Memahami pentingnya subsidi haji

Memahami pentingnya subsidi haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKEMAMPUAN dan tidak membebankan menjadi syarat wajib mengerjakan haji seperti ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Idris Ahmad sememangnya betul. Malah syarat wajib rukun Islam kelima itu sudah difahami oleh sebahagian besar umat Islam di negara ini.

Kenyataan seperti itu bukan suatu yang luar biasa atau salah. Bagaimanapun, apabila disarankan oleh menteri yang mengawal selia Tabung Haji, maksudnya menjadi lain. Saranan atau nasihat ini dilihat dalam konteks subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji.

Walaupun begitu, masyarakat Islam tidak boleh disalahkan sekiranya memahami ini sebagai isyarat bahawa subsidi kos mengerjakan haji akan dikurangkan, malah mungkin ditiadakan pada masa depan. Kalau tidak masakan menteri sendiri beria-ia menekankan bahawa syarat wajib haji hanyalah kepada mereka yang berkemampuan.

Dalam kata lain,Tabung Haji boleh sahaja tidak memberikan subsidi kepada yang tidak berkemampuan. Umat Islam pula tunggu sahajalah apabila berkemampuan dari segi harta untuk merealisasikan hasrat mencukupkan rukun Islam ini, walaupun kita sudah ada mekanisme iaitu asas penubuhan Tabung Haji untuk membolehkan mereka mengerjakan haji.

Akan tetapi sekiranya subsidi dikurang atau dimansuhkan sekalipun, umat Islam yang kurang kemampuan tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak ada suara pendesak. Malah tidak ada suara politik. Yang ada hanya keazaman dan itu dibuktikan dengan iltizam menabung berpuluh-puluh tahun lamanya.

Sekiranya ditakdirkan kembali menemui Ilahi sebelum tabungan mencukupi, setidak-tidaknya mereka sudah berazam untuk mengerjakan haji. Mereka tidak ambil mudah hanya bersandarkan ‘yang berkemampuan wajib mengerjakan haji.’

Umat Islam khususnya orang Melayu ketika belum wujud Tabung Haji dahulu sudah hidup dalam kesempitan. Tidak banyak yang mempunyai harta, sebahagian besarnya hanya kais pagi makan pagi. Secara munasabahnya mereka dibolehkan untuk tidak ‘bermimpi’ mengerjakan haji.

Tetapi banyak dalam kalangan yang hidup dalam kesempitan itu berazam serta berusaha dengan menabung secara tradisional. Mereka sedar akan keselamatan tabungan yang sentiasa terdedah dengan ancaman kecurian atau kebakaran. Tetapi hanya itu usaha daripada azam yang tidak erti putus asa untuk mengerjakan haji.

Keazaman luar biasa ini menangkap perhatian pemikir bangsa yang ulung, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang kemudiannya mengusulkan gagasan awal perbadanan untuk mengurus dan memudahkan umat Islam mengerjakan haji.

Padahal Ungku Aziz boleh sahaja mengambil mudah – tidak berkemampuan tidak usah mengerjakan haji. Bagaimanapun, seorang yang berpemikiran tinggi, berpandangan jauh dan memikul tanggungjawab kepada umat Islam tidak akan bertindak sedemikian. Ini boleh memancung azam terhadap sesuatu perkara yang sepatutnya diberi perangsang.

Sikap mengambil mudah begitu hanya ada kepada mereka yang tidak ada keazaman untuk menyelesaikan masalah. Sikap ‘mencuci tangan’ dengan menggunakan alasan hukum wajib haji itu tidak ada pada Ungku Aziz. Kelonggaran hukum tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mencari alternatif yang membolehkan umat Islam menjadi layak untuk mengerjakan haji.

KONGLOMERAT

Disebabkan kebertanggungjawaban menyelesaikan masalah orang miskin untuk mengerjakan haji, Ungku Aziz membentangkan kertas kerja bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi

Bakal-bakal Haji pada 1959. Saranan Ungku Aziz itu dizahirkan melalui penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada 1962.

Itulah titik mula Tabung Haji yang sekarang ini berdiri megah sebagai sebuah konglomerat yang menjana pendapatan berbilion-bilion ringgit. Walaupun menjadi konglomerat, Tabung Haji dan elit politik yang mengawal selia tidak boleh terputus dengan matlamat asal.

Ungku Aziz sempat melihat era kegemilangan Tabung Haji dan semua ini adalah kejayaan kita bersama. Tabung Haji tidak wujud tanpa prinsip perjuangan utama awalnya, ‘membaiki ekonomi bakal-bakal haji.’

Kembali pada menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu, sekiranya beliau hanya seorang ulama atau pemimpin politik, saranan itu memang tidak teranjakan daripada makna yang sebenar. Akan tetapi disebabkan kedudukannya kini, saranan itu seolah-olah tiada keazaman untuk menyelesaikan ketidakmampuan golongan B40, misalnya untuk mengerjakan haji.

Kalau bersandarkan pada sikap ambil mudah dalam isu haji ini, tentulah Ungku Aziz tidak bersusah payah memerah otak membentang kertas kerja bertujuan membantu golongan yang susah. Keazaman orang-orang terdahulu terhadap keutamaan dalam agama wajarlah dijadikan contoh ikutan.

Saranan Idris boleh menyebabkan golongan kurang kemampuan tidak mempunyai keazaman untuk mengerjakan rukun Islam itu. Walaupun tidak wajib kepada yang kurang kemampuan, tetapi perlu diingat bahawa keazaman adalah yang menjadi faktor penentunya.

Kita bimbang suatu ketika nanti golongan berkenaan sudah tidak ada keazaman untuk mengerjakan haji. Akan tercatat suatu yang mengecewakan, sudahlah tidak mampu mengerjakan haji, azam ke arah itu pun tidak ada.

Rakyat miskin bukanlah meminta Tabung Haji membiayai mereka sepenuhnya. Kadar subsidi yang diberikan seperti sebelum ini sudah amat memadai dan tidak timbul rungutan akan hal itu. Lagipun subsidi yang diberikan tidak melibatkan duit yang dikutip daripada cukai ke atas rakyat, sebaliknya adalah hasil pendapatan Tabung Haji sendiri.

Pada masa sama, Tabung Haji mungkin boleh menyusun semula kaedah pemberian subsidi mengerjakan haji. Mesti disyaratkan kepada golongan yang tidak ada kemampuan. Tidak kenalah kalau semua golongan diberikan subsidi, kaedah ini sebenarnya mengambil hak mereka yang tidak mampu.

Mekanisme telah ada, menteri hanya perlu meneruskan legasinya dengan sedikit penambahbaikan sekiranya masih ada yang perlu diperbaiki, bukan mengurangkan usaha yang telah sedia baik. Sebagai sebuah negara Islam, usaha untuk mendorong umat Islam taat kepada ajaran agama perlu diberi keutamaan.

Maka kerajaan tidak boleh awal-awal lagi sudah memperlihatkan sikap ambil mudah dan pesimis dengan bersandarkan syarat dalam Islam. Ini sikap yang tidak proaktif, tidak dinamik dalam usaha untuk menyelesaikan masalah. Kelihatan lebih menyerah pada keadaan.

Sudah tentu tidak menepati tujuan asal sekiranya Tabung Haji sering merungut tentang subsidi sehingga memancung cita-cita para petani atau penoreh getah di kampung yang sangat teruja untuk menjadi tetamu Allah sekian lama. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×