TIBA-TIBA padang sekolah menjadi meriah. Ramai orang kampung dan anak-anak muda hadir. Apa tidaknya, ada cabutan bertuah. Kalau bernasib baik dapat mesin basuh, televisyen dan motosikal, termasuk barangan lain yang tidak kurang menarik.
Di samping itu, ada lagi acara-acara lain seperti perlawanan tarik tali, sepak raga dan persembahan hiburan. Jamuan turut disediakan.Diadakan pertandingan bola sepak, kesenian dan pelbagai lagi.
Lalu, dapatlah rakyat ‘bertemu mata’ seketika dengan ahli-ahli Yang Berhormat (YB) mereka walaupun sudah bertahun begitu sukar menjelma wajah di dalam kawasan.
Rakyat berasa senang apabila dapat bercakap sepatah dua dengan YB yang pernah diundi pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Senangnya rakyat ‘dilegakan perasaan’.
Setelah saling bertanya sesama sendiri tentang kenapa acara seperti itu diadakan? Jawapan yang mudah mereka temui ialah rupa-rupanya PRU sudah hampir tiba. Reaksi kepada jawapan itu, ada yang tersenyum dan ada juga yang melempar cemikan muka penuh sinis. Masing-masing boleh memberi tafsiran sendiri dengan bahasa pergerakan badan.
Namun, percayalah, bukan semua rakyat mudah terpikat. Semakin ramai yang sedar mereka tidak semudah diperdaya dengan karnival atau temasya pertemuan ramai lima tahun sekali. Mereka tahu semua itu merupakan umpan untuk meraih sokongan menjelang PRU tidak lama lagi.
Rakyat mengharapkan perkhidmatan wakil-wakil yang mereka pilih melaksanakan tanggungjawab dalam konteks lebih luas. Mereka mahukan pelaksanaan projek kemudahan dan prasarana selain mengambil cakna terhadap keperluan semasa dalam persekitaran hidup mereka. Lebih kerap bersua muka dengan YB, lebih melegakan mereka. Ada hal-hal yang mahu dibincang dan diajukan secara bersemuka.
Tidak dinafi, ada YB yang memegang jawatan dalam kerajaan membuatkan mereka mempunyai ruang waktu yang terhad untuk bertemu rakyat. Tetapi rakyat tetap meletakkan sesi ‘bertemu wakil rakyat’ itu adalah suatu tanggungjawab. Ada perkara yang rakyat lebih selesa dan lega jika dapat diluah dan dibincang secara terus dengan YB mereka.
Lebih dikesali apabila rakyat telah memberi sokongan dan laluan kepada calon-calon dari luar kawasan untuk mewakili mereka sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, namun langsung tidak mengambil berat tentang kebajikan rakyat di dalam kawasan mereka.
Di Kelantan misalnya, ada calon-calon ‘import’ dari Johor, Perak atau Kedah pernah diberi tempat oleh rakyat tempatan.Ekoran sokongan bersifat taksub kepada parti-parti tertentu, rakyat tidak berfikir panjang untuk terus memberi laluan kepada calon-calon tertentu tanpa mengambil kira dari mana mereka.
Apa yang dikesali dan mendukacitakan, selepas memenangi pertandingan dalam pilihan raya, wakil-wakil rakyat berkenaan terus tidak mempedulikan hal ehwal dan keperluan rakyat dalam kawasan yang mereka menangi.
BANJIR
Pernah juga berlaku di satu kawasan Parlimen di Kelantan, wakil rakyat yang dibawa dari luar negeri itu tidak mengambil berat pun tentang bencana banjir yang melanda penduduk di kawasan yang diwakilinya.
Rakyat kecewa kerana nasib dan kebajikan mereka tidak dipeduli. Kalangan wakil rakyat import ini seolah-olah memperlihatkan sikap ‘aku di sini sekadar pendatang bertaraf sementara’.
Lain ceritanya dengan ahli-ahli YB yang sering turun padang, mengambil berat tentang ehwal hidup rakyat secara berterusan. Bangganya orang kampung apabila sekali-sekala dapat bersolat jemaah dalam saf yang sama dengan YB mereka di masjid atau surau. Selepas solat, mereka sempat berinteraksi sepatah dua. Suasana begitu sudah cukup harmonis bagi rakyat.
Apa pun, rakyat sedia memahami tugas dan tanggungjawab setiap wakil rakyat terlalu berat. Bayangkan seorang wakil rakyat terpaksa memberi liputan kecaknaan kepada berbelas atau berpuluh ribu penduduk. Perkara penting yang rakyat mahu ialah kejujuran dan sikap komited wakil rakyat menjaga hal ehwal kebajikan mereka.
Rakyat juga rasional untuk tidak meletakkan seseorang wakil rakyat itu seolah-olah sebagai ‘hamba’ atau ‘khadam’ mereka, tetapi memadai dengan sikap prihatin dan mesra rakyat, terzahir keikhlasan menyelami keperluan semasa.
Rakyat biasanya mengharapkan jalan-jalan yang berlopak dan berlubang dapat diturap dan diratakan. Ini bagi memudahkan perjalanan anak cucu ke sekolah, menyenangkan ulang-alik ke masjid, ke pasar atau ke pekan.
Hal-hal keselamatan perlu juga diberi perhatian. Tempat-tempat niaga atau gerai-gerai jualan di kampung biarlah dalam keadaan sesuai.
Di samping itu, ada projek-projek lebih besar sedikit mahu diluahkan oleh penduduk setempat. Misalnya, mereka perlukan kepada sistem perparitan sesuai untuk mengatasi banjir.
Mereka juga perlukan lampu-lampu jalan yang mencukupi. Perlu juga dibangunkan kawasan-kawasan rekreasi sesuai untuk masyarakat. Di samping anak-anak muda perlukan padang untuk mereka bermain bola, beriadah dan sebagainya.
Demikian perlunya perdampingan berterusan di antara pemimpin dan rakyat di peringkat kawasan. Ertinya, perlu ada konsep atau pendekatan hands-on (amali), yang tidak hanya datang pada musim PRU melalui sekadar diadakan program-program keramaian seperti karnival atau temasya sukan.
Semoga rakyat semakin faham lenggok permainan. Sebaiknya, sekilas ikan di air, sudah nampak jantan betina. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











