MUKADIMAH
SEJAK 25 tahun ditubuhkan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited memikul mandatnya bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bermula dengan pembiayaan kepada kira-kira 27,000 pelajar pada peringkat awal, kini PTPTN mampu menyalurkan bantuan pinjaman kepada hampir 200,000 orang saban tahun.
Sehingga kini, seramai 3.67 juta pelajar telah dibantu bagi meneruskan pengajian masing-masing dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM67.03 bilion.
Wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurugambar, WAN REDZA WAN SHARMADI menemu bual Pengerusi PTPTN yang baru dilantik, APLI YUSOFF di pejabatnya di ibu negara, baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana perjalanan PTPTN sepanjang 25 tahun ditubuhkan?
APLI: Tahun ini genap 25 tahun PTPTN menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. Tempoh yang cukup mematangkan, bermula dengan satu tujuan, iaitu memastikan tiada pelajar tercicir untuk meneruskan pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Hingga kini, kita sudah membantu 3.67 juta pelajar meneruskan pengajian dengan melibatkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM67.03 bilion setakat 31 Julai lalu. Bantuan pembiayaan PTPTN bukan sahaja berjaya melahirkan ramai golongan profesional, malah menaikkan taraf hidup mereka dan menjadi aset kepada negara.
Jumlah penerima manfaat PTPTN saban tahun?
Di awal penubuhan, pembiayaan diberikan kepada kira-kira 27,000 peminjam, tetapi kini PTPTN mampu menyalurkan bantuan pinjaman kepada hampir 200,000 peminjam setiap tahun. Sekiranya tiada institusi kewangan seperti PTPTN ketika itu, mungkin anak-anak muda masih berada pada tahap sosioekonomi sama.
Boleh jelaskan mengenai Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang diperkenalkan pada 1999?
Ya, WPP sememangnya membantu pelajar melanjutkan pengajian tanpa perlu ibu bapa mereka mengorbankan tanah, barang kemas atau haiwan ternakan. Pada awal pelaksanaannya, kemudahan ini terhad kepada pelajar diploma dan ijazah di IPT awam sebanyak RM1,000 sebelum diperluaskan kepada pelajar politeknik dan institusi swasta dengan bantuan bernilai RM1,500.
Hingga kini, lebih 950,000 pelajar menerima manfaat WPP melibatkan peruntukan sebanyak RM1.41 bilion.
Bagaimana pula insentif pengecualian bayaran balik pinjaman kepada lulusan ijazah sarjana muda kelas pertama?
Bantuan PTPTN tidak terhad ketika mula melangkah ke IPT, sebaliknya meliputi selepas tamat pengajian menerusi insentif pengecualian bayaran balik pinjaman sebagai tanda penghargaan kita kepada peminjam yang komited menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Sehingga 31 Julai lalu, seramai 83,654 peminjam telah menikmati insentif pengecualian bayaran balik bernilai RM2.15 bilion.
Trend bayaran balik pinjaman PTPTN setelah berdepan dengan fasa Covid-19 yang mencabar?
Walaupun sebelum ini kita memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam tetapi mereka tetap membuat pembayaran. PTPTN berterima kasih dan menghargai peminjam yang berbuat demikian kerana ia penting untuk memastikan kesinambungan pinjaman kepada pelajar baharu.
Sehingga 31 Julai lalu, lebih dua juta peminjam atau 81.07 peratus telah membuat bayaran balik pinjaman. Kita sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan menggunakan strategi yang lebih proaktif untuk menyantuni peminjam.
Terangkan mengenai pendekatan #PTPTNSediaBantu?
PTPTN amat terbuka dan prihatin dengan kesukaran ditanggung peminjam yang kurang berkemampuan untuk membuat bayaran balik pinjaman. Mereka boleh berunding untuk penstrukturan semula pinjaman agar bayaran bulanan dapat dikurangkan mengikut kemampuan.
Terbaharu, menerusi inisiatif #PTPTNSediaBantu, setiap urusan menjadi lebih mudah, cepat dan selamat sekali gus membantu peminjam untuk memahami dan menggunakan saluran perhubungan PTPTN dengan berkesan.
Peminjam boleh berhubung dengan barisan hadapan PTPTN yang sangat komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam membantu menyelesaikan urusan atau menjawab persoalan melalui saluran yang disediakan.
Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjaya mentransformasikan minda masyarakat untuk menyimpan. Komen?
SSPN diperkenalkan sejak 2004 dan sehingga 31 Julai lalu, jumlah deposit yang diterima adalah sebanyak RM12.65 bilion dengan melibatkan 5.49 juta pemilik akaun.
Banyak keistimewaan dan manfaat disediakan kepada pendeposit seperti pelepasan cukai, perlindungan takaful percuma, geran sepadan dan dividen yang kompetitif.
Dalam tempoh sama, 31 Julai lalu, sebanyak 3,223 tuntutan telah dibayar dengan jumlah manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian percuma sebanyak RM27.43 juta.
Harapan sebagai peneraju baharu PTPTN?
Setelah lebih sebulan menjadi Pengerusi, saya lihat PTPTN mempunyai perjalanan sejarah yang begitu signifikan dan wajar untuk dihayati bersama terutama dari segi jasa serta sumbangan kepada masyarakat.
Saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada PTPTN kerana ia merupakan organisasi yang membawa amanah berat sebagai satu-satunya tabung pendidikan tinggi utama negara. – UTUSAN










