DALAM hidup berkeluarga, sudah pasti setiap daripada kita impikan sebuah kehidupan sempurna, penuh bahagia dan terhindar daripada sebarang konflik.
Namun, kehidupan yang dimulai dengan episod manis kadangkala terpalit dengan krisis hingga menyebabkan kehidupan sesebuah rumah tangga bergolak. Ada pihak yang berjaya menang konflik hingga kekal berhubungan sebagai sebuah keluarga, namun ada sebahagiannya kecundang hingga berlaku perceraian.
Biasa kita dengar, apabila berlaku konflik rumah tangga, perbicaraan panjang di hadapan hakim adalah penamat bagi episod duka tersebut. Sebenarnya terdapat forum penyelesaian pertikaian alternatif atau alternative dispute resolution (ADR) ditawarkan oleh mahkamah syariah yang seharusnya kita ambil cakna.
Proses penyelesaian pertikaian alternatif ini ialah Majlis Tahkim, Majlis Sulh dan Sesi Runding Cara Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
MAJLIS TAHKIM
Majlis Tahkim ialah sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dua orang hakam (orang tengah) untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talak atau dengan khuluk.
Peruntukan Seksyen 48 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 sebagai contoh menjelaskan pelaksanaan timbang tara oleh hakam.
Hakam bertindak sebagai penimbang tara yang diberi kuasa untuk menyelesaikan perkelahian antara suami isteri. Di akhir sesi Majlis Tahkam, hakam yang dilantik akan berusaha untuk menamatkan shiqaq antara suami isteri sama ada mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk (tebus talak).
Ketika melaksanakan Majlis Tahkim, sekiranya hakam berpuas hati bahawa perdamaian gagal dicapai, pihak yang menjadi punca kepada berlaku shiqaq hendaklah dikenal pasti oleh hakam. Seandainya shiqaq itu didapati berpunca daripada suami atau kedua-dua suami dan isteri, hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak.
Namun, sekiranya berpunca daripada isteri, hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh iaitu bayaran atau nilaian yang digunakan sebagai tebus talak oleh isteri kepada suami bagi perceraian secara khuluk hendaklah diputuskan oleh hakam.
Dalam situasi tidak dapat ditentukan punca shiqaq, maka hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak jika tuntutan perceraian dibuat oleh suami.
Sekiranya tuntutan perceraian dibuat oleh isteri tetapi tidak dapat ditentukan punca berlakunya shiqaq, maka hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk kepada mahkamah.
Undang-undang menetapkan bahawa pelaksanaan Majlis Tahkim ini tidak melebihi 30 hari dari tarikh perintah pelantikan dan perisytiharan hakam dikeluarkan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, pelanjutan tempoh tidak melebihi 60 hari dari tarikh pelanjutan diberi boleh dibuat oleh mahkamah jika difikirkan patut.
MAJLIS SULH
Majlis Sulh merupakan suatu sesi pengantaraan atau rundingan terpandu antara pihak-pihak yang dipengerusikan oleh pegawai sulh untuk menyelesaikan kes dengan cara sulh. Sulh mula dilaksanakan secara rasmi pada 2002 di Selangor, sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Peruntukan mengenai sulh di mahkamah syariah dinyatakan menerusi Seksyen 99 dan 131 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998.
Selain itu, pelaksanaan sulh diperjelaskan menerusi Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Sulh Negeri-negeri, Arahan Amalan Ketua Hakim Syarie, Manual Kerja Sulh dan Kod Etika Pegawai Sulh.
Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010 itu telah menggariskan 18 jenis kes yang boleh dibawa ke Majlis Sulh antaranya kes tuntutan ganti rugi pertunangan, mutaah, harta sepencarian, nafkah, hadhanah, tuntutan isteri kembali taat dan tuntutan mas kahwin. Adapun begitu, kes-kes lain yang sesuai pada pendapat hakim boleh dirujuk ke Majlis Sulh.
Majlis Sulh yang dijalankan di mahkamah syariah menggunakan teknik pengantaraan. Sekiranya perbincangan secara damai berlaku antara pihak-pihak dan perjanjian dapat dibuat di akhir sesi Majlis Sulh, maka perjanjian tersebut dapat terus disahkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah dan ia mengikat pihak-pihak.
SESI RUNDING CARA BSK
Berikutan itu, perbicaraan di hadapan hakim di mahkamah terbuka dapat dielakkan. Bagi memastikan pengurusan Majlis Sulh teratur, pegawai sulh bertanggungjawab menyelesaikan dalam tempoh 90 hari dari tarikh pendaftaran sulh. Sesi Runding Cara BSK pula diwujudkan sejak 2008 bagi menguatkuasakan dan melaksanakan perintah nafkah di mahkamah syariah.
Setelah proses pendaftaran aduan, pengadu iaitu ibu dan bapa akan dipanggil mengikuti sesi pertama di BSK iaitu runding cara atau pengantaraan. Pegawai runding cara BSK yang terlatih akan mengendalikan sesi rundingan agar pihak terlibat dapat berbincang demi menyelesaikan isu tunggakan nafkah tersebut.
Runding cara tertumpu kepada mencari titik persetujuan bagi pihak bapa mengenai kaedah pelaksanaan tunggakan nafkah.
Penyelesaian alternatif di mahkamah syariah ini telah banyak membantu menyelesaikan pertikaian dengan lebih cepat, menjimatkan wang serta mengelakkan aib daripada diketahui umum.
Malah, pihak-pihak terlibat mempunyai kuasa penuh untuk berunding dan berbincang demi mencapai kehendak dan kemahuan masing-masing, di samping bertolak ansur ketika rundingan dibuat.
Pelaksanaan ketiga-tiga kaedah ini jelas menunjukkan mahkamah syariah peka akan keperluan menyediakan peluang penyelesaian pertikaian secara alternatif kepada pelanggan mahkamah.
Sungguhpun terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dibuat, kebaikan yang terdapat daripada kaedah-kaedah ini seharusnya diambil manfaat sepenuhnya oleh pelanggan mahkamah syariah. Sesungguhnya, kaedah ADR yang diperkenalkan ini bukan hanya meliputi proses sebelum perceraian berlaku, malah turut melibatkan tuntutan berbangkit susulan berlakunya perceraian menerusi Majlis Sulh.
Selain itu, setelah ada satu perintah nafkah, ruang perundingan secara damai seperti Sesi Runding Cara BSK amatlah sesuai bagi kes peguatkuasaaan dan pelaksanaan perintah nafkah. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.











