Penarafan atau penjajahan minda? - Utusan Malaysia

Penarafan atau penjajahan minda?

TIDAK perlu disogokkan penarafan Quacquarelli Symonds (QS) kepada UIAM yang tidak sesuai kepada jati diri universiti berkenaan. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU penarafan universiti sudah menjadi perdebatan hangat di kalangan dunia ilmiah seantero. Tidak semuanya setuju atas beberapa asas falsafah dan etos pendidikan yang kukuh.

Pihak setuju lebih kepada soal pemasaran untuk membentuk modal insan, bukan insan sejahtera. Ramai pula yang terheret dalam kancah yang cetek ini tidak kurang juga para ‘cerdik pandai’ yang membisu.

Maka penarafan menjadi agenda utama khusus di negara membangun yang terasa tercicir dalam ‘permodalkan’ insan untuk dipasarkan.

Di Malaysia, soal mensejahterakan insan seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sejak lebih 30 tahun lalu diganti dengan falsafah neoliberal (sektor swasta memacu ekonomi) yang menekan konsep modal insan.

Paling menyedihkan lagi ini didorong oleh ejen swasta seperti syarikat Quacquarelli Symonds (QS) yang berkepentingan sendiri.

Ini jelas dari ciri-ciri penarafan yang ditetapkannya yang terpisah dari apa yang disarankan FPK amnya. Soal keseimbangan dan keharmonian manusiawi tidak disentuh sama sekali, begitu juga soal maruah, moral, akhlak dan adab, serta kerohanian dan ketuhanan.

Pendek kata, tidak dititikberatkan ‘kesejahteraan diri’ seperti tertera dengan nyata dalam FPK. Sama juga halnya dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang membawa tema Wawasan Kemakmuran Bersama berjalin rapat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030.

Kelompangan ini membawa berbagai tanda tanya bagaimana ejen tersebut menjadi pilihan jika songsang dengan matlamat negara.

Adakah proses memilih dan menilai ejen tersebut terbuka secara ilmiah kerana ini semua menyangkut kepada kecemerlangan ilmu dan amal. Ini belum lagi berbicara tentang soal sahsiah baik dari aspek kesihatan mental, emosi dan kerohanian umumnya.

Kalau di peringkat institusi pula seperti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kelompangannya lagi sarat. Misalnya, di mana letaknya pendekatan rahmatan lil alamin (rahmat sekalian alam) atau kesepaduan ilmu wahyu dan manusiawi, berbudi kepada masyarakat mengikut Kerangka Akademik Sejahtera (SAF) UIAM. Jadi mengapa disogokkan penarafan QS yang tidak sesuai kepada jati diri universiti berkenaan?

Mewajibkannya kepada semua bererti memaksa setiap satu diseragamkan berlandaskan kaedah ‘satu saiz bagi semua’ (SSBS). Hatta membunuh kepelbagaian pendidikan yang ada, sedangkan kepelbagaian adalah penting demi perkembangan ilmu keseluruhannya buat masa hadapan.

Dengan lain perkataan, SSBS boleh dianggap sebagai satu bentuk penjajahan minda sepertimana dahulu kala di mana sekolah-sekolah tempatan, termasuk agama diseragamkan mengikut model penjajahan, kali ini diwakili QS melalui penarafan dalam acuan ala Barat.

Inilah hakikat yang terselindung di mana ramai tidak sedar apa yang berlaku akibat keghairahan mendapat pengiktirafan ‘kelas dunia’ penjajahan Barat.

Malah ada pula yang menyarankan UIAM digelar Oxford dunia timur! Begitu malang sekali, walaupun dikatakan selepas 65 tahun melaungkan merdeka kononnya.

SENGKEK

Terkenang saya apabila Universiti Sains Malaysia (USM) merebut gelaran Universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (Apex) pertama dan tunggal sehingga hari ini pada 2008. Azam serta motivasinya amat berbeza sekali.

Kementerian dan kerajaan ketika itu persis menginginkan satu modal transformasi baharu berasaskan falsafah dan nilai tempatan untuk dunia sejagat. Bukan sekadar mengikut-ikut telunjuk bekas penjajah sahaja.

Oleh itu, USM di bawah tema Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Hari Esok yang Mampan mendahului banyak universiti seluruh dunia dengan merangkumkan konsep kelestarian atau sejahtera seawal tahun 2005.

USM mengakarkan konsep tersebut sebagai asas pendidikan masa hadapan yang seimbang dan manusiawi. Bukti ini jelas apabila USM pada 2005 lagi ia menjadi salah satu antara hanya tujuh universiti meneraju seluruh dunia.

Ini mengikut takrifan PBB melalui Universiti PBB di Tokyo. Ia bukan sembarangan ejen swasta tidak dikenali. Pada peringkat ASEAN dan dunia Islam pula, USM adalah yang terulung sehingga hari ini. Anehnya, tidak perlu penarafan pun, bahkan sebaliknya USM tatkala meletakkan ciri-ciri baharu untuk dijadikan rujukan antarabangsa.

Sebab itu, USM adalah antara terbaik di seluruh dunia dalam bab pendidikan kelestarian terkini. Cerita yang sama juga bagi UIAM apabila pada 2020 diiktiraf oleh satu lagi agensi PBB sebagai Institusi Kelestarian Tahun Ini – yang terulung di Asia dan juga dunia Islam. Lagi sekali tidak perlu penarafan dari ejen sengkek!

Apa yang membanggakan dalam hal ini, PBB adalah satu badan dunia yang dihormati dunia. Bukan ejen swasta bertaraf liga ketiga yang banyak dipertikaikan kerana pendekatan yang meragui. Apa lagi menelan belanja berjuta ringgit dalam berbagai bentuk sama ada tersirat dan tersurat.

Ini tidak mengambil kira kekangan etika lagi. Berbeza dengan pengiktirafan pihak PBB tidak ada apa-apa bayaran atau pembiayaan dikenakan untuk membolehkan penyertaan. Ia terbuka tetapi ketat kawalannya.

Oleh itu, ia amat disanjungi untuk membawa nafas baharu bagi pendidikan masa hadapan sejak pengajian lebih dua dekad lalu.

Tambahan, ia bersesuaian dengan FPK dan agenda negara seperti RMK12, malah agenda 2030 PBB itu sendiri. Termasuk keupayaan menghadapi cabaran masa hadapan terutama sekali pascapandemik dan kelestarian. Serentak ia mengutarakan pendekatan penyahjajahan atau dekolonisasi yang terpanggil akibat angkara pandemik.

Ringkasnya, masanya untuk mempertahankan permainan ‘penarafan’ sudah lama berlalu. Ini disahkan sebulat suara oleh musibah pandemik Covid-19, walaupun masih ada pihak yang tidak peka sekali gus memperjudikan masa hadapan pendidikan negara.

Berbanding misalnya dengan negara jiran Indonesia yang tidak sesibuk dengan penarafan tetapi turut diundang oleh PBB untuk membentangkan kerangka pendidikannya di perjumpaan PBB berkaitan hari muka pendidikan berlangsung pada 16-19 September lalu.

Jelas, dunia mengiktiraf negara yang berani keluar dari kepompong penarafan serentak bebas dari penjajahan minda. Mengapakah Malaysia masih keluh-kesah dengan kerangka pendidikan terjajah yang memerlukan penarafan sebagai cap mohor pengiktirafan dunia acuan Barat? – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN