Data kaji selidik tidak semesti tepat

Data kaji selidik tidak semesti tepat

ADA kaji selidik mendakwa tahap kepuasan hati rakyat kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri telah menurun secara konsisten. – PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia politik negara, kita ada banyak badan kaji selidik. Antara yang terkenal ialah Merdeka Center dan Ilham Centre. Bagaimanapun, data-data mereka banyak yang tidak tepat.

Contoh utama ialah kaji selidik mereka untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dahulu.

Merdeka Center menyatakan Barisan Nasional (BN) akan memenangi PRU14 sedangkan akhirnya parti itu tumpas. BN waktu itu dikatakan mendahului Pakatan Harapan (PH) dengan 100 kerusi berbanding 83.

Begitu juga Ilham Centre yang membuat jangkaan tidak tepat. Ilham Centre menyatakan BN mampu merampas Kelantan daripada Pas selain mengekalkan penguasaan mereka di Terengganu dalam PRU14. Sebaliknya berlaku bila Pas menang di Kelantan dan Terengganu.

Sebab itulah bila ada yang menggunakan kaji selidik Merdeka Center untuk mengukur tahap kepuasan hati rakyat, maka data diberi perlu disemak logik atau tidak. Contohnya, tahap kepuasan hati rakyat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang didakwa telah menurun secara konsisten.

Beliau disebut bermula dengan tahap kepuasan hati rakyat sebanyak 50 peratus pada Oktober 2021, Disember 2021 (48%), Mac 2022 (49%), April 2022 (48%), Jun 2022 (40%) dan Ogos 2022 (35%). Kaji selidik ini boleh dipersoalkan kerana bercanggah dengan usaha dibuat oleh kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia.

Pelbagai program ekonomi dilaksanakan dan menunjukkan pertumbuhan positif berbanding negara-negara lain. Cuma situasi ekonomi global pada hari ini kurang baik dan memberikan implikasi kepada rakyat.

Pengukuhan mata wang dolar bukan sahaja menyebabkan nilai emas jatuh tetapi juga nilai mata wang lain juga jatuh. Kejatuhan nilai mata wang ringgit tidak begitu teruk jika dibandingkan rupiah Indonesia, baht Thailand dan dolar Singapura.

Situasi mata wang ringgit masih dalam kawalan kejatuhan disebabkan tekanan kenaikan kos import yang menyebabkan kenaikan kadar inflasi. Tetapi kadar inflasi negara ini tidak seteruk negara-negara jiran lain mahupun negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom.

Kerajaan sedar situasi yang berlaku dan mengambil beberapa inisiatif melalui penubuhan pasukan Jihad Tangani Inflasi dan sebagainya. Walaupun begitu, kerajaan juga melihat kepada keluhan rakyat dengan memberikan sejumlah besar subsidi ke atas hampir banyak barangan keperluan harian. Subsidi tanggungan kerajaan sebenarnya memberikan situasi kos sara hidup yang kurang membebankan ke atas rakyat berbanding negara-negara serantau Asia Tenggara.

Disebabkan ini, harga bahan api petrol dan diesel yang dianggap antara terendah di rantau ASEAN berjaya menarik sebahagian besar pelancong luar untuk melawat negara ini di destinasi tertentu. Sedikit sebanyak memulihkan sebahagian industri kritikal berkaitan pelancongan dan perkhidmatan.

Kerajaan juga membuat langkah menarik pelaburan luar masuk ke dalam beberapa sektor industri dan adalah tidak benar mengatakan kerajaan kepimpinan Keluarga Malaysia gagal.

RASUAH

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau dengan mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik yang diluluskan sebanyak RM123.3 bilion untuk tempoh Januari hingga Jun 2022.

Ini membabitkan sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama melibatkan 1,714 projek dan dijangka mewujudkan 57,771 peluang pekerjaan di negara ini. FDI kekal sebagai penyumbang utama iaitu 70.9 peratus atau RM87.4 bilion, manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus berjumlah RM35.9 bilion.

Sektor perkhidmatan memainkan peranan penting ke arah memacu pemulihan ekonomi mencakupi 63.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM78 bilion. Ini diikuti sektor perkilangan sebanyak RM43.1 bilion atau 34.9 peratus dan sektor utama pada RM2.2 bilion atau 1.8 peratus.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China mendominasi pelaburan asing bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dengan pelaburan berjumlah RM48.6 bilion. Ini diikuti Jerman sebanyak RM9 bilion, Singapura RM6 bilion, Brunei RM5.1 bilion dan Belanda melabur sebanyak RM4.1 bilion. Jumlah pelaburan keseluruhan ini dianggap tinggi dalam negara-negara ASEAN bagi 2022 sehingga suku kedua.

Kepimpinan Ismail Sabri masih lagi berupaya memberikan situasi keselesaan kepada rakyat di kala seluruh dunia menghadapi krisis ekonomi dan inflasi yang teruk. Malaysia masih lagi selamat daripada senarai negara-negara yang bakal menghadapi krisis ekonomi teruk.

Ini membuktikan kerajaan tidak akan meninggalkan sesiapa dalam sosioekonomi ketika negara sedang bergelut dengan krisis ekonomi global.

Malahan kepercayaan pelabur luar ke atas ketelusan dan keintegritian kerajaan semakin meningkat berikutan beberapa kes rasuah berjaya diselesaikan di mahkamah tanpa campur tangan kerajaan.

Kehidupan rakyat boleh dikatakan semakin baik kerana kerajaan sentiasa teguh bersama walau pelbagai halangan dan cabaran sedang berlaku.

Tidak logik untuk menyatakan Ismail Sabri mendapat markah gagal secara konsisten sejak awal tahun ini sedangkan banyak sekali pembaharuan politik yang dilakukan mendapat sokongan penuh ahli Parlimen dan rakyat.

Ini seperti rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi menghalang perbuatan melompat parti yang diluluskan sebulat suara di Parlimen.

Dalam media massa juga dapat dilihat banyak suara cerdik pandai dan pelbagai golongan rakyat yang bersetuju dan menyokong pentadbiran Ismail Sabri.

Jadi, data kaji selidik untuk mengukur tahap kepuasan hati rakyat perlulah dilihat dengan teliti sebelum dikeluarkan supaya selari dengan pelbagai indikator semasa lain. Jika tidak, ia hanya akan menjadi bahan ketawa masyarakat. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya