SEORANG pembaca baru-baru ini menulis surat kepada ruangan Forum Utusan Malaysia meluahkan kebimbangan dengan kemunculan banyak kumpulan dan individu yang percaya kiamat semakin hampir.
Kiamat memang tidak perlu diragukan oleh umat Islam dan ia pasti tiba kerana sudah dikhabarkan melalui al-Quran dan hadis. Beriman kepada Hari Kiamat adalah Rukun Iman kelima yang wajib dipercayai oleh setiap orang Islam.
Cuma bila berlaku tetap menjadi rahsia Allah SWT dari pengetahuan makhluknya. Dahulu, ada pihak meramalkan kiamat akan berlaku saat alaf baharu muncul pada 2000 apabila semua sistem digital yang menggunakan komputer akan keliru.
Ia berlalu pergi dan manusia masih lagi hidup hingga sekarang. Kemudian ada pihak mendakwa dunia akan kiamat menjelang 2012 dan ia ternyata tidak benar.
Sebenarnya, yang mempercayai dunia akan binasa bukan umat Islam sahaja sebaliknya pelbagai penganut agama lain.
Ia banyak dibincangkan dalam media sosial yang kebanyakan adalah tempias daripada satu teori besar yang dikenali sebagai The Event atau Shift of the Ages yang dikatakan akan berlaku secara tiba-tiba tetapi tidak diketahui tarikhnya.
Ia sama seperti banjir yang melanda beberapa tempat di Shah Alam dan Klang, Selangor pada tahun lalu yang berpunca dari teori besar iaitu perubahan iklim yang pada asalnya didedahkan oleh ahli sains Sweden, Svante Arrhenius pada 1896 tetapi ketika itu dianggap pseudosains (sains palsu).
The Event merujuk kepada satu teori bahawa spesies manusia akan mengalami proses ascension (peningkatan diri) atau naik taraf secara fizikal menjadi manusia versi 2.0 yang mempunyai pancaindera lebih tajam.
Manusia versi 2.0 berlainan dengan kempen sesetengah pihak yang mengetengahkan konsep pengklonan manusia sama seperti kejayaan saintis di Scotland menghasilkan klon mamalia pertama iaitu biri-biri betina diberi nama Dolly pada 1996.
Ia juga tidak sama dengan gagasan transhuman yang mahu mewujudkan spesies baharu separuh manusia dan separuh robot.
Pancaindera yang lebih tajam amat berfaedah bagi membolehkan kita membuat penemuan baharu. Ia seperti ungkapan penyair dari Ireland yang juga penerima Hadiah Nobel bagi kategori kesusasteraan pada 1923, William Butler Yeats iaitu:
“Dunia ini penuh dengan perkara ajaib yang sabar menunggu deria kita bertambah tajam (untuk melihatnya).
Cukup menarik, The Event juga disentuh oleh bapa angkasa lepas Israel, Profesor Haim Eshed yang membuat pendedahan dalam temu bual dengan akhbar paling tinggi edaran di negara itu, Yedioth Ahronoth selepas bersara pada 2020.
Bekas Ketua Direktorat Angkasa Lepas, Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab melancarkan 20 satelit negara itu berkata, beliau tidak bimbang membuat pendedahan selepas bersara kerana tidak akan rugi apa-apa tetapi sempat berseloroh beliau mungkin dimasukkan ke hospital sakit jiwa jika masih berkhidmat dengan tentera negara itu.
Beliau yang berpangkat brigedier jeneral dalam Perisikan Tentera Israel berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump menyedari kewujudan makhluk asing dan telah hampir mendedahkan maklumat tetapi diminta untuk tidak melakukannya bagi mengelakkan berlaku histeria besar-besaran.
EVOLUSI
Katanya, pelbagai spesies makhluk asing yang bergabung dalam Persekutuan Galaksi sedang sabar menunggu sehingga The Event untuk manusia berkembang dan mencapai tahap bagi memahami apa itu angkasa lepas dan kewujudan kapal angkasa yang sebenarnya.
Penubuhan Angkatan Angkasa Amerika Syarikat (USSF) pada penghujung 2019 yang diilhamkan oleh Trump dikatakan ada kaitan dengan persediaan menghadapi fenomena besar itu yang dijangka akan dialami oleh generasi manusia yang hidup sekarang.
Walaupun penubuhan USSF dikritik oleh beberapa pakar bidang angkasa lepas dari Malaysia kerana dikatakan bertentangan dengan prinsip menggunakan ruang angkasa bagi tujuan aman, banyak aktiviti yang dijalankannya sekarang bukan bertujuan untuk berperang.
Sebaliknya, tumpuan USSF lebih kepada memberi pendidikan kepada kadet baharu dan generasi muda mengenai teknologi angkasa lepas dan pengetahuan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
The Event didakwa akan berlaku secara sekelip mata. Perkara ini sudah lama diketahui oleh ahli paleontologi yang mengkaji fosil purba. Mereka mendapati spesies haiwan baharu muncul secara tiba-tiba dan bukan secara beransur-ansur seperti pendapat penyelidik Inggeris, Charles Darwin yang mengemukakan Teori Evolusi Hidupan pada 1859.
Ia sama seperti dapatan sekumpulan saintis Jepun yang telah melakukan uji kaji terhadap monyet spesies Macaca Fuscata di kepulauan Koshima yang memakan keledek dicampakkan di atas pasir pada 1952.
Monyet berkenaan menyukai rasa keledek mentah itu tetapi tidak menggemari pasir yang melekat padanya. Seekor anak monyet betina berusia 18 bulan bernama Imo menemui cara untuk menyelesaikan masalah itu dengan membasuh keledek di anak sungai berhampiran.
Dia mengajar cara itu kepada ibunya. Kawan-kawannya juga belajar kaedah terbabit yang kemudiannya mengajar ibu masing-masing. Pada 1958, sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila monyet ke-100 belajar kaedah baharu itu.
Secara tiba-tiba, semua monyet membasuh keledek walaupun tidak diajar. Apa yang mengejutkan, monyet di pulau-pulau lain yang dipisahkan oleh laut juga melakukan perkara sama.
Kejadian yang digelar Fenomena 100 Ekor Monyet akan berlaku apabila setiap spesies mencapai critical mass (jisim genting) yang merujuk kepada bilangan minimum yang diperlukan bagi membolehkan perubahan berlaku.
Dikatakan spesies manusia sedang melalui fasa akhir untuk mencapai jisim genting yang menyaksikan satu perubahan besar-besaran berlaku yang akan meningkatkan keupayaan fizikal kita.
Benar atau tidak hujah-hujah akan berlaku The Event perlu dibincang dan diperdebatkan seperti yang selalu disebut ahli astronomi AS, Carl Sagan yang novel karyanya bertajuk Contact, mengenai kejayaan manusia berkomunikasi dengan makhluk asing telah dijadikan filem Hollywood pada 1997.
Tegasnya: “Ubat untuk hujah yang salah adalah hujah yang lebih baik, bukan penindasan idea.”
Malangnya, sehingga kini sangat sukar mendapatkan maklumat mengenai fenomena The Event walaupun setelah berjam-jam melakukan pencarian melalui enjin carian, Google. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











