PENULARAN berita dakwaan berlaku cubaan culik murid sekolah di beberapa negeri mula membimbangkan ibu bapa. Masing-masing risau memikirkan tahap keselamatan anak baik ketika pergi mahupun pulang dari sekolah.
Walaupun kesahihan berita yang tular itu masih belum dapat dibuktikan oleh pihak berkuasa, namun kita tetap perlu memandang serius isu ini sekali gus mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Ironinya, kes penculikan mahupun kehilangan kanak-kanak di Malaysia bukan perkara baharu sebaliknya sudah banyak dilaporkan sebelum ini. Misalnya, berdasarkan data pihak berkuasa, seramai 1,509 kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dari 2020 hingga Februari lalu.
Daripada jumlah itu; 1,424 orang ditemui semula manakala 85 lagi masih hilang di mana kebanyakan kes tidak semuanya ditemui selamat.
Kes kehilangan paling tinggi membabitkan kanak-kanak berusia 13 sehingga 17 tahun iaitu seramai 1,330 orang diikuti lapan hingga 12 tahun (138 orang) dan setahun hingga tujuh tahun (41 orang).
Walaupun tidak semua yang hilang ini membabitkan kes penculikan, namun secara umumnya isu kehilangan kanak-kanak amat membimbangkan. Hanya ibu bapa terlibat sahaja tahu betapa seksa hidup mereka apabila kehilangan insan tersayang.
Justeru, tanpa menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak, semua lapisan baik ibu bapa, guru, pihak berkuasa dan anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing agar dapat menangani masalah ini khususnya keperluan untuk mencegah sebelum sesuatu insiden tidak diingini berlaku. Tuntasnya, tugas menyediakan persekitaran yang selamat kepada anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama.
Secara umumnya, keselamatan anak-anak boleh terancam di pelbagai lokasi dan mengikut situasi atau ruang yang membuka peluang untuk para penjenayah mengambil kesempatan atas kelekaan mahupun kecuaian kita sendiri.
Misalnya, kes penculikan boleh berlaku ketika anak-anak pergi dan pulang dari sekolah jika tidak diuruskan oleh ibu bapa atau bas sekolah, di luar kawasan sekolah ketika menunggu ibu bapa atau bas sekolah, di taman permainan kawasan perumahan serta di kawasan umum lain termasuk ketika membawa anak-anak ke pasar raya mahupun sebarang program dan majlis keramaian.
Antara faktor asas yang secara lazimnya menyumbang kepada kejadian kes penculikan kanak-kanak ialah kecuaian ibu bapa atau penjaga, masyarakat sekeliling tidak cakna atau ambil peduli dan ada elemen keuntungan kepada penculik.
Secara prinsipnya, ibu bapa atau penjaga adalah pihak yang paling bertanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak.
Namun, hari ini kita dapat lihat ramai yang cuai dan tidak begitu mengutamakan keselamatan anak. Misalnya, membiarkan anak-anak pergi atau balik dari sekolah secara bersendirian, membiarkan anak-anak menunggu lama di luar kawasan sekolah serta terlalu leka ketika membawa anak-anak ke sesuatu tempat umum.
ORGAN
Sikap masyarakat yang terlalu mementingkan diri serta tidak peduli apa berlaku di sekeliling juga amat dikesali kerana memudahkan kerja para penjenayah.
Jujurnya, ketika ini nilai hidup bermasyarakat semakin tidak diamalkan malah kita semakin sebati dengan budaya selagi sesuatu kejadian itu tidak kena pada batang hidung sendiri, selagi itulah kita tidak mempedulikan masalah orang lain.
Selain itu, penjenayah menjadikan aktiviti penculikan sebagai sumber pendapatan lumayan dengan cara sama ada meminta wang tebusan atau menjual organ di pasaran gelap. Ini menyebabkan mereka semakin rancak mencari mangsa di kawasan-kawasan strategik seperti luar sekolah dan taman permainan.
Justeru, hanya dengan cara pemupukan tahap kesedaran yang tinggi serta kerjasama yang baik daripada setiap lapisan masyarakat dapat menangani masalah penculikan kanak-kanak di negara ini.
Ibu bapa misalnya perlu lebih serius dalam menyediakan persekitaran yang selamat kepada anak-anak. Pastikan sentiasa ditemani dan jangan sesekali membiarkan mereka keseorangan di mana-mana kawasan luar rumah termasuk di luar pagar sekolah. Ingat, ada sahaja mata yang sentiasa memerhati gerak-geri kanak-kanak serta menunggu peluang untuk mengambil kesempatan.
Oleh kerana banyak dakwaan pada ketika ini membabitkan kes di luar kawasan sekolah maka di samping tanggungjawab ibu bapa, eloklah pihak keselamatan seperti polis, sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) memainkan peranan sewajarnya.
Seboleh-bolehnya jangan biarkan anak-anak keseorangan di luar pagar sekolah untuk menunggu ibu bapa, sebaliknya sediakan ruang menunggu dalam kawasan sekolah. Setiap sekolah juga perlu memastikan pengawal keselamatan lebih proaktif dan menjaga keselamatan murid.
Dalam banyak kejadian dilaporkan, penjenayah menyamar sebagai kenalan ibu bapa atau memaklumkan diminta oleh ibu bapa untuk menjemput mereka pulang dari sekolah. Maka dalam kes seperti ini, kita berharap pihak sekolah lebih berhati-hati dengan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kesahihan perkara tersebut.
Guru bertugas dan pengawal keselamatan perlu menghubungi ibu bapa murid bagi mengesahkan perkara tersebut sebelum membenarkan individu itu membawa pulang murid.
Dalam pada itu, peranan pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang terdiri dalam kalangan anggota polis juga wajar ditambah baik bagi membantu mencegah kejadian jenayah di kawasan sekolah. Anggota PPS yang dilantik untuk menjaga sekolah perlu mewujudkan sistem peronda dan kawalan pemantauan secara lebih sistematik dan berjadual.
Mereka perlu berada di kawasan pagar sekolah pada waktu murid hadir dan pulang dari sekolah untuk memantau tahap keselamatan.
Sebagai langkah tambahan, PIBG dengan kerjasama kumpulan sarana ibu bapa (KSIB) pula boleh menubuhkan pasukan pemantau tersendiri untuk menjaga keselamatan anak-anak di luar kawasan sekolah. Ibu bapa boleh bertugas secara bergilir bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat kepada anak-anak.
Kes penculikan adalah isu serius yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Jangan disebabkan kelekaan dan kecuaian mana-mana pihak terlibat, anak-anak menjadi mangsa para penjenayah yang sentiasa menunggu peluang. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu-isu semasa.










