HAKIKAT yang kita semua tidak boleh lari adalah kebanyakan dalam kalangan kita ini sedang berhutang. Berhutang dengan bank. Ramai tidak mampu membeli rumah secara tunai. Begitu juga dengan kenderaan. Kalau harga kereta itu di bawah RM50,000 pun, kita pasti membelinya dengan ansuran pinjaman bank.
Rata-rata memperuntukkan sejumlah besar pendapatan bulanan mereka dengan membayar hutang bank. Itu belum masuk hutang persendirian lain. Jadi, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa ramai yang hidup dikelilingi hutang sampai ke hari tua. Ada yang sudah pencen pun masih menanggung hutang.
Maka apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kali ketiga berturut-turut, pemuitanglah yang sesak kepala. Manakan tidak, apabila gaji penjawat awam diumumkan bakal naik dengan tambahan RM100 tahun depan dan kadar gaji minimum ditetapkan RM1,5000 pun ia bagaikan tidak memberi kesan apa-apa dengan kenaikan OPR ini.
Maknanya dengan kiraan matematik mudah, yang tidak perlu diterangkan dengan panjang lebar oleh pakar-pakar ekonomi, gaji pekerja naik sedikit tetapi duit itu masuk pula ke bank untuk bayar OPR pula.
Pada Khamis lalu, BNM mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.50 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
BNM sebelum ini menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas tahun ini selepas OPR diturunkan kepada kadar terendah pada 1.75 peratus disebabkan pandemik.
Kenaikkan OPR adalah untuk mengawal kadar inflasi dan kenaikan harga barang selain dikatakan menggalakkan rakyat menyimpan wang. Ironinya, pada masa sama ‘pusing-pusing’ macam mana pun langkah itu tetap membebankan orang ramai terutamanya yang berpendapatan rendah.
Justeru orang ramai dinasihatkan oleh pakar-pakar ekonomi supaya jangan membuat hutang baru. Perbelanjaan mesti berhemah. Beli hanya barang-barang keperluan saja. Jangan layan kehendak. Jangan minum kopi mahal. Jangan pinjam bank. Maknanya dalam situasi ini jangan beli rumah dan jangan beli kereta?
Mengapa rakyat Malaysia berhutang? Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, majoriti hutang rakyat Malaysia adalah untuk membeli aset. Sebanyak 58.1 peratus adalah untuk membeli rumah; 5.7 peratus membeli hartanah bukan kediaman dan 5.3 peratus untuk membeli sekuriti seperti saham.
Yang boleh disimpulkan di sini, yang membeli hartanah bukan kediaman dan sekuriti saham tentulah bukan golongan B40. Golongan B40 hendak beli rumah sebuah pun rasa tercungap nafas, inikan untuk disewakan. Tetapi rumah adalah satu keperluan dan mengambil kira harga sewa yang mahal ketika ini, apa pilihan yang golongan ini ada?
Seorang kawan yang baru membeli rumah berharga lebih RM400,00 di Lembah Klang berkata, itulah rumah yang paling murah harganya ketika ini di kawasan berhampiran bandar. Bekerja di Kuala Lumpur, tak akan mahu beli rumah untuk diduduki di Tanjung Malim atau di Kuala Pilah? Pukul berapa pula mahu keluar dari rumah untuk ke tempat kerja dan jam berapa pula sampai ke rumah pulang dari kerja?
Membeli rumah tentulah mengambil kira hal-hal keselesaan, bukan memilih yang murah tetapi terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke tempat kerja dan tiada kemudahan-kemudahan di sekeliling yang memerlukan pergi ke bandar juga untuk urusan-urusan penting.
Saya ada membaca, seorang pensyarah ekonomi menasihatkan, ketika ini jangan beli rumah.
Jadi sampai bila mahu menyewa? Menyewa pun mahal. Sebuah rumah sewa mencecah RM2,000 sebulan di ibu kota. Lebih baik beli rumah sendiri, sama sahaja jumlah itu kena bayar bank setiap bulan jika beli rumah sendiri. Lainlah yang sudah memiliki rumah sendiri. Nasihat itu mungkin baik untuk mereka. Tetapi tidak kepada yang masih tidak memiliki rumah sendiri baik yang muda atau yang sudah berusia.
Tunggu beli rumah setelah ekonomi pulih? Berapa pula harga rumah ketika itu nanti? Adakah jaminan harga pasti turun? Atau melambung lebih tinggi. Tak pernah kita dengar harga rumah turun semasa berlakunya pemulihan ekonomi.
Begitu juga dengan kenderaan. Ia adalah satu keperluan asas. Mengharapkan pengangkutan awam semata-mata ketika ini ia bukan sesuatu yang memudahkan. Stesen LRT atau komuter berada jauh dari kawasan perumahan. Masih perlu kepada kenderaan sendiri atau menggunakan perkhidmatan e-hailing yang tinggi tambangnya, mengikut waktu-waktu puncak.
Dan dengan berjimat itu juga, ada yang terpaksa melupakan perlindungan insurans perubatan. Memotong keperluan itu umpama sentiasa perlu memastikan diri sentiasa sihat, kalau tidak kena pergi ke hospital awam yang mengambil masa untuk sesuatu urusan kalau tidak betul-betul kecemasan.
Sebenarnya, rakyat tidak ada pilihan selain berjimat ketika harga barang keperluan naik, sejak tahun lalu lagi. Tetapi dengan kenaikan OPR yang dikatakan salah satu formula pemulihan, ia bagaikan menjirus air panas di luka yang sedang pedih.
Siapa yang mendapat keuntungan dengan kenaikan OPR ini? Banklah agaknya, atau rakyat terpaksa melalui jalan sukar dulu untuk mengecap kesenangan di kemudian hari?
Ramai yang mengeluh dan bertanya, tidak ada cara lainkah untuk memulihkan ekonomi selain menaikkan kadar OPR? Rakyat boleh berjimat dan memotong macam-macam perbelanjaan tetapi tetap tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.
Hendak tunggu majikan naikkan gaji? Ini sebenarnya adalah masa paling sesuai untuk majikan memberikan alasan bahawa dalam keadaan ekonomi global yang merudum ini, menaikkan gaji pekerja bukan tindakan baik. Syarikat akan rugi dan boleh gulung tikar. Akhirnya, yang mampu dilakukan adalah berserah kepada keajaiban Tuhan saja. Pedih itu kita rawat sendirilah.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia










