EKORAN prospek ekonomi global yang semakin tidak menentu, pada Rabu lalu ringgit telah mencecah paras terendah yang pernah dicatatkan sejak krisis kewangan Asia 1998; lebih ramai pelabur mata wang mula beralih kepada dolar Amerika Syarikat (USD). Dalam suasana sedemikian, USD merupakan mata wang yang dianggap lebih selamat.
Pada 9.01 pagi, kadar tukaran mata wang ringgit merosot kepada 4.5010/5035 berbanding USD dari 4.4970/4500 ketika ditutup pada Selasa. Kadar tukaran mengalami turun naik yang lebih ketara berbanding biasa baru-baru ini disebabkan ketegangan yang semakin memuncak antara Russia dan Barat, dengan keputusan Russia untuk memotong bekalan gas ke Eropah bagi tempoh yang tidak pasti.
Tekanan belian terhadap USD dikesan ekoran dari bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Bukan Pembuatan ISM AS yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan. Perkembangan terbaharu terhadap kadar tukaran ringgit boleh dikaitkan dengan perkembangan terbaharu dalam suasana global dan politik dalam negara.
Tiada perkembangan yang positif dapat dikesan dalam konflik Russia-Ukraine setakat ini menjadi penanda bahawa suasana politik global masih tidak menentu sedang keputusan Russia untuk memotong bekalan gas ke Eropah bagi tempoh yang tidak pasti menandakan masalah gangguan bekalan akan menjadi lebih meruncing; masalah gangguan bekalan ini akan menambah parah masalah inflasi.
Berlandaskan data yang menunjukkan inflasi tinggi dan pengangguran rendah di AS, ramai yang menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengekalkan trajektori semasa yang meningkat.
Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama termasuk dolar Singapura dan pound British. Kisah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipenjara dan ahli-ahli politik berprofil tinggi yang sedang menghadapi perbicaraan mahkamah, memberi kesan yang sedikit positif kepada pasaran ekuiti dan mata wang asing; indeks Bursa Malaysia dan kadar tukaran ringgit kelihatan menokok setiap hari selepas pemenjaraan Najib.
Namun, isu bilakah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan di tengah-tengah kisah pemenjaraan dan perbicaraan mahkamah juga sedang hangat diperkatakan, menandakan politik negara ini masih jauh perjalanannya untuk mencapai keadaan yang benar-benar stabil; ia telah mewarnai persekitaran ekonomi negara.
Jika ketika wabak Covid-19 isu yang mewarnai persekitaran ekonomi adalah kesihatan manakala ketika peralihan endemik ini, ia adalah isu politik; kedua-dua ini merupakan fundamental sebenar persekitaran ekonomi.
Perkembangan politik semasa kelihatan telah memberikan kesan positif yang kecil kepada pasaran saham dan tukaran mata wang asing namun ketidaktentuan persekitaran ekonomi global telah memberikan kesan yang negatif kepada kadar tukaran ringgit berbanding USD.
AGRESIF
Apa pun yang berlaku dalam kedua-dua perkembangan politik dalam negara dan persekitaran ekonomi global, ekonomi negara dalam 2023 dan tahun-tahun mendatang menghadapi saat-saat yang sungguh mencabar. Dunia amnya dan negara khususnya sedang mengalami inflasi yang amat tinggi ketika kita baru sahaja memulakan langkah-langkah pemulihan ekonomi.
Keadaan sedemikian telah menghasilkan kejutan baharu kepada ekonomi dunia dengan persoalan adakah kita akan mengalami stagflasi (kadar inflasi tinggi, pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan manakala pengangguran kekal tinggi) atau kegawatan.
Sesungguhnya, ini adalah fenomena business cycle yang terhasil bermula dari wabak Covid-19 namun perang Russia-Ukraine menambah kekalutan sedia ada. Dunia global merujuk kepada ekonomi negara-negara utama (seperti AS, Kesatuan Eropah dan China) sangat terkesan dengan wabak Covid-19 mengambil tindakan agresif merangsang ekonomi masing-masing, yang merupakan satu usaha yang baik ke arah pemulihan.
Ekonomi kebanyakan negara melantun pulih apabila wabak tersebut telah terkawal. Namun, kerosakan besar mula dicetuskan oleh tangan manusia, konflik Russia-Ukraine dan sekatan bekalan bahan pengeluaran, bahan api dan makanan; ia menjadi penentu kepada keadaan ekonomi global, termasuk ekonomi Malaysia, di masa mendatang.
Jika demikian apa yang Malaysia boleh lakukan? Dengan mengambil kira kekurangan dan kelebihan struktur ekonomi sedia ada, sangat terbatas yang Malaysia boleh lakukan untuk pemulihan penuh. Malaysia hanya boleh sekadar melunakkan gejala kemerosotan ekonomi, termasuk kesejahteraan isi rumah, sedang ia amat terdedah dengan gejolak ekonomi global.
Mencari jalan agar kesan negatif inflasi dapat dibendung, kita terpaksa menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Ini kita lakukan secara berdikit-dikit agar beban isi rumah penghutang terbendung sambil kemerosotan kesejahteraan isi rumah keseluruhan ditangani melalui pemberian subsidi.
Masalah kemerosotan kadar tukaran ringgit yang sedang kita hadapi tidak begitu jelas. Ini adalah kerana ia berlaku bila dibandingkan dengan USD tetapi dengan mata wang lain kemerosotan itu tidak begitu jelas.
Walaupun demikian, sebagai mata wang paling terkemuka dunia, perbandingan dengan USD amat penting diberikan perhatian. Justeru, peningkatan agresif kadar bunga Fed mesti disusuli dengan sesuatu tindakan sesuai dalam OPR.
Sebagai satu instrumen monetary, OPR perlu dinaikkan. Tindakan ini diambil untuk mengekang gejala inflasi di Malaysia yang kelihatan sekarang ini bahawa bukan sahaja tiada tanda-tanda jelas yang ia akan susut malah gejala ini adalah gejala global.
Peningkatan OPR dilihat sebagai satu langkah untuk menjinakkan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan kemerosotan kadar tukaran ringgit; ia dilakukan agar kemerosotan kesejahteraan hidup rakyat dapat dikurangkan.
Oleh itu, tindakan kerajaan meningkatkan OPR, walaupun menaikkan kos meminjam terutama isi rumah penghutang, adalah langkah yang betul kerana ia sedikit sebanyak dapat mengawal IHP dan mengukuhkan ringgit. Ia ibarat ubat pahit yang perlu ditelan. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Zakariah Abdul Rashid ialah pakar ekonomi.











