fbpx

Maraton bukan sekadar larian

GENG ‘kaki lari’ kini sudah mula mengatur langkah selepas pelbagai aktiviti dibenarkan termasuk penganjuran acara maraton
Tidak hairanlah jadual untuk mereka yang cintakan sukan larian padat sehingga Disember tahun ini dan segala macam acara sudah terpampang di pelbagai platform.
Sama ada di sekitar ibu negara sehinggalah ke Perlis dengan membabitkan acara jalan raya mahupun laluan denai, acara-acara yang diadakan sentiasa menerima sambutan hangat.
Sebabnya, banyak. Jujur saya katakan penganjuran acara maraton lebih-lebih lagi dalam skala besar sebenarnya bukan sekadar larian.
Di sinilah tempat berkumpulnya keluarga mahupun rakan-rakan dalam satu kelompok pengamal gaya hidup sihat yang tafsirannya bukan sekadar untuk tubuh semata-mata, sebaliknya melibatkan kesihatan mental.
Selain itu, penganjuran acara maraton terutama secara besar-besaran juga mempunyai pengisian tersendiri dan pelari bukan sekadar sembang kosong sebagaimana di kedai kopi
Rata-rata yang datang dalam acara sebegini sibuk berkongsi pengalaman, catatan masa terbaik ataupun tips larian dengan rakan-rakan seperjuangan di samping aktiviti sampingan.
Saya juga pasti majoritinya sibuk memuat naik gambar larian dan menunjukkan betapa awesomenya gaya hidup baharu mereka.
Tidak mengapa kerana sedikit sebanyak membantu menarik minat sesiapa sahaja untuk menyertai sukan paling murah dan sihat ini.
Terbaharu, buat pertama kalinya selepas hampir tiga tahun, Putrajaya diserbu lebih 10,000 pelari yang semuanya ternanti-nanti acara maraton dalam skala besar.
Acara larian Garmin Run Asia Series 2022 kali ini melibatkan beberapa kategori antaranya 42 kilometer (km); 21km; 10 km dan 5km.
Walaupun sudah lebih dua tahun tiada penganjuran acara besar, Garmin berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk kali kedua.
Boleh dikatakan segala ke­perluan untuk pelari dipenuhi dalam acara yang diadakan pada 11

September lalu.
Baik daripada segi logistik, perubatan dan aspek teknikal semua disediakan sebaik mungkin biarpun masih terdapat sedikit kekurangan.
Rata-rata pelari yang sa­ya temui juga berpuas ha­ti terutama dengan masa pe­lepasan lebih awal daripada ke­biasaan dalam acara yang lain.
Sebagai contoh, masa pelepasan untuk kategori 21 km pada pukul 4 pagi adalah yang terbaik kerana majoriti pelari beragama Islam sempat menunaikan solat Subuh sekiranya mereka berjaya menamatkan larian dalam tempoh kurang tiga jam.
Kalau ada pasal rungutan pun hanyalah berkenaan jarak yang terlebih sedikit iaitu kira-kira 800 meter daripada jarak sebenar.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Besar Garmin Asia, Scoppen Lin berkata, dengan jumlah penyertaan yang ditunjukkan dalam penganjuran ini sekaligus menunjukkan sikap prihatin rakyat Malaysia terhadap kepentingan gaya hidup sihat.
Menurutnya, tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas iaitu 7,000 penyertaan.
“Kita memberikan E-sijil kepada mereka yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam setiap kategori selain hadiah wang tunai berjumlah RM300 hingga RM800 turut diserahkan kepada pelari dalam kategori 21km.
“Sementara itu, sebanyak RM500 hingga RM1,000 di diberikan untuk kategori 42km,” katanya. – Mingguan Malaysia

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN