Evolusi 55 tahun SPRM perangi rasuah

Evolusi 55 tahun SPRM perangi rasuah

SPRM bekerjasama dengan Nottingham Trent University, United Kingdom dalam membangunkan modul kursus asas pegawai bagi meningkatkan tahap profesional para pegawainya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG tempoh 55 tahun penubuhannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mengekalkan kerelevanannya sebagai agensi penguat kuasa dengan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dalam membanteras pelbagai kes rasuah sekali gus mengurangkan ketirisan dana negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melaksanakan transformasi besar menggunakan tiga strategi utama, iaitu dari segi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan. Jelas beliau, tindakan menjalankan siasatan selepas menerima aduan telah ketinggalan yang mana SPRM kini mengamalkan Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) dan Siasatan Berasaskan Pasukan Pengurusan (MTI), iaitu langkah lebih proaktif dalam membongkar kes berprofil tinggi.

PERKASA TIGA STRATEGI

Dalam tempoh lima tahun akan datang, SPRM bakal terus memperkasakan tiga strategi berkenaan. Pada masa sama mengukuhkan lagi dasar, strategi, tenaga kerja dan akta supaya selaras dengan perkembangan semasa. Selari dengan perkembangan teknologi, taktik rasuah dilihat semakin rumit dan SPRM menjalinkan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menguruskan serta mengesan aktiviti dan wang rasuah yang dilakukan secara dalam talian.

Bercerita mengenai pencapaian SPRM, Azam berkata, kejayaan yang dicapai adalah hasil usahasama para pegawainya yang berani serta tabah dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan sehingga berjaya membantu dalam kemenangan kes pendakwaan.

“Setiap kes memerlukan enam hingga tujuh pegawai penyiasat. Semakin besar skala kes, semakin ramai pegawai diperlukan. Justeru, kami tidak berhenti menjalankan tugas termasuk dalam tempoh pandemik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

KES BERPROFIL TINGGI SELESAI

Kes berprofil tinggi banyak diselesaikan hasil tuntutan pelbagai pihak dan menafikan segala dakwaan bahawa SPRM mengamalkan sikap pilih bulu atau cenderung kepada satu-satu pihak dalam membanteras rasuah. Sebaliknya bersikap profesional serta telus menjalankan tugas tanpa berpihak pada mana-mana entiti.

Menurut Azam, antara siasatan berprofil tinggi melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. yang bukan sahaja menyiasat mereka yang berpangkat dan berkedudukan tinggi, malah memulangkan aset yang mana SPRM menjejak harta-harta yang hilang di luar negara.

“Dalam masa sama, kes skandal air Sabah dan kes melibatkan kartel yang semakin banyak berlaku.

“Menerusi Op Power, iaitu sindiket bitcoin yang mencuri bekalan elektrik telah menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian RM2.3 bilion dalam tempoh empat tahun selain operasi berkaitan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra),” ujarnya.

WANITA TURUT DITANGKAP, DITUDUH

Dalam pada itu, tambah Azam, dalam tempoh hampir tiga tahun bermula 2020 hingga Ogos 2022, SPRM menangkap 2,553 individu dan sebanyak 1,313 pertuduhan dilaksanakan.

“Jika kita perincikan jumlah tersebut, SPRM telah menangkap seramai 998 individu pada 2020, 851 (2021) dan tahun ini sehingga Ogos, kami menahan 704 individu berkaitan kes-kes rasuah.

“Manakala pertuduhan dalam tempoh sama melibatkan jumlah yang besar, iaitu 522 individu dituduh pada 2020, 525 (2021) dan 266 bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini,” ujarnya.

Berhubung penglibatan golongan wanita dalam kes salah laku rasuah yang semakin berleluasa, berdasarkan statistik bagi 2017 ialah seramai 101 orang dan meningkat kepada 125 (2018) manakala pada 2019 seramai 188 orang, 154 (2020) dan 114 (2021) dengan jumlah keseluruhan ditangkap dari Januari 2017 hingga Ogos 2022 sebanyak 824 orang.

Beliau berpendapat, perkara ini berlaku mungkin disebabkan golongan wanita sekarang sudah memegang jawatan yang tinggi sama seperti lelaki. Oleh itu, mereka juga terdedah kepada ruang dan peluang untuk menerima atau memberi rasuah.

PERKASA SEMANGAT INTEGRITI DALAM MASYARAKAT

Sementara itu, Azam memberitahu, pelbagai usaha mempromosikan semangat integriti dan membanteras rasuah diperkasakan dalam kalangan masyarakat.

“Antaranya Integrity Pact yang telah diusahakan SPRM dan Kementerian Kewangan (MOF) supaya ada satu bentuk pemantauan dan ikrar dalam kalangan memasuki tender kerajaan di bawah MOF. Ia juga meningkatkan integriti dan memerangi amalan rasuah serta mengelakkan sebarang isu berkaitan konflik berkepentingan dalam perolehan kerajaan.

“Ini termasuk pengisytiharan pembida atau orang awam untuk tidak menawar dan memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak atau sebagai ganjaran mendapatkan kontrak dan bagi mempecepat satu-satu urusan perolehan kerajaan,” katanya

Satu lagi pencapaian yang dibanggakan ialah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) mendapat penarafan sebagai pusat pemberi pendidikan tinggi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2020 selain bekerjasama dengan Nottingham Trent University, United Kingdom dalam membangunkan modul kursus asas pegawai bagi meningkatkan tahap profesional pegawai SPRM.

Seterusnya, Azam menjelaskan, pihaknya turut menggiatkan usaha membudayakan amalan membanteras rasuah dalam silibus pendidikan negara.

“Kita dan Kementerian Pendidikan telah bekerjasama memperkenalkan elemen antirasuah dalam buku teks sekolah rendah dan menengah secara berperingkat sejak 2016,” ujarnya.

Sementara itu, pada 19 April 2021, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah bersetuju agar modul KIAR ditawarkan sebagai subjek elektif peringkat sijil, diploma dan sarjana muda di semua institusi pengajian tinggi (IPT) mulai 2022, seterusnya menjadi kursus wajib mulai 2023. Terkini, modul Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditawarkan dalam masa terdekat di 22 Institusi Latihan dan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×