Tumpu enam bulan ini hadapi banjir

Tumpu enam bulan ini hadapi banjir

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM enam bulan akan datang dari Oktober ke Mac, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, akademia, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat harus bersatu hati dan menggembleng tenaga untuk bersiap siaga menangani banjir besar dan kilat yang mungkin melanda bertubi-tubi. Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) memberitahu, sepanjang November hingga March depan, kita harus berwaspada kepada bahaya bencana kesan monsun timur laut (MTL) dan fenomena La Nina.

Negeri-negeri di pantai timur Semenanjung dijangka mengalami hujan lebat, angin kuat dan banjir dari November hingga Disember ini. Sabah, Sarawak dan Johor dijangka mengalami serupa dari Disember hingga Januari depan. Negeri negeri lain juga disarankan bersiap-siaga dalam tempoh enam bulan yang sama.

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan memberi arahan agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan oleh menteri besar, ketua menteri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah (DO) perlu bersiap siaga untuk hadapi cabaran banjir seawal mungkin bermula hujung minggu ini apabila proses peralihan ke MTL dijangka bermula sepertimana hebahan METMalaysia.

Dihebahkan sudah, dimesyuaratkan pun sudah. Rangka kerja seperti saranan PM pun dinyatakan sudah. Sekarang apa pula susulan usaha untuk mencegah atau mengurangkan padah?

Maka mungkin elok kita semua memulakan langkah berurusan merancang di peringkat daerah, di lokasi di mana kita bekerja atau di mana kita membeli atau menyewa rumah. Sama-samalah kita semua berhubungan dengan DO dan pasukannya untuk mendapatkan maklumat dan panduan dalam perancangan kesiapsiagaan.

SSKM

Marilah kita semua menyahut seruan PM untuk membina pengisian kepada rangka kerja saranan beliau supaya berada dalam keadaan yang mungkin boleh dinamakan sebagai Siap Siaga Keluarga Malaysia (SSKM).

SSKM mungkin elok dimulakan secara sederap di sebanyak mungkin daerah yang bakal terjejas atau pernah terjejas akibat banjir di seluruh negara. Satu bentuk panduan dan pengisian modul yang boleh membangunkan keupayaan dan kebolehan pasukan penyelamat dan penghulur bantuan serta kumpulan sukarelawan di sesebuah daerah wajar dipupuk dengan sistematik secepat mungkin.

SSKM sangatlah sejajar dengan aspirasi dan matlamat Transformasi Sektor Air 2040 yang terhasil daripada kajian komprehensif dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia. Transformasi Sektor Air 2040 ini dipersetujui untuk diterima pakai oleh Mesyuarat Majlis Air Negara dipengerusikan PM pada 21 Julai lalu.

Rangka kerja untuk menangani banjir sememangnya selari dengan aspirasi dan sasaran utama Rangka Kerja Pengurangan Risiko Bencana Sendai (2015-2030). Rangka kerja ini pula seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 dan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim serta Agenda Urban Baharu dan Agenda Tindakan Addis Ababa mengenai pembiayaan untuk pembangunan. Ini semua amat menyokong inisiatif untuk mengurangkan risiko bencana seperti kehilangan nyawa dan kerosakan aset ekonomi, fizikal, sosial, budaya dan alam sekitar.

Enam bulan akan datang nampaknya memerlukan komitmen dan penglibatan kumpulan utama pemimpin dan rakyat dalam menangani isu banjir MTL dan banjir kilat, iaitu kumpulan kerajaan, kumpulan perniagaan, kumpulan komuniti dan kumpulan akademia. Ini sangat perlu dilakukan secara teliti dan wajar ditanda aras juga dengan amalan pengurusan bencana di negara-negara maju terutama berlandaskan konsep mencegah sebelum berlaku melalui pendekatan proaktif pihak berkepentingan yang berpengetahuan dan berpengalaman untuk berganding bahu dengan DO dan pihak berkuasa tempatan terhampir.

PPS

Ini merangkumi beberapa platform penyertaan awam melalui inisiatif sukarelawan dan saluran media sosial untuk pemerkasaan kumpulan kumpulan komuniti seperti belia, NGO dan ketua kampung dan ketua agama serta ahli jawatankuasa keselamatan dan kebajikan di kawasan perumahan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), JPM dan agensi-agensi kerajaan lain setakat ini telah mengadakan kira-kira 155 program latihan pengurusan bencana berasaskan komuniti melibatkan 12,600 peserta dalam kalangan ketua-ketua komuniti, belia, NGO dan lain-lain yang boleh bertindak sebagai penyelamat/pemberi bantuan pemula dalam keadaan getir tertentu sewaktu bencana.

Peruntukan sejumlah RM8 juta oleh kerajaan untuk penyediaan pengoperasian menangani bencana banjir MTL termasuk sebahagiannya bagi menaik taraf kemudahan asas di 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi kegunaan 1.6 juta mangsa. Sebahagian peruntukan tersebut juga untuk membeli peralatan seperti bot dan ski jet bagi tujuan kerja menyelamat.

Kewangan tersebut juga diperuntukkan bagi menghulurkan bantuan makanan kecemasan, penyediaan kemah kubik dan keperluan asas termasuk untuk warga emas serta bayi, kanak-kanak dan wanita, juga penyediaan makanan retort sewaktu tempoh 24 jam pertama di PPS dan sebagainya.

Tindakan proaktif cendekiawan, penyelidik, saintis, mahasiswa dan sebagainya dengan DO dan pasukan penyelamat serta kumpulan pemberi bantuan masing-masing sangatlah dialu-alukan kerjasamanya secepat mungkin sebelum berlaku bencana. Namun, pada kali ini kita semua disaran bersifat proaktif dan segerakanlah berjumpa untuk berfikir, berbincang dan bersiap sedia sebelum berlaku bencana.

Semoga segala pengorbanan tenaga, masa dan sumber oleh setiap individu dan kumpulan individu serta persatuan dalam rangka kerja merealisasikan SSKM didoakan bakal dirahmati dan diberkati Yang Maha Esa. Aamiin, insya-Allah. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Mazlin Mokhtar ialah Timbalan Ketua (Penyelidikan), Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) ASIA, Sunway University dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Akademi Sains Malaysia (ASM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×