Negara, rakyat masih jauh untuk kembali pulih - Utusan Malaysia

Negara, rakyat masih jauh untuk kembali pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah untuk kita memulihkan semula negara dan rakyat daripada impak pandemik Covid-19 yang menyelubungi seluruh dunia sejak tiga tahun lalu. Krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku meletakkan negara dalam situasi cukup sukar dan genting sehingga menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan rakyat secara total.

Pada masa sama, negara juga berhadapan krisis politik berterusan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Gabungan krisis tiga dalam satu yang berlaku secara serentak mencetuskan pelbagai situasi ketidaktentuan dalam negara dan menuntut kita mencari satu formula mujarab bagi menanganinya.

Lazimnya kita akan mengukur kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara berdasarkan beberapa indikator seperti pencapaian pertumbuhan ekonomi merangkumi aspek pendapatan rakyat, kadar pengangguran atau penambahan peluang pekerjaan yang berpadanan dengan gaji dan kelayakan rakyat, kos sara hidup serta harga barangan. Penunjuk ini ditambah pula dengan keadaan politik yang menentukan kestabilan dan keselamatan rakyat serta negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara jujurnya setelah menilai perkembangan semasa semua indikator ini, boleh dikatakan kita masih jauh untuk kembali menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan yang pernah dikecapi sama seperti sebelum serangan pandemik.

Dalam konteks ini, kita tidak boleh menafikan segala usaha kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat sedang bertungkus lumus dan berusaha keras untuk memulihkan ekonomi negara, membantu rakyat dengan pelbagai inisiatif dan insentif, menyediakan pelbagai bantuan kebajikan di samping berusaha menstabilkan politik.

Namun hakikatnya, kemelesetan ekonomi dunia terus mencetuskan cabaran yang besar kepada kita untuk segera pulih daripada krisis ekonomi manakala tuntutan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat melebarkan lagi senario ketidaktentuan politik negara.

Jadi, dalam keadaan ketidaktentuan seperti ini, apa lagi formula yang boleh diharapkan untuk membina daya tahan rakyat agar terus kuat dan bangkit daripada pelbagai krisis yang sedang kita hadapi?

Jujurnya, saya melihat perpaduan antara rakyat adalah jawapannya sekali gus boleh menjadi formula mujarab untuk terus membugarkan semangat serta membina jati diri seluruh Keluarga Malaysia. Ini akhirnya akan membantu merintis jalan ke arah menjana kehidupan rakyat dan negara yang sejahtera.

Percayalah, rakyat semakin bimbang dengan masalah ekonomi diri dan keluarga serta penat melayan kerenah segelintir politikus yang lebih mementingkan kuasa dan kedudukan walaupun dalam situasi genting seperti ini.

Ini boleh menyebabkan rakyat marah, putus asa dan tertekan untuk meneruskan kehidupan. Justeru, kita perlu terus membina kekuatan dalaman melalui tahap perpaduan yang utuh.

EGO

Rakyat perlu sedar, jika kita bersatu padu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik, nescaya kita mampu bangkit dari semua krisis yang sedang dihadapi sekali gus mencipta kejayaan dengan lebih pantas.

Hakikatnya, inilah masa terbaik untuk mengorbankan segala ego, perbezaan dan syak wasangka yang ada demi kejayaan dan kesejahteraan kita bersama sebagai sebuah bangsa Malaysia yang boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Bagi mencapai hasrat ini, setiap warganegara yang sayangkan negara perlu memikul tanggungjawab secara bersama. Misalnya, kita perlu melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membuang segala perbezaan lantas memupuk dan menyemai benih perpaduan dalam sanubari setiap anggota masyarakat.

Antaranya rakyat perlu membuka hati dan minda untuk menyemarakkan budaya bergaul dengan semua secara jujur dan ikhlas bagi memupuk persefahaman antara kaum.

Jangan sesekali kita memilih kawan berdasarkan warna kulit, anutan agama mahupun ideologi politik kerana itu akan terus mewujudkan jurang yang lebih luas antara kita.

Dalam konteks ini, kita perlu menggalakkan anak-anak untuk turut bergaul dan berkomunikasi dengan rakan dan jiran daripada berlainan agama dan kaum. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan besar dengan mewujudkan suasana yang membolehkan anak-anak ini sering berjumpa dan bermesra.

Ini boleh dilakukan dengan cara kita menguatkan semangat kejiranan iaitu menyuburkan budaya membawa anak-anak mengunjungi jiran tetangga khususnya ketika musim perayaan agar mereka lebih memahami kemajmukan yang kita raikan.

Pemimpin masyarakat juga perlu memikul tanggungjawab dengan cara menganjurkan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan kenduri rakyat yang akan menonjolkan ciri-ciri kerjasama bagi mengeratkan tali silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum.

Pada masa sama, kita juga perlu membina benteng yang kukuh agar tidak terpedaya dengan tindakan provokasi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa cuba mencetuskan pergolakan antara kaum.

Di samping itu, anggota masyarakat juga perlu belajar untuk menghormati sensitiviti kaum lain dengan cara hindarkan diri daripada apa jua tindakan yang boleh mencetuskan pertelingkahan antara kaum. Misalnya, jangan sesekali menyentuh isu sensitif yang boleh merosakkan perhubungan dan kesepakatan sedia ada.

Antara kaedah dilihat mampu memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat ialah sentiasa patuh kepada undang-undang negara termasuk menghormati kontrak sosial serta jangan sesekali mudah terpengaruh dengan anasir luar yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan jambatan perpaduan yang ada.

Kita juga wajar meraikan sambutan perayaan setiap kaum secara bersama atas semangat muhibah sebagai sebuah keluarga besar.

Selain itu, kita juga boleh memupuk perpaduan dengan cara sentiasa ingat dan menghargai nikmat kebebasan dan kemerdekaan yang ada serta jasa para tokoh negara yang berjuang demi kemerdekaan dan perpaduan negara.

Tuntasnya, perpaduan akan mewujudkan kekuatan untuk kita bersatu padu dalam mengharungi apa jua cabaran mendatang sekali gus bangkit daripada krisis yang sedang melanda demi membina sebuah bangsa yang berjaya dan negara yang sejahtera. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×