EKONOMI mengalami kegawatan pada pusingan kali ini, mulai April 2020. Ekonomi merudum pada kadar -17.1 peratus di suku kedua 2020. Kegawatan berterusan untuk lebih tiga suku tahun (10 bulan) sehinggalah Mac 2021.
Pada suku kedua 2021, ekonomi negara melonjak 15.9 peratus, membalas balik penurunan awal. Malaysia akhirnya berjaya keluar daripada kegawatan di suku keempat 2021 dengan pertumbuhan 3.6 peratus. Tanpa memandang ke belakang, ekonomi terus tumbuh lebih deras dengan pertumbuhan lima peratus di suku pertama 2022. Semua pertumbuhan ini dilihat sebagai satu proses pemulihan.
Walaupun sudah diramalkan oleh beberapa institusi penganalisa ekonomi dunia bahawa ekonomi Malaysia akan tumbuh pada sembilan peratus di suku pertama ini, pengumuman kadar pertumbuhan 8.9 peratus masih mengejutkan banyak pihak yang segera merasionalisasikan kadar pertumbuhan tinggi ini adalah berasaskan tahap ekonomi yang sememangnya rendah sebelumnya.
Namun, sebenarnya sebelum kegawatan ekonomi berlaku, saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di suku pertama 2020 adalah RM344.8 bilion. Jadi, angka RM366.2 bilion dicatatkan di suku kedua 2022 adalah 6.2 peratus jauh lebih besar dari kedudukan sebelum kegawatan pada 2020.
Sebenarnya kadar perubahan peratusan tahunan KDNK ialah 16.5 peratus bagi suku kedua ini. Kadar pertumbuhan ini adalah yang tertinggi di Asia Tenggara dengan pesaing terdekat Filipina (7.4%), Indonesia (5.4%) dan Singapura (4.4%). Ini dilihat cemerlang berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (1.6%), Kesatuan Eropah (4.0%), China (0.4%) dan Korea Selatan (2.9%).
Perkhidmatan adalah sektor terpenting yang menyumbang lebih 58 peratus daripada kadar pertumbuhan, diikuti pembuatan (24%). Sektor perkhidmatan tumbuh agak pesat pada 12 peratus (berbanding 6.5% di suku pertama). Pertumbuhan ini meliputi sektor pengangkutan dan penyimpanan yang tumbuh 35.8%, sektor makanan, minuman, hotel dan penginapan (35.3%) dan sektor pemborongan dan peruncitan (17.3%). Sektor kewangan dan insuran turun 1.4 peratus.
Sektor perkilangan tumbuh pada 9.2 peratus (berbanding 6.6% di suku lepas) dengan peralatan pengangkutan dan pembaikan tumbuh (19.9%); elektrik, elektronik dan optikal (15.5%) serta keluaran mineral dan fabrikasi (10.3%). Sektor petroleum, keluaran getah dan plastik turun 0.9 peratus.
Sektor pembinaan dan pertanian agak rendah sumbangannya disebabkan masalah pekerja yang menekan pertumbuhan walaupun pada Jun, ia mula tumbuh cepat pada 34.1 peratus.
Dilihat dari sebalik wajah pula, semua aspek perbelanjaan meningkat dengan perbelanjaan persendirian (isi rumah) menyumbang hampir 60 peratus daripada KDNK dan tumbuh pada 18.3 peratus (berbanding 5.8% di suku sebelumnya). Perbelanjaan berkait dengan pengangkutan (khususnya minyak kenderaan dan pelincir); makanan dan minuman; restoran dan hotel meningkat tinggi. Peningkatan perbelanjaan makan di luar termasuk (tempahan makanan masak melalui penghantaran ke rumah merupakan satu faktor penting memacu perbelanjaan isi rumah.
Pendapatan Negara Kasar (PNK) ialah ukuran penerimaan pendapatan oleh isi rumah termasuk peniaga, pekerja dan mereka yang bekerja sendiri. Di suku kedua 2022, Pendapatan Negara Kasar (GNI) tumbuh 18.3 pertus menjadi RM219.5 bilion berbanding angka KDNK RM366.2 bilion atau sebanyak 60 peratus sahaja. Peratusan ini membayangkan apa yang dikongsi bersama kumpulan penerima pendapatan daripada kesan pertumbuhan ekonomi secara umum.
Pada 2020, PNK turun 5.9 peratus dan meningkat semula (8.0%) pada 2021. Peningkatan di tiga suku tahun lepas pada 8.7, 10 dan 18.1 peratus adalah amat memberangsangkan.
Kenapa hanya 60 peratus daripada pertumbuhan KDNK dikongsi melalui PNK?
KDNK adalah angka kasar pendapatan negara daripada perolehan atau jualan semua sektor ekonomi dalam negara termasuk eksport. Ia kemudian perlu ditolak dengan semua perbelanjaan dan import bagi membayangkan pendapatan bersih perniagaan.
Sebahagiannya dibayar dalam bentuk dividen dan pembahagian keuntungan kepada pemilik perniagaan yang merupakan isi rumah. Jumlah RM219.5 billion PNK adalah angka bersih diterima oleh isi rumah ini.
Kenapa isi rumah tidak boleh menikmati jumlah KDNK lebih besar? Pokoknya, isi rumah sebagai pekerja dan pengusaha dibayar berasaskan pada tahap produktiviti mereka. Majikan tidak cukup bermurah hati untuk berkongsi keuntungan perniagaan dengan pekerja dengan alasan tiada peningkatan produktiviti. Jadi, gaji masih agak perlahan peningkatannya walaupun keuntungan dinikmati oleh peniaga sudah pulih dengan banyak disebabkan isu produktiviti pekerja ini.
Kajian tahap kebahagiaan oleh Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan tiga daerah paling bahagia ialah Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Selain daerah-daerah tersebut, Perlis, Kelantan dan Terengganu juga dilihat mencapai tahap kebahagiaan tinggi sementara Selangor yang ramai bilangan berpendapatan tinggi dilihat agak corot tahap kebahagiaan bersama Melaka dan Pulau Pinang.
Satu kajian mendalam perlu menjawab persoalan, adakah pendapatan (gaji dan kekayaan) merupakan penentu kebahagiaan? Mungkinkah ada faktor lain seperti tahap kesyukuran yang dilihat tinggi di negeri-negeri termiskin seperti Perlis dan Kelantan menyebabkan mereka berasa bahagia walaupun dengan pendapatan cukup makan sahaja? – UTUSAN
DR. Barjoyai Bardai ialah Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak.










