BAHASA menunjukkan bangsa. Keperibadian diri mencerminkan siapa diri kita, baik buruk adat kelakuan akan menzahirkan asal usul keturunan kita. Dalam melakukan sesuatu perkara, sudah tentu ada adat, adab, tertib serta aturan yang wajar kita turuti selagi tidak melanggar syarak terutama apabila ia membawa kepada kebaikan dan keteraturan.
Tanpa adab terpuji, hilanglah kemuliaan bangsa. Malangnya, kita kini melalui era di mana kepentingan adab semakin dipandang remeh. Ia dianggap kolot dan menyusahkan. Lihat sahaja kata-kata kesat dan maki hamun yang bertaburan di pelbagai platform media sosial.
Sehinggakan ada dalam kalangan masyarakat yang bukan sahaja tidak berasa segan, malah sebaliknya bangga tatkala menuturkan kata-kata sebegitu. Itu bukan cara kita. Di manakah adab sopan yang menjadi asas budaya kita?
Masalah ini turut terbawa-bawa dalam hubungan kekeluargaan. Kata-kata kurang manis sudah dianggap sebagai gurauan. Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Jika beginilah sikap kita sekarang, bayangkan bagaimana keadaan masyarakat kita pada suatu hari nanti.
Di peringkat kepimpinan, kini semakin ramai pemimpin politik yang tidak lagi menjaga adab ketika berucap di khalayak ramai. Untuk membakar emosi penyokong mereka, ada yang sengaja menggunakan bahasa kasar dan kesat bagi menzahirkan kemarahan terhadap pihak lawan.
Perhatikan sahaja cara dan gelagat sesetengah ahli Parlimen ketika mengambil bahagian dalam persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi tempat yang mereka hormati. Kini keadaan ini sudah menjadi satu trend dalam kalangan ahli politik, apatah lagi ketika berkempen.
ADAB
Dalam kalangan penyokong mereka pula, ada yang menganggap sikap sebegini sebagai satu tarikan. Bagi mereka, ia membuktikan keberanian pemimpin tersebut dalam memperkatakan sesuatu isu.
Mereka berbangga walaupun itu semua tidak lebih daripada kata-kata retorik untuk mencari salah orang lain. Tidak mengapa jika ucapan itu hanya sekadar tin kosong yang disulami fitnah. Mungkin rakyat sudah tidak lagi melihat etika baik serta kemuliaan adab sebagai kriteria pemimpin yang dihormati.
Kemungkinan persaingan sengit dalam dunia politik menjadikan sesetengah pemimpin terdesak melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Mereka mahu dilihat sebagai hero yang berani, lantang bersuara serta tidak terikat kepada protokol.
Soal prinsip dan etika sebagai pemimpin tidak lagi dianggap penting. Kata-kata nista terhadap pihak lawan dijadikan senjata ampuh untuk memenangi hati pengundi. Maka bersoraklah mereka mendengar tanpa meneliti apakah hal yang disampaikan itu satu kebenaran.
Kita mengharapkan kempen pilihan raya yang bakal berlangsung nanti benar-benar bersih dan matang tanpa maki hamun dan kata-kata nista serta fitnah yang digarap untuk menjatuhkan orang lain.
Hasut-menghasut serta maki-memaki adalah bertentangan dengan ajaran agama kita serta adab budaya bangsa. Tunjuklah contoh teladan yang baik kepada kami, anak-anak muda yang baharu bertatih ke alam dewasa.
Jangan menjadi laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Maruah bangsa jangan digadai dan diperlekehkan. Bahasa dan bangsa itu tidak dijual beli. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











