SABAN tahun apabila menjelang tarikh 12 Rabiulawal, umat Islam akan menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW, insan mulia yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Malangnya, tidak ramai dalam kalangan kita yang benar-benar menghayati sirah baginda SAW. Seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.
Sebabnya, belum wujud perasaan kasih dan sayang yang tinggi terhadap nabi yang terakhir walaupun baginda disenaraikan sebagai The 100 A Ranking Of The Most Influential People in History tulisan Michael Hart.
Di Malaysia, saban tahun pelbagai program diadakan bagi menyambut Maulidur Rasul. Antara yang popular adalah perarakan, program ceramah ataupun forum.
Semuanya dengan satu matlamat, menyemai cinta dan kasih kepada insan mulia Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab ini.
Nabi SAW juga diberi kelebihan berbanding rasul-rasul yang lain. Ia sebagaimana sabda nabi SAW, daripada Jabir ibn Abdullah berkata, “Rasulullah bersabda: Aku telah diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku: aku dibantu dengan rasa takut oleh musuh-musuhku dari jarak sebulan perjalanan, bumi ini dijadikan bagiku sebagai tempat sujud dan alat bersuci, maka di mana saja seseorang dari umatku mendapati tiba waktu solat, hendaklah dia mengerjakannya, dihalalkan bagiku harta rampasan perang yang belum pernah dihalalkan bagi seorang nabi pun sebelumku, diberikan kepadaku hak untuk memberikan syafaat, dan dahulu para nabi diutus hanya kepada kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh manusia. (Riwayat Bukhari).
Antara kehebatan Nabi SAW adalah kelahiran baginda diceritakan dalam kitab Taurat dan Injil. Namun, golongan Yahudi dan Nasrani menyembunyikan fakta itu kerana dengki disebabkan nabi akhir zaman bukanlah daripada kalangan mereka. Nabi akhir zaman adalah dalam kalangan orang Arab.
SEJARAH RINGKAS NABI SAW
Nabi Muhammad diputerakan di Mekah pada Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah.
Ayahnya, Abdullah, ialah anak Abdul Mutalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan ke-40.
Ayahnya meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya anak yatim piatu.
Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda dipelihara oleh seorang ibu angkat (ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Saadiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda dibawa ke Mekah mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib.
Selepas datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).
Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial Arab jahiliah yang merosakkan dan penuh kekufuran. Pada usia remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak.
Baginda menyayangi orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka.
Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, minum arak, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah).
Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah. Semua ini mengesahkan keberadaan nabi SAW sebagai pembawa rahmat ke atas sekalian alam.
Setiap orang Islam wajib berusaha mencontohi keperibadian baginda selain amalan dan sunnah-sunnah nabi SAW. Ini selain ibadat fardu ain yang wajib ke atas setiap mukalaf.
Antara amalan baginda SAW yang sering kita lalaikan adalah solat tahajud. Solat tahajud lebih dikenal dengan qiamullail atau solat malam. Ia mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan bagi mereka yang mengamalkannya.
Tambahan pula, solat tahajud adalah peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan dengan Allah. Selain itu, pintu langit terbuka luas untuk menerima taubat hamba-Nya.
Pada masa itu, para Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat hamba-Nya bagi menyiram api neraka yang sedia menanti tubuh manusia di akhirat.
Malah diceritakan Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata, “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.”
Seterusnya, membaca al-Quran. Dengan membaca al-Quran kita akan peroleh ketenangan dan kedamaian jiwa. Malah, membaca al-Quran dapat meningkatkan tahap kecintaan dan ketakwaan terhadap Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang sebagai pemberi syafaat bagi sahabatnya (orang yang membacanya). (Riwayat Muslim)
Satu lagi amalan yang tidak ditinggalkan oleh Nabi SAW adalah menunaikan solat Duha yang mempunyai banyak kelebihan jika sentiasa mengamalkannya. Kelebihan bagi orang yang mengerjakan solat Duha adalah sepanjang hari berada dalam penjagaan dan perlindungan Allah.
Solat sunat Duha adalah solat bagi orang yang mahu ‘kembali’. Kembali ke mana? Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Solat Duha itu adalah (solatul awwabin) solat orang yang kembali kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk bekerja, iaitu pada waktu anak-anak unta mula bangun kerana mulai panas tempat pembaringannya. (Riwayat Muslim)
Amalan baginda yang seterusnya adalah solat berjemaah tepat pada waktunya. Nabi SAW bersabda: Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi. (Riwayat Bukhari) – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










