Gendang perang sudah dipalu, tunggu apa lagi?

Gendang perang sudah dipalu, tunggu apa lagi?

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA semua sedar, negara sedang mengharungi krisis politik berterusan berpunca daripada masalah-masalah yang membarah sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Antara punca ialah komposisi Parlimen yang terlalu tipis majoriti sehingga ahli-ahli Parlimen mudah beralih belah bahagi demi keuntungan diri. Masalah lompat parti berlaku sejak awal lagi apabila hampir 20 ahli Parlimen dari parti lawan melompat menyertai Pakatan Harapan (PH). Hal ini membawa kepada ketidakstabilan politik yang diburukkan lagi oleh pergeseran dan perebutan kuasa di antara parti-parti di bawah PH.

‘Langkah Sheraton’ memperlihatkan betapa rapuhnya gabungan parti yang dibentuk atas dasar hanya untuk memenangi pilihan raya. Oleh itu, tidak memeranjatkan apabila sekumpulan ahli Parlimen sekali lagi melompat keluar meninggalkan PH untuk membentuk kerajaan baharu. Langkah Sheraton merupakan petunjuk paling jelas bahawa perlunya mandat dikembalikan kepada rakyat dan pilihan raya kilat diadakan segera bagi menstabilkan politik negara.

Walaupun keadaan politik dilihat semakin tenang setelah kerajaan dan pembangkang memeterai memorandum persefahaman (MoU), namun ia hanyalah benar pada mata kasar. Hakikatnya, situasi masih panas dan tegang. Lebih buruk, hubungan di antara parti-parti yang membentuk kerajaan juga jelas amat bermasalah.

Dalam keadaan ini, tentulah amat sukar bagi Perdana Menteri untuk melaksanakan sesuatu dasar dengan baik dan berkesan akibat tekanan bukan hanya daripada pembangkang tetapi juga anggota kerajaan sendiri.

PRN

Mengambil kira segala masalah dan tuntutan berkenaan, tidak ada ruginya jika Perdana Menteri mempercepatkan langkah yang tertangguh sebaik sahaja segala persediaan sudah lengkap dan selesai. Terbukti empat Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRU14 iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor berjaya dilaksanakan dengan baik, lancar dan teratur. Hasilnya dengan mandat yang besar, kerajaan negeri dapat berfungsi lebih berkesan tanpa tekanan serta ugutan menarik balik sokongan seperti berlaku sebelumnya.

Kini di kiri dan kanan kita, gendang perang telah dipalu. Kempen politik sudah semakin kencang. Para pemimpin parti juga sibuk berkira-kira di mana kerusi masing-masing dan menyatakan parti mereka sudah siap siaga menghadapi PRU15 pada bila-bila masa. Jadi, apa lagi yang nak ditunggu? – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN