Pesan motosikal, yang dapat basikal, tapi bayar harga kereta

Pesan motosikal, yang dapat basikal, tapi bayar harga kereta

PEGAWAI kerajaan dan ahli politik yang bersekongkol dengan kontraktor termasuk kartel tenyata tidak serik memakai ‘gelang besi’ dan baju oren, seterusnya dipenjarakan akibat rasuah. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESAN motosikal, dapat basikal, bayar harga kereta. Ini yang masih berlaku dalam kontrak kerajaan apabila kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik yang bersekongkol dengan kontraktor termasuk kartel. Ternyata mereka tidak serik pakai ‘gelang besi’ dan baju oren, seterusnya masuk dalam jeriji besi. Perbuatan keji ini terus berlaku dan sukar diramal bila akan berakhir berdasarkan perkembangan mutakhir.

Manipulasi tender di jabatan kerajaan sudah lama berlaku. Ketika pandemik dan darurat, banyak peraturan dilonggarkan. Paling berbahaya, kontrak diberikan melalui rundingan terus, jatuh pula kepada kartel yang mempunyai hubungan baik dengan orang dalam atau tali barut.

Kegiatan fraud atau penipuan hanya boleh berlaku apabila ada kerjasama di antara orang dalam dengan syarikat tertentu. Pegawai kerajaan dan ahli politik yang tidak amanah berkuasa meluluskan kontrak akan dikenal pasti kelemahannya. Sebagai manusia, ada yang lemah dengan harta, takhta atau wanita.

Sindiket, kartel atau kontrator akan memenuhi apa sahaja kehendak mereka. Apabila sudah terjerumus, maruah tergadai. Maklumat dan speksifikasi dibocorkan, malah sanggup memberikan kontrak kepada kartel atau kroni, sekali gus terima rasuah kerana mahu hidup mewah.

Orang dalam membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak supaya kartel atau kontraktor tertentu memenangi tender tertentu.

Modus operandi ini juga popular apabila ada pihak menciplak kertas cadangan dikemukakan oleh pihak lain yang kemudiannya memberikan kepada syarikat tertentu. Ia memberi implikasi buruk pada syarikat lain yang leibh layak.

Terdapat menteri yang korup dan pegawai tidak berintegriti menyokong dan dengan sengaja meminta syarikat tertentu masuk dengan sebut harga lebih tinggi. Ada yang mencipta sebut harga menggunakan kepala surat atau profil syarikat tertentu yang tidak tahu-menahu mengenainya. Ada juga yang berpakat dengan syarikat pembekal mendapatkan sebut harga lima syarikat lain sebagai syarat mematuhi peraturan. Mereka ini merosakan nama baik jabatan dan pihak lain yang berintegriti.

Walaupun Malaysia mengamalkan e-perolehan, akhirnya manusia juga menerima, memproses dan menentukan pihak mana yang berjaya mendapat kontrak. Di sinilah berlakunya manipulasi dan sabotaj supaya hanya syarikat kroni atau kartel disenarai pendek, termasuk syarikat dimiliki orang sama. Orang yang mempunyai hubungan baik dan mempunyai kepentingan dengan pembuat keputusan sering ditawarkan kontrak walaupun ada syarikat lain yang lebih layak dan wibawa.

Sepatutnya ketua jabatan bertanggungjawab dan semua kontrak ditawarkan kepada syarikat yang layak dan berwibawa sahaja. Usaha wajar (due diligence) komprehensif patut dilaksanakan, termasuk menyemak kembali dokumen kewangan dan mengesahkan keupayaan projek lalu sesebuah syarikat yang akan ditawarkan kontrak.

Apabila rasuah menjadi darah daging, tangan pula sudah diikat dan mulut sudah ditutup sehingga lemah dan menurut apa sahaja kehendak kartel atau kontraktor terbabit. Mereka ini dipelihara oleh kontraktor tertentu sehingga takut mengambil tindakan yang betul.

Adakala kontraktor sendiri membawa kertas cadangan untuk dipertimbang dan dilaksanakan (contractor driven). Sudah tentu ahli politik dan pegawai awam yang tiada integriti mengambil peluang keemasan bertindak mencari peruntukan bagi menampung pembelian dicadangkan oleh kontrator walaupun tiada nilai ekonomi serta manfaat kepada jabatan atau masyarakat.

Sepatutnya sebelum sesuatu projek dilaksanakan atau peralatan dibeli, perlu ada keperluan dan perancangan. Oleh sebab itu, banyak projek yang telah siap tetapi jadi gajah putih.

Paling sedih, projek raksasa bernilai berbilion ringgit tidak siap sedangkan lebih separuh daripada bayaran dibuat melalui kaedah masa (time based), bukan progres (progress based).

Sejak 2010, saya beberapa kali mencadangkan semua pegawai di jabatan yang tinggi risikonya seperti bahagian kontrak dan kewangan perlu ditempatkan pegawai tinggi akhlak serta ditukar setiap tiga tahun. Pengawasan oleh pihak atasan juga hendaklah ditingkatkan supaya kebarangkalian berlaku rasuah, penipuan dan ketirisan dapat dielakkan. Menteri bertanggungjawab juga perlu mempunyai nilai integriti tinggi dan tunjuk contoh yang baik.

Sebagai penjawat awam, walaupun tidak boleh menolak campur tangan ahli politik, namun mereka boleh melaksanakan hak untuk mengabaikan arahan yang bertentangan undang udang.

Mengikut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah membabitkan ketirisan dalam perolehan kerajaan dilihat semakin kritikal dan 50 peratus kes membabitkan agensi kerajaan.

Ia merugikan masyarakat jika peralatan, perkhidmatan atau projek yang sepatutnya siap, terbengkalai atau tidak wujud, sekali gus menggagalkan usaha kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang. Syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenaraihitamkan serta diambil tindakan undang-undang.

Sebelum membuat bayaran kepada kontraktor, satu pasukan hendaklah membuat lawatan untuk mengesahkan status perlaksanaan projek.

Prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan, terutama dari segi membezakan kuasa budi bicara selalu disalahgunakan dan perlu diteliti semula. Namun, semua prosedur hendaklah dipatuhi dan tiada pengecualian.

Justeru, ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, berakauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

Memperkenalkan peruntukan ‘salah laku penjawat awam’ (termasuk ahli politik) dalam Akta SPRM 2009 yang mengakibatkan kerugian wang besar ditanggung kerajaan. Kerajaan boleh merangka undang-undang untuk mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan, pembaziran dana kerajaan dan tiada pengawasan.

Setiap pelaksanaan projek menggunakan sistem kawalan dalaman yang terbaik pun akan sia sia sekiranya pengendalinya tiada integriti.

Bongkar dan lapor kegiatan rasuah kepada SPRM demi masa depan negara kerana rasuah adalah ibu segala kejahatan. – UTUSAN

DATUK Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×