SEKITAR setahun lalu, saya diberikan amanah mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam suasana negara berdepan pandemik Covid-19. Ketika itu, jumlah kes jangkitan Covid-19 masih tinggi. Fokus utama saya ada dua, iaitu:
– Keprihatinan kepada isu-isu kebajikan masyarakat dan umat Islam.
– Kepantasan membawa keluar masyarakat dan umat Islam dari keadaan kesedihan kepada kegembiraan dan kebahagiaan.
Tanpa menunggu lama, dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran, kerja-kerja di 14 agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberikan penumpuan penuh kepada program-program bersifat turun padang di bawah payung yang saya jenamakan sebagai 5 Inisiatif Mantap:
– Pemantapan mental, jasmani dan rohani.
– Pemantapan sistem pendidikan Islam.
– Pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam.
– Pemantapan institusi masjid dan surau.
– Pemantapan sosioekonomi ummah.
Kesemua lima inisiatif ini dipantau secara dekat melalui Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (Piagam 19) dan kesemua 208 program yang dirancang dapat dilaksanakan oleh 14 agensi.
Untuk mendepani impak ekonomi dan emosi masyarakat akibat krisis kesihatan awam ini, pada 2021, agensi-agensi antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) secara agresif mengagihkan zakat sebanyak RM725.14 juta menerusi pelbagai skim membantu para asnaf. Agihan tersebut memanfaatkan secara langsung sebanyak 216,525 orang asnaf penerima bantuan.
Antara inisiatif lain yang dilaksanakan untuk mengupayakan golongan asnaf dengan ilmu dan kursus keusahawanan, seramai 9,294 usahawan asnaf mendapat bimbingan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bersama MAIWP. Selain diperkenalkan program Musa’adah Tijariyyah untuk membantu golongan asnaf dan B40 untuk bangkit semula menjana pendapatan, seramai 1,317 orang diberikan bantuan modal teroka sehingga RM3,000 untuk memulakan perniagaan melibatkan peruntukan melebihi RM3 juta.
Pada masa sama, Musa’adah Agensi-Agensi Islam diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digerakkan untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 dan musibah seperti banjir dan ribut. Sebanyak 70 masjid dan surau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dijadikan pusat agihan makanan secara percuma kepada golongan asnaf dan masyarakat memerlukan.
MENGUPAYAKAN GOLONGAN ASNAF
Golongan asnaf dan mereka yang tidak berkemampuan amat dekat di hati saya. Apabila diberikan amanah berat ini untuk mengetuai jentera agensi hal ehwal Islam, membantu golongan asnaf berada pada senarai keutamaan. Dalam fikiran saya, selain bantuan secara langsung yang diberikan, sudah tiba masanya kemahiran dan bimbingan juga perlu diperhebatkan untuk meningkatkan daya juang para asnaf ini. Kita mesti memberikan joran.
Agensi-agensi seperti MAIWP, Yapeim dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) adalah antara yang digerakkan secara optimum untuk membantu rakyat dalam ruang lingkup kemampuan agensi.
Bermula 1 Januari sehingga 31 Julai lalu, MAIWP mengagihkan zakat berjumlah RM440.239 juta kepada asnaf dan masyarakat memerlukan melalui pelbagai skim bantuan. Dalam rekod, setiap bulan secara tetap, MAIWP memberikan bantuan tunai kepada 30,200 ketua keluarga asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Terbaharu, sebagai bantuan tambahan kepada ketua asnaf 30,200 orang ini, setiap bulan MAIWP memberikan kupon belian berjumlah RM150 untuk mereka membeli barangan keperluan asas melalui program Kasih Asnaf. Lori bergerak akan berada di lokasi seperti di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih.
Usaha untuk membangunkan para asnaf dengan kemahiran kerja juga diperhebatkan menerusi program perintis tanaman hidroponik yang dijenamakan dengan nama Bijaktani Hidroponik. Buat permulaan, program ini mula diusahakan oleh para asnaf di enam PPR terpilih di Wilayah Persekutuan.
Begitulah pada 2022 ini, saya memberikan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada MAIWP untuk mengeluarkan 2,000 orang asnaf dari kepompong kemiskinan. Program diperkenalkan oleh MAIWP adalah latihan keusahawanan kepada 2,000 asnaf termasuk modal teroka sehingga RM20,000 setiap seorang untuk memulakan perniagaan.
Selain itu, melalui YWM bersama kolaborasi rakan strategik Perbadanan Putrajaya, kita membangunkan projek Watani (Wakaf Pertanian Bersepadu) di atas tapak tanah wakaf seluas 10 ekar di Presint 20 Putrajaya. Kita bangunkan projek tanaman nanas, pisang dan cili untuk membantu para asnaf khususnya membantu mereka meringankan beban kos sara hidup.
Peruntukan sebanyak RM3 juta diberikan untuk membangunkan projek Watani ini. Melalui program ini memberikan peluang pekerjaan kepada asnaf.
Bagi membantu anak-anak muda meneroka peluang pekerjaan, YWM dengan kerjasama rakan strategik seperti pihak korporat CIMB dan Yayasan Belia Malaysia memperkenalkan program wakaf bertempoh, i-Tekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur. Program ini memberikan sumbangan motosikal serta kursus keusahawanan kepada anak-anak muda untuk bekerja sebagai penghantar makanan. Sebagai dana pemula bagi merealisasikan inisiatif ini, sebanyak RM300,000 dana wakaf terkumpul diperuntukkan.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjaya menghasilkan Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022-2026 yang merupakan pelan strategik lima tahun di bawah 14 agensi. Salah satu perkara penting dalam pelan strategik tersebut ialah penubuhan jawatankuasa bertindak memperkasa asnaf yang berperanan memeta perancangan jangka panjang untuk mengupayakan golongan berkenaan. Inilah citra baharu yang mesti disahut oleh agensi hal ehwal Islam. – UTUSAN
SENATOR Datuk Idris Ahmad ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).











