BARISAN Nasional (BN) tidak ada pilihan, melainkan nekad melakukan satu lagi eksperimen berani menyenaraikan calon-calon yang diyakini boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu menjadi penanda aras tepat untuk BN mencipta kebangkitan dalam ibu segala pilihan raya ini. UMNO perlu sentiasa terus mencungkil bakat-bakat pemimpin baharu untuk diangkat sebagai pimpinan muda. Sama seperti PRN Melaka, 20 November 2021, kemunculan ramai muka baharu yang menjadi pilihan membawa cabaran BN berjaya membuktikan hasil memberangsangkan. Pembangkang tewas teruk dalam kedua-dua PRN itu.
Kerana itu berdepan pengundian 19 November ini, pastikan calon yang bercirikan ‘wali’ ada dan terungkap untuk dijadikan pilihan oleh kepimpinan BN. Wali merujuk kepada ciri boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.
Apa yang perlu dipastikan oleh BN adalah calon yang setia pada parti dan kepimpinannya biar apa jua gelombang dan cabaran mendatang. Yang lebih penting lagi, tidak terpalit apa-apa jua isu serta memiliki rekod sejarah diri yang baik. Pastikan untuk calon Parlimen, ada kelulusan akademik minimum ijazah dan pastikan kesahihan sijil tersebut.
Kepada kepimpinan 191 bahagian UMNO seluruh negara, masing-masing harus berlapang dada dan berjiwa besar soal pemilihan calon PRU15. Seandainya calon dipilih di luar kepimpinan bahagian pun, mereka harus akur dengan kriteria wali ditetapkan UMNO iaitu boleh menang, diterima dan disukai komuniti.
Demikian juga kriteria dan syarat sama harus diterima oleh tiga lagi parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). BN tidak memerlukan ‘calon kabel, cium tangan dan pegang kaki presiden’ tetapi calon perlulah ada ciri wali ini. Pembahagian kerusi di antara komponen BN juga harus diteliti dan diamati. Perasaan akar umbi dan penyokong parti harus difahami. Tidak semesti kerusi tradisi perlu kekal kepada sesebuah parti. Selami hasrat dan nurani pengundi agar BN kekal di hati.
Dengan komitmen Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersetujui pemilihan calon UMNO juga harus disepakati dalam kalangan lima kepimpinan teratas menandakan BN tidak memandang enteng cabaran dan tentangan yang bakal dihadapi daripada parti-parti pesaing.
Pemilihan calon pasti ketat. Pengundi mahu melihat senarai berwibawa, berpendidikan dari latar belakang keluarga yang baik dan dikenali. Bukan baharu hendak dikenal. Dan parti memerlukan calon yang setia semasa senang dan susah serta disenangi akar umbi. Seperti kata Ahmad Zahid, “Di kala menang kita bersama, di kala kalah kita setia.”
100 HARI
Satu perkara yang harus diterima dari segi hakikat politik ialah BN terutama UMNO tidak boleh menang dengan hanya bersandarkan undi ahli-ahlinya. Ia mesti diperoleh daripada pengundi luar UMNO. Pengundi tegar ada dalam kalangan yang tidak menganggotai mana-mana parti. Maka, kebolehmenangan ini bersandarkan satu perkhidmatan sebagai rekod prestasi yang diperoleh. Dan apakah aku janji yang boleh diterjemahkan untuk melaksanakan dalam 100 hari pertama dan dalam tempoh untuk dua tahun setengah iaitu separuh penggal dan satu penggal sepenuhnya?
Perkara itu yang menjadi asas kepada UMNO memberitahu akar umbi bahawa rekod prestasi mesti suatu realiti yang perlu dihidangkan ikut mereka membuat perbandingan kerana BN dimulakan dengan Parti Perikatan berada dalam persada kepimpinan negara dalam kerajaan selama 63 tahun.
Selepas itu, apabila kejutan berlaku dengan tidak memberikan kelebihan kepada BN pada 9 Mei 2018, maka rakyat khususnya pengundi mempunyai pengalaman selama 22 bulan diperintah Pakatan Harapan sejak 9 Mei 2018 untuk buat perbandingan. Selepas itu, perbandingan dibuat lagi di bawah Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan (bermula 1 Mac 2020). Jadi dalam senario begitu, BN harus menghidangkan kepada rakyat bahawa berdasarkan rekod dan kajian perbandingan, ia telah memberi kelebihan kepada BN.
Presiden serta Top Five UMNO harus tegas dengan kriteria calon. Jangan kompromi. Jangan tambah satu lagi kriteria iaitu ‘kasihan’ yang akhirnya wali bertukar ‘walik’ (kasihan).
Seperti mana kasihan baharu satu penggal menjadi wakil rakyat, ada pula kasihan belum pernah jadi wakil rakyat walau sudah lama pegang jawatan penting dalam parti. Juga, ada kononnya bakal dipilih tetapi terpalit pula dengan projek gagal beratus juta ringgit di negeri sehingga syarikat anak negeri jadi bankrap. Juga dikatakan ada bakal calon yang menjawat jawatan pengerusi sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) terpalit pula memberi pinjaman projek kepada rakan yang pernah bersama-sama membuat projek gagal di peringkat negeri. Siasat dengan terperinci segala ini, sebelum memuktamadkan senarai calon.
Ada bakal calon tidak disukai orang parti dan akhirnya diketepikan pucuk pimpinan parti sehingga dia bawa diri sebagai calon Bebas. Hairannya, dia calon tunggal parti itu yang menang pilihan raya lepas. ‘Salah langkah’ ini terjadi di PRN Johor tempoh hari.
Malah ada kerusi yang calonnya dibayangi karektornya yang dia sendiri tidak boleh ubah. Itulah ‘dia sejak dahulu’, cakap selalu ‘tinggi.’ Di saat-saat genting semasa kempen pun masih ‘bodoh sombong’ enggan dapat bantuan bekas wakil rakyat partinya.
Sebelum watikah ditandatangan adalah waktu paling kritikal. Presiden wajib tegas dan kekal jati diri. Jauhi emosi, penabur janji dan terkenang budi. Presiden sepatutnya amat arif dengan apa yang telah terjadi selama ini. Pilihlah individu yang dipercayai dan jauhi rasa simpati. Ramai yang berdrama di saat-saat akhir ini. Jangan dikaburi dengan emosi. Buatlah keputusan berdasarkan ‘wali’.
Golongan yang berkali-kali gagal juga harus dihindari. Rekod dan prestasi adalah bukti. Kalau sudah kalah berkali-kali, adakah dia calon ‘wali’? BN tidak boleh gagal kali ini dalam ibu segala pilihan raya – PRU15. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











