PENGIBARAN Jalur Gemilang untuk menyambut Bulan Kebangsaan didapati amat berkurangan kebelakangan ini. Ia bukan sahaja berlaku pada kali ini, sebetulnya perasaan bersemangat untuk meraikan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia didapati luntur beberapa waktu dahulu. Ia yang ada kaitan rapat dengan patriotisme tidak lagi diperlihat rakyat jelata, khususnya pada bangunan komersial.
Sehubungan ini, menjadi tanggungjawab para peniaga melalui arahan kerajaan tempatan untuk mengibar bendera sama ada negara atau negeri pada setiap sambutan rasmi negara atau negeri seperti hari keputeraan raja dan hari kebesaran tertentu. Walaupun begitu, ia diingkari sehingga memberi kesan kepada kemeriahan sambutan itu. Lebih menyedihkan, ia juga tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
Malang sekali banyak peraturan di negara ini perlu dikuatkuasakan secara perundangan untuk dipatuhi. Ia yang sebaliknya harus bersifat sukarela setelah didorong semangat cintakan negara tidak kelihatan lagi. Ini mencerminkan kita gagal dalam pembentukan negara bangsa, antaranya melahirkan warganegara yang bukan sahaja sedia mematuhi arahan tetapi memiliki jati diri kebangsaan kental. Ia menyedihkan sekali apabila dibandingkan dengan rakyat di sebilangan negara jiran.
Sebenarnya pengibaran bendera di bangunan komersial adalah sangat penting. Ini kerana bangunan komersial rata-ratanya terletak di bandar yang merupakan pusat pentadbiran.
Sehubungan ini, pusat pentadbiran adalah nadi kerajaan dalam mentadbir di sesuatu kawasan. Dengan ini, sebagai tempat utama di kawasan berkenaan, ia penting dari perspektif governans. Oleh itu, ia sangat memerlukan citra positif untuk memperlihat kejayaan urus tadbir di kawasan terbabit. Ia antaranya harus ikut disumbangkan penduduk di situ khususnya di bandar pada bangunan komersial dalam sebarang bentuk yang diperlukan.
Untuk Bulan Kebangsaan ini, ia tidak lain tidak bukan adalah dalam bentuk mengibarkan bendera pada premis perniagaan. Ia sebenarnya cara paling mudah, selain itulah satu-satunya kaedah ringkas untuk menyatakan rasa bangga, sayang dan setia kepada negara. Namun, ia tidak pun mampu dilakukan.
Sebenarnya sikap tidak positif ini didapati antaranya disebabkan oleh faktor politik, iaitu rasa tidak puas hati rakyat terhadap ahli politik yang didakwa mereka sebagai terlalu banyak berpolitik seterusnya gagal mengurus tadbir negara dengan baik sehingga amat mengesani kehidupan rakyat. Oleh itu, rakyat menunjukkan bantahan mereka dengan tidak mahu mematuhi arahan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing.
Sudah tentu tindakan rakyat ini yang ibaratnya marah nyamuk bakar kelambu adalah bukan caranya untuk mengenakan ahli politik yang pada mereka amat tidak bertanggungjawab. Ini kerana pada mereka, ahli politik hanya mementingkan diri sendiri pada sepanjang masa dan langsung tidak prihatin kepada kebajikan rakyat dan kemajuan negara.
REZEKI
Sehubungan ini, rakyat hendaklah menyedari kerenah ahli politik dan sambutan perayaan kenegaraan adalah dua perkara berbeza. Oleh itu, cara untuk menanganinya juga berlainan. Dalam hal ini, jangan sesekali negara tercinta dijadikan mangsa sedangkan ia langsung tidak bersalah. Sebaliknya yang bersalah ialah ahli politik, itu pun bukan semuanya yang menyelewengkan kemurnian bidang politik bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara untuk semata-mata kepentingan sendiri.
Apabila inilah masalahnya, penyelesaiannya hendaklah ditujukan khusus kepada ahli politik yang keji ini, bukannya sesekali kepada negara tercinta. Antara caranya ialah mereka yang tidak boleh lagi diberikan peluang mewakili rakyat kerana sikap buruk mereka hendaklah ditolak pada pemilihan akan datang.
Sesungguhnya Malaysia adalah tempat rakyat jelata dikurniakan rezeki yang amat murah sifatnya. Oleh ini, jangan sesekali kita mengkhianati negara dalam apa-apa bentuk jua, lebih-lebih lagi dengan cara yang disengajakan. Sebaliknya kita harus selalu mendukungnya agar Malaysia terus-terusan maju dan berjaya. Sebagai rakyat biasa, marilah kita lakukannya dengan menyokong semua dasar negara.
Sekiranya ada dasar yang lemah, kita boleh menegur dengan cara berhemah pada saluran betul. Ini sangat dialu-alukan kerajaan. Sesungguhnya cara ikonoklastik ini, iaitu mengkritik kekadang dengan agresif pula adalah satu sisi patriotisme yang disalah anggap sebagai penentangan. Sebetulnya ia perasaan cintakan negara murni lagi luhur yang mahu memperbaik keadaan untuk kebaikan negara.
Pada masa ini dalam menangani keadaan ekonomi sejagat yang amat tidak menentu, rakyat jelata hendaklah bersekali dengan kerajaan untuk bukan sahaja teguh bersama menghadapinya, juga memahami pelbagai dasar fiskal yang diambil khususnya tentang pemerolehan pendapatan yang tegas dan perbelanjaan berhemat yang kikir. Semua ini adalah semata-mata bagi mewujudkan keadaan ekonomi yang lebih baik.
Berbalik kepada soal kibar bendera, ia hendaklah kita lakukan demi tanah air dan bukan pun untuk ahli politik, sekalipun kerajaan. Ia tanda patriotisme kita, iaitu kesayangan tidak berbelah bahagi kepada negara. Sehubungan ini, Jalur Gemilang sebagai paparan tanah tumpah darah kita adalah untuk negara yang terus kekal dan bukannya untuk ahli politik yang bersilih ganti. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










