.
Hasri menggelengkan kepala. Katanya, tidak perlulah sehingga berjumpa keluarga arwah, cukup sekadar bercerita apa yang dia tahu.
Aril lantas menceritakan apa yang dia tahu. Katanya, kereta tersebut milik arwah yang berusia 25 tahun. Arwah memang sayang dengan kereta itu kerana bukan mudah untuk dia milikinya sehinggakan terpaksa berjimat dan ikat perut.
Boleh dikatakan seminggu dua, tiga kali arwah mencuci kereta itu sampaikan jadi bahan usikan ahli keluarganya. Arwah cukup jaga kereta itu sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya.
“Kalau tak silap aku arwah meninggal dunia dalam kereta itu sebelum sempat sampai ke hospital. Arwah meninggal dunia kerana sesak nafas. Waktu itu bergegas adik lelakinya bawa arwah ke hospital, tapi arwah meninggal ketika dalam perjalanan,” kata Aril panjang lebar.
Hasri terdiam mendengar cerita rakannya itu. Dia hilang idea untuk bertanya lanjut.
“Disebabkan kejadian itulah keluarga arwah ambil keputusan jual kereta tersebut. Mereka sedih dan tak sanggup lihat kereta arwah yang tinggalkan banyak kenangan,” sambung Aril lagi.
Walaupun apa yang diceritakan oleh Aril itu tidak lengkap, namun Hasri sudah faham dan mengerti jalan ceritanya. Sekurang-kurangnya dia sudah mendapat sedikit penjelasan tentang apa yang berlaku.
Dia merancang untuk berjumpa Ustaz Hafiz yang tinggal di taman perumahannya esok. Dia ingin dapatkan nasihat dan apa yang perlu dilakukan untuk menamatkan apa yang berlaku sebelum ini. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya