Rakyat masih berfikiran waras

Rakyat masih berfikiran waras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEGITU galak sekali pemimpin pembangkang tertentu, khususnya dari Pakatan Harapan (PH) cuba membangkitkan emosi kemarahan rakyat dengan memainkan sentimen ‘kerajaan gagal’ sejak kebelakangan ini.

Terpampang di laman Twitter seorang ahli Parlimen DAP baru-baru ini, kenyataan berbunyi kerajaan sekarang tiada hala tuju dan tanpa komitmen untuk melakukan perubahan.

Di laman sama juga terpampang gesaan berbunyi, “Marilah kita bersiap sedia memastikan kerajaan gagal hari ini diganti dengan kerajaan baharu PH yang bersih, cekap dan berintegriti.”

Meletakkan kejatuhan nilai ringgit ke paras paling teruk berbanding nilai dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai pengukur bahawa kerajaan sekarang adalah sebuah kerajaan gagal bukanlah satu tindakan yang betul malah terpesong daripada hakikat sebenar.

Beberapa pakar ekonomi seperti Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid dan Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkali-kali menjelaskan bahawa kejatuhan nilai ringgit berbanding nilai dolar AS tidak bermakna Malaysia telah terbenam jauh dalam kegawatan. Keadaan ini berlaku disebabkan ketidaktentuan persekitaran ekonomi global, khususnya tindakan AS menaikkan kadar faedahnya menyebabkan banyak negara di dunia mengalami penurunan mata wang jauh lebih teruk berbanding kejatuhan nilai ringgit.

Untuk melunakkan gejala kemerosotan ekonomi, kerajaan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara berdikit-dikit agar beban isi rumah penghutang terbendung sambil kemerosotan kesejahteraan isi rumah keseluruhan ditangani melalui pemberian subsidi. Memang mudah untuk pembangkang membuat tuduhan terhadap kerajaan kerana mereka sekadar perlu menyalahkan dan menyalakan sentimen dan api kemarahan rakyat sahaja tanpa perlu menyediakan apa-apa pelan sendiri untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan.

COVID-19

Begitupun, mujurlah majoriti rakyat masih berfikiran waras dan tidak segera melompat ke jalanan untuk berdemonstrasi menentang kerajaan seperti yang berlaku di sesetengah negara lain kerana keadaan ekonomi kita tidaklah seteruk mereka. Rata-rata rakyat masih sedar keadaan sebenar yang wujud bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia juga yang kerajaannya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran besar bagi memulihkan negara masing-masing dalam era pasca pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, kita perlu berlaku adil pada kerajaan dengan melihat kepada pengukuran dibuat oleh beberapa agensi asing berwibawa yang menunjukkan keadaan di negara ini tidaklah seburuk seperti didakwa malah sebenarnya meningkat dengan baik sekali. Sebagai contoh, pada Februari lalu, laporan Indeks Demokrasi 2021 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 negara dan wilayah di seluruh dunia mengenai kedudukan demokrasinya.

Kedudukan demokrasi di Malaysia jelas terus segar-membugar dari semasa ke semasa, di mana bermula daripada 5.98 mata (daripada 10 mata) pada 2006, menaik menjadi 7.16 (2019), 7.19 (2020) dan 7.24 (2021). Adalah membanggakan, Malaysia berada pada tempat tertinggi dalam kalangan seluruh anggota ASEAN mengatasi negara-negara jiran seperti Indonesia yang memperoleh 6.71 mata, Filipina (6.62 mata), Singapura (6.23 mata) dan Thailand (6.04 mata).

EIU mengukur tahap demokrasi di sesebuah negara dari lima aspek, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, keberfungsian kerajaan, penglibatan politik, budaya politik demokrasi dan kebebasan sivil. Secara puratanya Malaysia mendapat mata amat tinggi, khususnya dalam aspek proses pilihan raya dan pluralisme, iaitu 9.58, keberfungsian kerajaan (7.86) dan penglibatan politik (7.22).

Dalam tempoh singkat, banyak sekali pembaharuan dilakukan oleh kerajaan sekarang termasuk menghormati kebebasan institusi kehakiman, memperkasakan kedudukan institusi Parlimen dan meluluskan pelbagai rang undang-undang signifikan.

TIGA DOMAIN

Pada Jun lalu, laporan Global Peace Index (GPI) dikeluarkan oleh Institute of Economics and Peace (IEP) Australia menempatkan Malaysia di tempat ke-18 daripada 163 negara dan wilayah di seluruh dunia. Ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI bermula pada 2008, berbanding 2016 (ke-37), 2017 (ke-35), 2018 (ke-31), 2019 (ke-25), 2020 (ke-24) dan 2021 (ke-23).

GPI diukur menggunakan tiga domain. Pertama, Ongoing Domestic and International Conflict, mengukur tahap di mana sesebuah negara terlibat dalam konflik dalaman dan konflik antarabangsa.

Kedua, Societal Safety and Security, menilai tahap keharmonian atau perbalahan dalam negara. Sesebuah negara dikira sebagai aman jika mempunyai kadar jenayah rendah, aktiviti keganasan dan demonstrasi ganas minimal, hubungan baik dengan negara-negara jiran, keadaan politik stabil serta hanya sejumlah kecil rakyat terpinggir atau menjadi pelarian.

Ketiga, Militarisation, mengkaji tahap pembinaan ketenteraan dan akses kepada persenjataan yang dimiliki oleh sesebuah negara.

Syukur sekali kerana Malaysia tidak terlibat dalam mana-mana konflik dalaman dan konflik antarabangsa yang serius. Begitu juga dengan tahap pembinaan ketenteraan dan akses kepada persenjataan yang rendah.

Lebih bermakna lagi, Malaysia mempunyai skor yang amat baik dari sudut Societal Safety and Security. Kita umpamanya mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara jiran serta tidak berhadapan dengan aktiviti keganasan dan demonstrasi ganas.

Malah, dari sudut kestabilan politik sekalipun, walaupun negara kita menyaksikan dua kali berlaku pertukaran kerajaan pada 2020 dan 2021, mengikut kriteria GPI kita boleh ditakrifkan sebagai masih baik kerana umpamanya, tiada risiko kekacauan sosial yang besar, mempunyai mekanisme perlembagaan untuk peralihan kuasa yang jelas dan sebagainya.

Sebab itulah amat wajar dan bertepatan sekali bila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap mengenai soal keamanan dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada 23 September lalu. – UTUSAN

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pegawai Khas Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya