‘Bikers’ kongsi pengalaman di Pokhara - Utusan Malaysia

‘Bikers’ kongsi pengalaman di Pokhara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia permotoran, kita perlu tahu erti kenikmatan bukan sekadar pada pecutan atau kelajuan sesebuah jentera terutama apabila melibatkan jenis dua roda. Sebaliknya, definisi kenikmatan dalam dunia permotoran juga sebenarnya saling berkait rapat dengan keindahan alam sekitar dan jiwa pengembaraan.
Apatah lagi sekiranya pengalaman bermotosikal dinikmati di kawasan yang asing atau dalam erti kata lain di luar negara dengan meredah pelbagai bentuk muka bumi.
Bagi pemilik dan peminat motosikal berkuasa tinggi, Mohamad Nizam Kastor, 53, hobi ini sudah menjadi darah dagingnya dan agak sukar untuk meninggalkan dunia dua roda ini.
Ini kerana katanya terdapat banyak keunikan, pengalaman dan nikmat tersendiri apabila menyertai konvoi terutama di luar negara.
Malah dia yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia motosikal berkuasa tinggi tidak sama sekali melupakan detik-detik penting ketika berkonvoi di Nepal pada 2017.
“Bayangkan kalau sebelum ini kita boleh bawa motosikal lebih 200 kilometer (km) sehari di jalan biasa, tetapi trip Kathmandu ke Pokhara masa diambil untuk jarak 60 km adalah enam jam dengan menempuh laluan yang berliku-liku.
“Selain itu, altitud di kawasan berkenaan juga mencecah 3,800 meter dan keadaan laluan ada juga yang ekstrem, 60 peratus separuh tar dan 40 peratus berbatu-batu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Cuaca juga katanya, turut memainkan peranan penting dalam sesebuah ekspedisi dan konvoi apabila berada di luar negara.
Sementara itu, Mohamad Nizam yang berpengalaman berkonvoi di Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Laos berkata, pengalaman di Nepal sememangnya berbeza dan mempunyai cabaran tersendiri.
“Selain cabaran pada laluan, keindahan pemandangan memang tidak boleh dinafikan. Sebagai contoh di Kalopani dengan pemandangan gunung-ganang di sana. Boleh dikatakan jiwa, fizikal dan segalanya akan tinggal di sana apabila seseorang sudah menjejakkan kaki di sana.
“Ia memang berbeza berbanding di AS daripada segi cara pemanduan, persekitaran dan pengalaman. Kalau di AS saya rasa sudah cukup walau sekali berkonvoi di sana dan tidak perlu datang semula. Akan tetapi di Nepal saya rasa sebaliknya,” jelasnya yang turut menyertai konvoi di laluan sama bermula 4 sehingga 13 November ini.
Seramai 10 peserta akan menyertai misi ekspedisi bermotosikal ini dengan menerima beberapa tajaan termasuk daripada Royal Enfield Petaling Jaya.
Jelas Mohamad Nizam lagi, selain pengalaman, persahabatan dalam kalangan pemilik dan peminat motosikal sangat tinggi tanpa mengira latar belakang seseorang.
Dalam pada itu, Mohamad Nizam turut memberikan beberapa tips dan panduan untuk mereka yang berhajat menyertai konvoi bermotosikal di luar negara.
“Disiplin perlu tinggi. Maksudnya segalanya perlu dipatuhi daripada segi jadual tidur, keadaan motosikal, laluan dan pengetahuan lain. Persediaan mental dan fizikal juga sangat penting.
“Selain itu seseorang itu perlu tahu undang-undang di sesebuah negara. Sebagai contoh, kalau mahu berkonvoi di Thailand, lesen itu perlu lesen antarabangsa atau tidak.
“Kalau menggunakan motosikal sendiri, tidak perlu tapi kalau motosikal disewa di Thailand, perlu menggunakan lesen antarabangsa. Ini antara yang perlu diketahui supaya tidak timbul masalah lain pada masa akan datang,” terangnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya