Rahsia tiang seri rumah Tok Chu - Utusan Malaysia

Rahsia tiang seri rumah Tok Chu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika menuntut di sekolah rendah, saya, adik beradik dan sepupu memang kerap bermalam di rumah datuk saudara yang terletak berdekatan rumah kami. Hubungan kami sekeluarga amat rapat, kami juga memanggilnya dengan panggilan Tok Chu dan isterinya Nek Chu. Tambah pula kalau hujung minggu lagilah kami selalu bertunggu bertangga di rumahnya.
Rumah Tok Chu besar dan bertiang tinggi sama seperti rumah penduduk kampung lain. Tetapi uniknya rumah Tok Chu penuh dengan ukiran-ukiran klasik dan tradisional. Pendek kata, sesiapa yang bertandang ke rumahnya pasti terpegun dan teruja.
Namun ada cerita lain di sebaliknya. Di tengah rumahnya terdapat satu tiang seri bersaiz besar yang agak berbeza daripada yang lain. Walaupun saya tidak pasti apa fungsi tiang ini namun saya tahu ia cukup istimewa buat Tok Chu.
Boleh dikatakan sebulan sekali Tok Chu akan mengilatkan tiang itu dengan minyak kelapa. Dan waktu malamnya pula, dia akan membakar kemenyan di tiang berhampiran.
Pada mulanya, saya memang tidak pernah ambil pusing apa yang dibuatnya cuma sekadar tertanya dalam hati tentang apa istimewanya tiang tersebut. Pernah juga saya bersama sepupu bermain di tiang seri tersebut dengan berpaut sambil memusingkan badan berkali-kali ibarat seorang penari balet.
Tok Chu seringkali menegah kami bermain di situ. Katanya, tiang seri itu adalah pasak utama rumah. Kalau tiang seri itu tumbang nanti maka rumah akan roboh.
Kami yang tidak tahu apa-apa terus jadi takut, maklumlah nanti kalau rumah roboh kasihan pula kepada Tok Chu dan Nek Chu. Ke mana pula mereka nak tinggal nanti.
Di bahagian atas tiang seri terdapat satu paku besar terpacak kemas. Pernah juga saya bertanya kepada Tok Chu kenapa ada paku di situ, Dia sekadar menjawab paku tersebut hanyalah digunakan menyangkut pelita minyak tanah. Saya yang tidak tahu apa-apa sekadar tersengih tanda faham.
Pernah sekali ketika tidur di rumahnya saya terjaga di tengah malam kerana tak tahan hendak buang air.
Merungut juga di dalam hati kerana terpaksa berjalan jauh memandangkan tandas di rumah Tok Chu terletak di luar rumah. Tergerak juga hati ingin kejutkan sepupu di sebelah, tetapi bila lihat dia lena tidur rasa tak sampai hati pula. Terus saya melangkah seorang diri.
Untuk menuju ke tandas saya terpaksa melalui tiang seri yang tersergam kukuh di tengah rumah. Dan ketika itulah tiba-tiba saya tersentak kerana terlihat Tok Chu sedang duduk bersila menghadap tiang seri tersebut. Saya melangkah sambil jengketkan kaki perlahan supaya dia tidak perasan kehadiran saya di situ.
Ketika itulah telinga menangkap bunyi perbualan yang tidak difahami biji butirnya. Saya tahan nafas dan pasang telinga. Nampak seperti Tok Chu sedang berbual dengan seseorang cuma saya tidak tahu bahasa apa yang dia gunakan. Loghatnya seakan bahasa Jawa.
Saya matikan diri cuba dengar dengan teliti. Yang menjadi persoalan ketika itu dengan siapa Tok Chu berbual? Kerana dari penglihatan saya hanya Tok Chu seorang sahaja yang berada di situ. Namun tiba-tiba saya tersentak.
Jantung seakan berhenti berdegup. Sayup-sayup terdengar bunyi suara seorang wanita. Perlahan seakan berbisik. Dan sekali lagi saya tidak dapat menangkap apa yang dia katakan.
Perbualan Tok Chu dengan wanita itu agak rancak. Saya masih berfikir siapa wanita yang berbual dengan datuk ketika itu. Bila saya intai dari sebalik dinding, tidak nampak pula datuk berteman. Hanya kelihatan dia seorang sahaja yang menghadap tiang seri tersebut.
Namun saya langsung tidak terfikir sebarang perkara pelik. Saya terus sambung langkah menuju ke tandas. Keesokan paginya selepas bangun tidur saya berlagak biasa seperti tiada apa-apa berlaku. Tok Chu dan Nek Chu juga melayan kami dengan ramah seperti sebelumnya.
Kisah yang berlaku pada malam itu langsung saya tidak kongsikan pada sesiapa. Saya anggap ia tidak penting. Malah beberapa hari seterusnya saya sudah lupa tentang kisah tersebut. Seperti biasa saya dan sepupu masih bermalam di rumah Tok Chu terutamanya pada hujung minggu.
Namun segalanya berubah apabila berlaku satu kejadian di luar jangkaan. Ketika saya bermalam di rumah Tok Chu pada minggu berikutnya, sekali lagi saya dikejutkan dengan satu kejadian aneh. Namun kali ini ia berlaku di hadapan mata. Seakan tidak percaya dengan apa yang saya saksikan ketika itu.
Malam itu entah kenapa saya susah sangat nak lelapkan mata. Puas saya bergolek ke kiri kanan. Entah bagaimana tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi aneh dari tengah rumah. Saya bingkas bangun dan cuba intai apa yang berlaku.
Dari suram cahaya lampu gasolin di anjung rumah, saya dapat lihat dengan jelas kelibat Tok Chu sedang cuba mencabut paku yang terpacak kemas di tiang seri dengan menggunakan penukul. Leka saya memerhatikannya sehinggalah dia selesai melakukan tugas tersebut.
Tiba-tiba saya terlopong. Dengan mata yang tak berkelip jelas kelihatan kepulan asap halus keluar dari lubang paku tersebut. Saya tergamam. Walaupun tidak faham dengan apa yang berlaku namun saya tahu ada sesuatu yang tidak kena di situ. Asap tersebut berkumpul dan berpusing-pusing di hadapan Tok Chu.
Seperti sebelumnya juga sekali lagi terdengar Tok Chu bercakap dengan bahasa yang tidak saya fahami. Namun apa yang buatkan jantung terasa ingin luruh ketika itu apabila kali ini saya sudah nampak jelas dengan siapa dia berbual.
Pandangan saya tidak salah, jelas kelihatan Tok Chu sedang berbual dengan seorang wanita berambut panjang yang sedang bersandar di tiang seri tersebut.
Walaupun raut mukanya tidak jelas kelihatan kerana fizikalnya yang membelakangi saya, namun saya tahu wanita tersebut bukanlah tetamu yang saya kenali. Malah saya percaya wanita itu wujud melalui kepulan asap yang keluar dari tiang seri sebentar tadi.
Saya menggigil ketakutan. Serta merta bingkas bangun dan terus menuju ke tempat tidur. Saya tarik selimut dan berselubung hingga ke pagi. Akhirnya saya sendiri tidak pasti jam berapa tertidur, namun yang pasti malam itu saya tidur dalam ketakutan.
Sejak peristiwa itu saya langsung tidak pernah bermalam di rumah Tok Chu lagi. Kalau saya datang pun hanyalah pada waktu siang.
Pernah juga saya tanya kepada ayah dan emak tentang kejadian tersebut, namun mereka mengatakan saya sengaja mengada-adakan cerita. Mereka juga beritahu agar saya jangan menceritakan kepada sesiapa takut kalau-kalau ada yang memandang serong kepada Tok Chu nanti.
Sehingga hari ini kisah tersebut masih tersimpan tersimpan kemas dalam fikiran. Saya percaya emak dan ayah pastinya tahu tentang apa berlaku, tetapi mereka sengaja tidak mahu berterus terang.
Sehingga kini juga saya tidak tahu apa kaitannya Tok Chu dengan tiang seri tersebut. Saya pasti ada satu rahsia yang masih belum saya ketahui. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya