Tanggungjawab PM pada rakyat, bukan puak tertentu

Tanggungjawab PM pada rakyat, bukan puak tertentu

PENDEKATAN Keluarga Malaysia merupakan kerangka kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang wajar didukung oleh segenap lapisan rakyat. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIMPOSIUM Keluarga Malaysia sempena meraikan sambutan setahun kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri diadakan pada 21 Ogos lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Seramai 10 ahli akademik tersohor negara dari pelbagai bidang dan latar belakang diundang untuk memberi penilaian mereka ke atas pencapaian kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Mereka ialah Profesor Dr. Mohd. Kamarul Nizam Abdullah, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Profesor Dr. Wong Chin Huat, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan saya sendiri.

Acara didahului oleh pembentangan tiga menteri, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Turut menjadi pembentang dalam simposium sama ialah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Simposium dirasmikan oleh Ismail Sabri sendiri dan penutupannya oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Simposium yang mendapat sambutan daripada ramai ketua jabatan kerajaan, ahli akademik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan ini boleh diibaratkan sebagai address the nation di mana Ismail Sabri membuat laporan tahunan kepada rakyat tentang aras kesihatan negara semasa dan apa yang beliau sudah serta sedang lakukan melalui pendekatan Keluarga Malaysia yang telah dicetuskan sempena ucapan sulung setelah diangkat sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Laporan beliau turut diiringi pembentangan lebih terperinci daripada tiga menteri dan Peguam Negara yang melaporkan apa yang telah dilakukan dalam bidang masing-masing yang mendapat tumpuan hangat semasa oleh rakyat dari pelbagai lapisan.

Sepuluh ahli akademik terkenal negara turut memberi pandangan dan harapan mereka bahawa jika dipantau dengan teliti dan dilaksanakan dengan bersungguh, pendekatan Keluarga Malaysia mampu membawa keterangkuman dan kebersamaan, seterusnya melahirkan kesyukuran dalam kalangan rakyat dari pelbagai etnik, budaya, agama, bahasa dan cara hidup.

Malangnya, dua hari setelah simposium ini berlangsung, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihantar ke Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas beliau dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Umum tahu ramai sudah lama berteriak tentang bilakah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan. Dilaporkan ada puak politik mahukannya diadakan secepat mungkin dan tidak kurang juga yang mahukan ia diadakan bila tempoh Parlimen ke-14 tamat dengan sendiri selepas Julai 2023.

PENJARA KAJANG

Tetapi setelah Najib dihantar ke Penjara Kajang, tekanan diterima daripada UMNO yang mahu PRU15 diadakan segera semakin kuat kerana Ismail Sabri dilihat gagal membantu pemimpin parti yang berhadapan kes di mahkamah. Akhbar melaporkan beberapa mesyuarat khas dan tertutup diadakan untuk mendesak Ismail Sabri berbuat demikian. Setakat ini beliau masih bertahan.

Soalan cepu emas, siapakah sebenarnya ada kuasa dan berhak untuk menentukan proses PRU boleh diadakan? Jawapan kepada persoalan ini pelbagai dan mengikut konteks.

Namun, secara umumnya dan berdasarkan peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, kuasa itu terletak pada Perdana Menteri. Perdana Menteri sahaja boleh menghadap dan meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) supaya Parlimen dibubarkan lebih awal kerana mahukan PRU diadakan atau kerana beliau hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Lazimnya, bila Perdana Menteri adalah ketua parti, maka peranan ini jelas akan dilakukan olehnya yang memainkan tiga peranan dalam satu. Dialah ketua parti utama dalam komponen, dia juga merupakan ketua komponen dan dia adalah Perdana Menteri.

Namun, keadaan Ismail Sabri adalah unik. Beliau adalah Perdana Menteri, tetapi bukan ketua parti komponen. Jawatan itu dipegang oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kuasa memohon Parlimen dibubar adalah kuasa Perdana Menteri. Presiden UMNO boleh memohon dan mendesak Ismail Sabri melakukannya kerana Ismail Sabri bertanggungjawab kepada Presidennya. Begitu juga sekiranya Ketua Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta hal sama kepada Ismail Sabri. Namun, kedua-duanya harus tahu juga kedudukan mereka dalam parti dan kerajaan. Itu dua kerja berbeza dan harus ada sempadan.

Apakah semestinya PRU diadakan sekiranya Ismail Sabri memohon kepada YDPA supaya Parlimen dibubarkan? Mengikut peruntukan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh bersetuju dan boleh juga tidak bersetuju ke atas permintaan ini. Maka permohonan itu belum tentu akan mendapat jawapan yang diingini pihak-pihak tertentu. Ini kerana Seri Paduka boleh memilih untuk tidak memberi perkenan ke atas permintaan pembubaran Parlimen dan sebaliknya memilih untuk melantik ahli Parlimen lain yang pada pendapatnya akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Walau apa pun tekanan, tanggungjawab seorang ketua kerajaan ialah kepada rakyat dan bukan kepada puak-puak tertentu yang mungkin ada agenda tersendiri masing-masing. Pendekatan Keluarga Malaysia sudah dilancarkan sebagai kerangka kerajaan Ismail Sabri. Ini agenda penting negara dan masyarakat yang wajar didukung oleh segenap lapisan rakyat. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Jayum Anak Jawan ialah Profesor Sains Politik di Universiti Putra Malaysia (UPM) & Felow Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×