Kamus dwibahasa Melayu-Cina paling lengkap dihasilkan

Kamus dwibahasa Melayu-Cina paling lengkap dihasilkan

SEBANYAK 16 kamus bahasa berjaya dihasilkan oleh pasangan Yang Quee Yee dan Chan Meow Hua (kanan) sepanjang 50 tahun. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang 1950an hingga 1960an, Persekutuan Tanah Melayu sedang rancak ke arah kemerdekaan. Masyarakat Cina di Singapura dan Malaysia memperlihatkan minat yang tinggi dalam mempelajari bahasa Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 16 hingga 21 September 1956, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga dianjurkan di Johor Bahru dan Singapura. Tiga mahasiswa dari Universiti Nanyang (Nantah), Lim Huan Boon, Goh Choo Keng dan Yang Quee Yee diundang sebagai pemerhati khas ke majlis tersebut. Mereka pada waktu itu ialah editor majalah Mimbar Universiti di Nantah.

Dalam majlis tersebut, mereka bertiga dipelawa oleh Bao Sikin, pekamus dwibahasa unggul dari Indonesia untuk menyusun sebuah kamus bahasa Melayu-Cina dalam ejaan Rumi. Bagaimanapun, tugasan itu akhirnya digalas oleh Huan Boon seorang diri. Hampir dua tahun berusaha, akhirnya Kamus Melayu-Tionghoa dalam ejaan Rumi itu diterbitkan oleh The Shanghai Book Company, Singapura pada 1958.

Pada 1959, sebuah kamus tribahasa berjudul Kamus Berguna Bahasa Melayu-Tionghoa-Inggeris susunan Lu Po-yeh diterbitkan oleh The World Book Co., Singapura.

Po-yeh (1923-1961) dilahirkan di Ipoh, Perak. Beliau kemudian berhijrah ke Sumatera, Indonesia untuk suatu ketika. Sekembali ke Singapura, beliau bekerja sebagai penterjemah di sebuah akhbar berbahasa Cina dan juga di mahkamah Singapura.

Po-yeh berazam kuat untuk menghasilkan sebuah kamus tribahasa yang betul-betul memenuhi keperluan dan aspirasi penutur bahasa Melayu keturunan Cina.

Menurut pekamus Kamus Kembangan dan Kamus Perdana (Bersama Cheng Song Huat), Lai Choy, terbitan kamus Po-yeh bagaikan hembusan bayu menyegarkan hati para pembaca yang amat memerlukan sebuah bahan rujukan bahasa Melayu seiring dengan perkembangan zaman. Malangnya, Po-yeh kembali ke pangkuan Pencipta pada usia 38 tahun.

Seterusnya, Yang Quee Yee dan isterinya, Chan Meow Hua (pekamus dwibahasa di negara ini) menceritakan, pada awal 1950-an, hampir tiada kamus Melayu yang sesuai untuk pelajar Cina. Kamus-kamus Melayu pada masa itu hanya dalam tulisan Jawi.

Oleh demikian, Quee Yee mencatatkan semua kosa kata yang ditemui beliau daripada bahan-bahan bacaan bahasa Melayu yang dibacanya ke dalam buku dan melabelkan dengan huruf A hingga Z. Beliau juga mentakrifkan makna setiap kata dasar dan kata terbitan serta memberikan huraian pendek ke dalam bahasa Cina.

Quee Yee dilahirkan di Pontian, Johor pada 1931. Sejak kecil, beliau banyak terdedah kepada persekitaran bertutur bahasa Melayu. Semasa menyambung pelajaran di Nantah pada 1956, beliau menjadi tutor subjek bahasa Melayu bagi kelas malam di kampus dan giat mengajar bahasa Melayu di luar kampus.

Beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia (UI) pada 1961 hingga 1962. Juga menyandang jawatan Pensyarah Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa Moden, Nantah antara 1962 hingga 1964.

INDONESIA

Selepas berhenti mengajar di universiti, Quee Yee mengambil keputusan menjadi seorang pekamus sepenuh masa. Beliau dibantu Meow Hua yang bekerja di sebuah syarikat akhbar Cina pada waktu itu. Pasangan suami isteri itu berganding bahu dengan memilih Kamus Umum Bahasa Indonesia (KUBI) susunan W.J.S. Poewadarminta sebagai naskhah panduan.

Meow Hua menaip entri-entri yang sesuai dan menukarkannya daripada ejaan Indonesia kepada ejaan Malaysia daripada sejumlah kata dasar kamus asal. Kerja pentakrifan maksud ke dalam bahasa Cina dan pengumpulan bahan tambahan pula diusahakan oleh Quee Yee.

Quee Yee dan Meow Hua mengumpulkan semua bahan perkamusan menggunakan sistem kad. Kaedah itu sering disifatkan oleh mereka berdua sendiri sebagai kaedah paling primitif.

Setiap entri ditaip atau diisi dengan tulisan tangan pada sekeping kad. Kad-kad entri itu kemudian disimpan di dalam peti aluminium berukuran 30 sentimeter panjangnya. Kad-kad terkumpul akan disusun mengikut turutan abjad pada peringkat akhir. Setelah enam tahun berusaha keras, draf kasar Kamus Umum (bersaiz 8 x 5 inci) berjumlah 1,557 halaman hasil pasangan itu sedia untuk dicetak.

Kebetulan pada Ogos 1970, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Kamus Dewan Edisi Pertama. Oleh itu, pasangan suami isteri berkenaan mengambil keputusan menyelaraskan isi kandungan Kamus Umum yang siap itu dengan Kamus Dewan. Akhirnya, Kamus Umum hasil mereka diterbitkan pada 1972 oleh The World Book Co. di Kuala Lumpur. Kamus terbitan mereka itu disifatkan oleh Berita Harian, Singapura sebagai kamus dwibahasa paling lengkap pernah dihasilkan.

Penerbitan kamus dwibahasa memang rumit dan mencabar pada waktu itu. Kerja penghasilan kamus memakan masa kerana teks huruf Rumi dan huruf Cina yang siap ditaip secara berasingan perlu dikerat, dicantum dan ditampal dengan pelekat pada kertas graf terdahulu sebelum dibuat plat cetak untuk kerja pencetakan.

Pada 1973, sebuah lagi kamus hasil Quee Yee, Lim Chin Kiat dan Meow Hua berjudul Kamus Sari Ejaan Bersama menembusi pasaran pelajar sekolah rendah. Kamus berbentuk saku berkulit merah itu popular digunakan. Kamus itu menjadi bahan wajib bagi kebanyakan murid sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara sepanjang 1970-an hingga 2000.

Kini, 50 tahun sudah berlalu. Keringat dan penat lelah pasangan pekamus itu tidak sia-sia. Sehingga hari ini, sebanyak 16 buah kamus bahasa berjaya dihasilkan oleh mereka.

Pada 2007, Quee Yee dianugerahkan Doktor Kehormat Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau dalam perkamusan bahasa Melayu.

Lai Choy, pekamus tempatan mengulas, penglibatan Quee Yee atau lebih dikenali sebagai Pak Yang sepanjang hayatnya telah menyuluhi dan menyuburi alam perkamusan dwibahasa tanah air. – UTUSAN

PENULIS ialah siswazah Ijazah Sarjana Media & Komunikasi dari Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN