MENJELANG kemerdekaan negara ke-65 bertemakan Malaysia Prihatin, kita perlu meraikan golongan anak watan yang lahir daripada golongan peranakan di negara ini. Golongan peranakan telah lama sebati dalam asimilasi sosiobudaya kehidupan masyarakat Melayu sejak ratusan tahun dahulu.
Mereka lebih menerima budaya teras negara ini daripada identiti budaya asal. Sebagai contoh, mereka telah wujud sejak kesultanan Melayu Melaka lagi. Boleh dikatakan sosiobudaya kehidupan golongan Cina peranakan pada hari ini semakin dilupai oleh arus masyarakat disebabkan telah lama berlakunya pemodenan dan peminggiran inklusif budaya asimilasi peranakan.
Beberapa asimilasi sosiobudaya yang berlaku seperti budaya perkahwinan, adat dan makanan telah sebati dalam kehidupan masyarakat negara ini. Masyarakat Cina yang datang ke Tanah Melayu yang telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu mempunyai dua kumpulan berbeza, yakni Hui dan Cina Peranakan.
Masyarakat Hui adalah hasil perkawinan antara orang Arab dan Cina manakala Cina peranakan adalah hasil perkahwinan anak tempatan dengan imigran Cina sebelum Perang Dunia Kedua.
Boleh dikatakan masyarakat Hui dan Cina peranakan mempunyai budaya yang hampir sama dan saling berhubungan.
Ini boleh dilihat dalam adat perkahwinan seperti penggunaan tepak sirih yang melambangkan kesucian bakal pengantin wanita serta mas kahwin yang perlu diserahkan kepada ibu bapa bakal pengantin wanita pada masa dahulu. Turut menjadi adat ialah pertunangan dan pertukaran cincin kedua-dua mempelai, hantaran, penggunaan bunga rampai dan setanggi apabila disahkan sebagai suami dan isteri.
Saudara mara akan dijemput untuk menghadiri jamuan perkahwinan dengan dihidangkan pelbagai makanan gulai, pedas, masam dan juga manis. Tetamu yang datang menjamu selera juga ada kalanya menggunakan tangan apabila nasi dihidangkan. Jadi, tidak menghairankan terdapat penggunaan penyepit (chopstick) bersama tangan dalam jamuan tersebut.
Tradisi pemakaian baju masyarakat Hui dan Cina peranakan sebenarnya berasal dari zaman kegemilangan Melaka yang merupakan zaman kegemilangan Cina peranakan. Sekumpulan pedagang Cina menggabungkan pengaruh Cina dan Melayu ke dalam budaya dan gaya hidup mereka. Budaya inilah yang melahirkan baju kebaya. Walaupun kebaya Nyonya hanya dipakai
oleh Cina peranakan di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, tetapi kini dipakai oleh kaum Melayu sendiri kerana bukan sesuatu yang asing.
Baju kebaya Nyonya dicipta oleh orang-orang Cina peranakan dari Melaka, suatu ketika dahulu setelah berhijrah. Kebanyakannya dikenakan dengan kain sarung batik atau songket. Baju kebaya Nyonya menjadi pelengkap penampilan kepada wanita Cina peranakan. Pengaruh baju kebaya Nyonya Melaka ini berkembang ke Pulau Pinang disebabkan hubungan persamaan tempat antara imigran Cina yang berhijrah ke Melaka.
DINASTI QING
Pengaruh baju Melayu juga berlaku kepada baju lelaki Cina peranakan. Boleh dikatakan baju yang dipakai seakan sama seperti baju Melayu lelaki. Terdapat juga pemakaian songkok hitam oleh golongan lelaki Cina peranakan. Begitu juga pemakaian seluar bagi lelaki. Pakaian tradisi lelaki Cina peranakan dikatakan mempunyai persamaan dengan pakaian baju dan seluar Melayu. Pakaian lelaki Cina peranakan adalah berbeza sewaktu China diperintah oleh Dinasti Qing. Perubahan pemakaian masyarakat Cina peranakan masa kini berlaku disebabkan kedatangan imigran dari China selepas 1910.
Malahan masyarakat Hui semakin terasing daripada arus masyarakat Cina selepas tamat Perang Dunia Kedua. Akibatnya ramai Cina peranakan yang suatu ketika dahulu mendominasi bandar terpaksa berhijrah ke perkampungan Melayu untuk hidup bersama. Bagi masyarakat Hui, sebahagian besar mereka telah pun menjadi sebahagian masyarakat Melayu hari ini.
Begitu juga asimilasi yang berlaku dalam masakan. Masakan Cina peranakan tidak lagi berasaskan sup. Ini boleh dilihat lahirnya masakan mi udang, mi kari dan laksa yang tidak lari daripada penyediaan ulam-ulaman dalam setiap hidangan. Penggunaan rempah ratus dan santan menjadi satu kebiasaan.
Seterusnya masakan Cina peranakan menghasilkan daging ayam bakar yang dicucuk dengan lidi atau satay. Satay sebenarnya bererti tiga keping iaitu sa dan tay. Satay merupakan satu contoh pengaruh budaya Melayu yang suka makanan ayam bakar atau daging bakar.
Pengaruh makanan Melayu juga boleh dilihat dalam masakan yang digoreng dicampur cili dan kicap. Kicap ini sebenarnya terhasil daripada asimilasi pengaruh Cina peranakan dengan Melayu. Bermula dengan tempe dibawa golongan Melayu dari Sumatera yang berhijrah ke Pulau Pinang sebelum 1790. Pada mulanya, kacang soya ditapaikan dengan kulapuk menjadi sejenis tempe kacang soya. Tempe ini kemudian dikeringkan dan direndam dalam larutan garam.
Selepas proses tapaian menggunakan larutan garam, akhirnya menghasilkan kicap. Kicap yang dihasilkan Cina peranakan kemudian dikembangkan menjadi kicap manis dan kicap masin.
Justeru, penggunaan kicap ini menjadi satu tradisi utama dalam masakan Cina peranakan disebabkan permulaan dengan tempe.
Sejarawan pernah menyatakan, pengaruh masakan Cina ke atas Nusantara iaitu penggunaan tauhu yang diperkenalkan pada abad ke-10 di Jawa kemudiannya berkembang ke Sumatera.
Daripada pengenalan tauhu ini akhirnya menghasilkan tempe. Melalui simbiosis asimilasi budaya tempe menjadi tauhu dan penghasilan kicap dalam masakan yang telah sebati dalam makanan masyarakat Malaysia hari ini.
Inilah simbiosis hubungan asimilasi budaya Cina peranakan dan Hui dalam kehidupan sosiobudaya anak watan hari ini sebagai satu Keluarga Malaysia yang harmoni dan damai. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










