CHINA sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan kerjasama penting bagi Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21. Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mula terjalin sejak 1974 dan kekal kukuh hingga kini.
Kepercayaan yang dibentuk antara satu sama lain menyebabkan ia sentiasa bekerjasama untuk tujuan pelestarian ekonomi, keselamatan dan politik.
Dengan keyakinan yang teguh terhadap kebolehan China, Malaysia menjalinkan kerjasama bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala. Ia akan menghubungkan rangkaian kereta api Pan-Asia yang lebih luas.
Projek ECRL adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam Inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (BRI) yang diperkenalkan oleh China.
Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited (HSBC), Peter Wong baru-baru in berkata, Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat di bawah inisiatif BRI. Kenyataan ini jelas menunjukkan kepercayaan antara satu sama lain kekal terbentuk.
BRI adalah strategi geopolitik Beijing untuk membangunkan Laluan Sutera masa kini melalui rangkaian pelabuhan, landasan kereta api, jalan raya dan laluan perdagangan yang akan menghubungkan China ke pasaran di Asia Tenggara, Asia Selatan dan beberapa kawasan jangkauan lain.
Ia penting bagi memastikan kesalinghubungan rantaian bekalan bersama-sama serta melancarkan aliran perdagangan dan perniagaan merentasi sempadan khususnya Malaysia dan China.
Tambahan pula, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2008. Berdasarkan Statistik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, perdagangan dengan China pada sembilan bulan pertama 2021 berkembang 27.4 peratus kepada RM304.1 bilion berbanding tempoh sama 2020. Peratusan ini dijangka meningkat apabila projek ECRL siap menjelang 2026.
Barangan dagangan dari selatan China seperti pelabuhan-pelabuhan Shenzhen, Guangzhou dan Hong Kong boleh diangkut melalui ECRL ke Pelabuhan Klang. Laluan ini dijangkakan boleh mengurangkan kesesakan kapal di Selat Melaka dan pergantungan kepada pelabuhan Singapura.
Projek infrastruktur pengangkutan awam darat itu adalah langkah persediaan awal bagi mewujudkan sistem perhubungan dan pengangkutan awam moden, sistematik serta terancang bagi menghadapi perubahan zaman apabila negara mencapai status negara maju.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pernah menyebut, jajaran ECRL menawarkan laluan yang baik bagi perdagangan antarabangsa dan menjadikannya lebih menarik untuk industri perniagaan berorientasikan eksport.
RISIKO
Projek ECRL sepanjang 688 kilometer menghubungkan pelabuhan, bandar raya dan industri di sepanjang laluan pantai timur hingga Kuala Lumpur serta Pelabuhan Klang di bahagian barat melibatkan anggaran kos sebanyak RM44 bilion. Pada perjanjian asal, kos projek ECRL adalah RM65.5 bilion.
Kos ini sangat besar dan membebankan kerajaan. Namun, hasil perundingan antara kedua-dua negara telah berjaya menurunkan kos sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal. Ia sangat memberi impak positif kepada struktur pengurusan kewangan kerajaan.
Hasil perundingan tersebut juga, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) bersetuju untuk membentuk syarikat usaha sama bagi mengurus, mengendali dan menyelenggara rangkaian ECRL.
CCCC bersetuju menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek itu siap. Persetujuan tambahan ini akan meringankan beban kewangan negara yang sebelum ini menanggung keseluruhan kos operasi dan penyelenggaraan.
CCCC yang dilantik dan dipertanggungjawabkan oleh kerajaan sebagai kontraktor utama untuk menyiapkan pembinaan projek ECRL mengesahkan sebanyak 1,321 permohonan sebagai subkontraktor telah dihantar oleh syarikat-syarikat berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Angka ini menunjukkan kontraktor tempatan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kontraktor utama dari China.
Projek ECRL seolah-olah memberi nafas baharu dan peluang untuk mengetengahkan keupayaan kontraktor tempatan menjalinkan kerjasama yang baik dengan kontraktor antarabangsa.
Pemindahan pengetahuan dan teknologi pakar dari China melalui projek infrastruktur berskala besar juga boleh dicapai.
MRL selaku pemilik projek ECRL menyatakan, penyertaan untuk bekerjasama dengan syarikat antarabangsa tidak tertakluk kepada industri pembinaan tempatan sahaja malah ia digalakkan juga kepada industri tempatan lain seperti pembekal, pembuatan, perunding dan skop lain yang berkaitan.
Penglibatan secara meluas daripada pelbagai industri utama mampu meningkatkan kemahiran serta pengetahuan antara kedua-dua negara.
Projek ECRL bukan sahaja membawa kemasukan modal dan teknologi, malah ia bakal membuka peluang perniagaan secara terus kepada penduduk setempat.
Syarikat asing juga pasti mengintai peluang pelaburan di pantai timur seperti di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan kawasan perindustrian di negeri lain kerana ECRL menghubungkan pengangkutan kargo dari pelabuhan utama di pantai barat ke pantai timur Semenanjung.
Projek ECRL bukan sahaja mengukuhkan kestabilan ekonomi antara Malaysia dan China secara global malah meningkatkan ekonomi serta mengubah landskap pembangunan bagi penduduk luar bandar khususnya Wilayah Ekonomi Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Antara impak positif yang dapat dicapai melalui jajaran ini adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menjana pendapatan penduduk setempat tanpa perlu berhijrah ke bandar metropolitan.
Oleh itu, dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa projek ECRL dipersetujui atas dasar dan kepentingan politik semata-mata adalah tidak benar. – UTUSAN
DR. Nur Syafiqah A. Samad ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Keusahawanan & Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).











