UMNO tidak boleh dwistandard soal disiplin

UMNO tidak boleh dwistandard soal disiplin

UMNO akan dijauhi generasi muda sekiranya jawatan-jawatan utama parti disekat daripada ditandingi pada pemilihan akan datang. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengeluarkan pandangan bahawa parti itu tidak perlukan seorang poster boy untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Beliau berkata, walaupun UMNO sudah membuat keputusan memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy pada PRU15, Naib Presiden itu sudah dilihat sebagai liabiliti dan elok dibatalkan sahaja.

Poster boy tidak boleh mereka yang terlebih perasan dan lembik, dan harapkan pagar, pagar makan padi, kata Mohd. Puad.

Persoalannya, adakah Mohd. Puad bercakap menggunakan emosi ataupun akal fikiran yang waras?

Dalam mana-mana PRU di sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, calon poster boy adalah amat penting. Poster boy bermaksud seorang pemimpin politik yang dipilih oleh parti yang bertanding dalam PRU sebagai calon Perdana Menteri sekiranya parti tersebut menang.

Dalam PRU15, pengundi akan membuat perbandingan dan penilaian antara calon-calon Perdana Menteri dikemukakan oleh parti-parti politik yang bertanding. Siapa yang lebih layak, siapa yang lebih bersih, siapa yang mengemukakan polisi yang lebih baik untuk rakyat, siapa yang rakyat lebih percaya dan yakini untuk mengemudi pentadbiran negara.

Kenapa pula tiba-tiba Mohd. Puad menganggap Ismail Sabri sebagai liabiliti kepada UMNO pada PRU15 dan kenapa pula beliau menganggap Ismail Sabri sebagai harapkan pagar, pagar makan padi?

Berkemungkinan bermaksud Mohd. Puad mengharapkan Ismail Sabri akan membantu Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes mahkamah tetapi Ismail Sabri tidak mencampurinya sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri itu ke penjara.

Menghairankan sekali apabila seorang ahli MKT UMNO tidak menghormati malah menyanggah keputusan yang dibuat oleh partinya sendiri. Seharusnya jika seseorang ahli MKT mahu menukar resolusi ataupun dasar parti, ia mesti dibuat mengikut saluran sama ada dalam mesyuarat MKT ataupun Perhimpunan Agung UMNO. Tidak menghormati malah menyanggah keputusan yang dibuat oleh parti, apa lagi mengecam pemimpin secara terbuka adalah satu pelanggaran disiplin yang serius.

Mengikut Perlembagaan UMNO, semua ahli hendaklah cintakan parti dan:

a. Patuh kepada perlembagaan ini dan tata etika ahli.

b. Mengikut perintah-perintah parti.

c. Menjalankan dasar-dasar parti.

d. Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti.

e. Menjaga rahsia-rahsia parti.

f. Memelihara nama baik dan maruah parti.

g. Sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.

Perlu diingat, Ismail Sabri berkelulusan undang-undang. Berkali-kali Ismail Sabri menyebut betapa beliau menghormati konsep pengasingan kuasa serta tidak akan mencampuri keputusan mahkamah.

Sebagai orang parti, Ismail Sabri pastinya mengingati jasa bakti Najib sebagai bekas ketua kerajaan dan bekas Presiden UMNO tetapi sebagai ketua kerajaan, beliau tidak boleh mencampuri keputusan mahkamah.

Tindakan tidak mencampuri keputusan mahkamah bukanlah satu liabiliti tetapi adalah tindakan terpuji yang bertepatan dengan amalan demokrasi. Malah prinsip Rukun Negara juga jelas menyebut mengenai kewajiban semua pihak mematuhi kedaulatan undang-undang.

Dapat dilihat banyak pihak baik di dalam mahupun di luar negara memuji tindakan Ismail Sabri tidak mencampuri keputusan mahkamah dan ia dikatakan memberi keyakinan kepada semua pihak termasuk para pelabur asing untuk berurusan dengan kerajaan. Hanya mereka yang buta menganggap Ismail Sabri liabiliti kerana rekod prestasi beliau sebagai Perdana Menteri selepas setahun menyaksikan begitu banyak sekali kejayaan dicapai oleh kerajaan yang tidak mampu dilakukan oleh perdana menteri-perdana menteri sebelum ini.

Sehubungan itu, UMNO tidak boleh bersikap dwistandard dalam soal disiplin pemimpin dan ahlinya. Jika sebelum ini Lokman dipecat kerana mengecam dan membuat pelbagai tuduhan ke atas Ahmad Zahid, maka tindakan disiplin juga perlu diambil terhadap Mohd. Puad dan Lokman yang menyanggah keputusan parti serta mengecam dan membuat pelbagai tuduhan ke atas Ismail Sabri. – UTUSAN

DATUK Saiful Bahar Mohd. Arshad ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi (2008-2009) serta Menteri Pertanian & Industri Asas Tani (2009-2013).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×