BERMULA kelmarin, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 1444H selepas kali terakhir menganjurkannya untuk kali ke-61 pada 2019.
Penganjurannya tergendala selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19 yang mula dikesan pada 23 Januari 2019. Kali ini ia berlangsung di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pukul 8.45 malam mulai 19 hingga 24 Oktober 2022.
Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Selangor, Sofizah Mousin iaitu johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M akan mewakili negara dalam peringkat antarabangsa kali ini.
Bagi menjamin kualiti qari dan qariah, Jawatankuasa Induk MTHQA Ke-62 bersetuju para peserta yang akan menyertai MTHQA perlu melalui sesi saringan.
Sesi tersebut selesai dijalankan pada 1 hingga 7 Julai 2022 secara dalam talian. Ia melibatkan penyertaan 64 peserta daripada 40 negara. Ini termasuk peserta dari Afghanistan dan Jordan yang pertama kali menyertai tilawah al-Quran tahun ini.
Demikianlah usaha negara untuk memastikan MTHQA mengekalkan prestijnya. Memang sejak 61 tahun lalu, penganjuran MTHQA negara sentiasa menjadi perhatian bukan sahaja golongan qari dan qariah tetapi juga para hakim antarabangsa.
Bukan itu sahaja, Malaysia turut menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize Of Holy Quran.
Untuk itu, inilah masa dan ketika yang terbaik untuk umat Islam memberi tumpuan menghadiri program di KLCC ini. Ambillah peluang untuk hadir dan mendengar serta menyaksikan suasana dan kehebatan para qari dan qariah mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran secara bertaranum.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu. (Riwayat Abu Daud)
Menurut Imam al-Nawawi, hadis di atas membawa maksud hendaklah seseorang itu membaca al-Quran dengan suara yang baik agar orang yang mendengar merasa seronok atau asyik. [Lihat: Fatawa Imam al-Nawawi, 293]
Umum kita maklum tentang kelebihan membaca al-Quran. Dengan membaca kitab suci ini, ia dapat menjadikan suasana dan keadaan di sekitar kita menjadi lebih tenang, aman, damai dan penuh dengan keberkatan. Mereka yang membacanya akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda dan akan diberi kebaikan oleh Allah SWT sebagai seorang yang soleh.
Ini terbukti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya). (Fathir: 29-30)
Dalam membaca al-Quran, hendaklah kita berusaha untuk memahami atau mentadabbur isi kandungannya. Allah SWT amat menyukai orang yang menuntut ilmu seperti yang tertera di dalam al-Quran.
Ia sepertimana firman Allah SWT bermaksud: Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah: 11)
Dengan membaca al-Quran, ia akan membuatkan seseorang itu dilihat seperti bercahaya dan dipenuhi nur. Situasi ini akan membuatkan seseorang itu menjadi lebih disayangi, dihormati, disenangi dan dihargai oleh ramai orang.
DAPAT RAHMAT
Membaca al-Quran juga dapat mendatangkan rahmat daripada Allah SWT. Para malaikat juga akan memberi perlindungan daripada segala kejahatan yang dapat dilihat mahupun tidak kepada mereka orang yang membaca al-Quran.
Ini sama seperti kita membaca doa dan meminta perlindungan daripada Allah SWT kerana doa-doa tersebut datangnya daripada ayat-ayat al-Quran. Oleh itu, dengan mengaji juga bermakna kita turut berdoa kepada Allah SWT.
Segala ayat doa di dalam al-Quran adalah perkara yang baik-baik. Contohnya, membaca firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhanku kurniakanlah untukku anak-anak yang soleh. (al-Saffat: 100)
Ayat ini boleh digunakan sebagai doa yang boleh diamalkan supaya anak-anak menjadi lembut hati, pintar dan soleh. Bagi mereka yang sering lalai daripada membaca al-Quran, hendaklah menjadikan majlis tilawah ini sebagai titik perubahan. Ini untuk mengelak rumah kita jadi seperti kubur.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim)
Dalam menghuraikan hadis ini, Sheikh al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dengan rumah seperti kubur itu adalah rumah-rumah yang sunyi dari zikrullah dan bacaan al-Quran.
Hal ini pernah diingatkan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda yang bermaksud: Perumpamaan orang yang mengingati Allah dengan orang yang tidak mengingati-Nya, seumpama orang yang hidup dengan orang yang mati. (Riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran juga diberi ganjaran yang banyak. Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Sunan Tirmizi)
Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat dan juga sebagai panduan kepada umatnya.
Selain disiarkan menerusi RTM1, MTHQA Ke-62 boleh ditonton melalui saluran media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti TV Jakim, Facebook dan TikTok Jakim serta lintas langsung dari beberapa radio RTM seperti Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli). – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.











