Sediakah Parti Bersatu berpatah arang?

Sediakah Parti Bersatu berpatah arang?

BIJAKSANAKAH Bersatu menuntut jawatan TPM tatkala parti itu sudah ada dua menteri kanan dalam Kabinet? – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini heboh cerita mengenai hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap pembatalan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan delegasi PN.

Hikayat yang keluar dalam sebuah media arus perdana yang dipanjangkan oleh media-media lain. Begitupun, Ismail Sabri sendiri telah menyatakan pada 6 Ogos lalu bahawa beliau telah bertemu dengan delegasi PN yang terdiri daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Setiausaha Agung dan Bendahari PN di mana mereka telah menyuarakan pandangan PN manakala Ismail Sabri pula menyatakan pandangan beliau.

Inilah sebenarnya yang menjadi permasalahan utama dalam kalangan sesetengah pengamal media. Siapa yang memaklumkan bahawa pertemuan antara Ismail Sabri dengan delegasi PN tidak berlaku sedangkan ia berlaku?

Mengapa tidak dibuat semakan terlebih dahulu mengenai kesahihan sesebuah cerita sebelum mengeluarkan laporan yang boleh mengocak keamanan politik negara? Janganlah terlalu mengejar sensasi hingga menggadai kredibiliti.

Wajarkah hanya kerana isu Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan untuk meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu maka dibangkitkan kembali segala butiran Perjanjian Persefahaman, yang sesetengahnya telah dilanggar oleh Bersatu sendiri?

Ramai yang tidak tahu mengenai Perjanjian Persefahaman ini terkejut bila Tan Sri Mahiaddin Yasin selaku Pengerusi PN mendedahkan mengenainya pada 2 Julai lalu tatkala beliau mengumumkan mengenai pertemuan beliau dengan Ismail Sabri pada 29 Jun lalu apabila beliau telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan, bukan sahaja bagi mengisi kekosongan tetapi pelantikan-pelantikan baharu yang perlu dipertimbangkan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Persefahaman, termasuk pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Begitu juga bila Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 27 Julai lalu melahirkan rasa kecewa secara terbuka terhadap tindakan Ismail Sabri yang dikatakan tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam Perjanjian Persefahaman ini, diikuti dengan kenyataan Mahiaddin pada 29 Julai lalu yang menegaskan bahawa PN, walaupun tidak mengugut, mahu menuntut janji kerana dalam Islam janji mesti ditunaikan

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri sudah menyebut pada 8 Julai lalu bahawa tiada jawatan TPM diperlukan kerana itu keputusan awal penubuhan kerajaan sebelum ini yang masih dipegang oleh Pas, kerana semua menteri sudah melaksanakan tugas dengan baik dan kerana kerajaan perlu fokus kepada menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Begitu juga dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menegaskan pada 12 Julai lalu bahawa ia bukan satu perjanjian sebaliknya hanya memorandum perjanjian (MoA) yang tidak mensyaratkan pelantikan TPM adalah dimestikan.

FITNAH

Memanglah Butiran 5 Perjanjian Persefahaman Bagi Mengikat Usahasama Dan Kesepaduan Politik Serta Protokol Untuk Pembentukan Kerajaan Baharu PN ditandatangani oleh PN dan Ismail Sabri pada 17 Ogos 2021 menyatakan bahawa jawatan TPM akan diserahkan kepada Ahli Parlimen yang ditetapkan oleh Bersatu manakala jumlah menteri dan timbalan menteri yang diperuntukkan kepada parti-parti dikekalkan, di mana hanya perubahan portfolio akan ditentukan melalui perbincangan bersama.

Pada masa sama, jika Ismail Sabri mahu, beliau juga sebenarnya boleh membangkitkan mengenai betapa pihak PN telah melakukan pelanggaran ke atas beberapa butiran lain Perjanjian Persefahaman ini seperti melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Perjanjian Persefahaman serta menzahirkan isi kandungannya tanpa kebenaran bertulis daripada kesemua pihak.

Begitupun, sepertimana kata Ismail Sabri, beliau difahamkan bahawa kenyataan yang dibuat mengenai penarikan diri bukanlah keputusan parti, tetapi jika ia benar sekalipun maka beliau bersedia untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung segera.

Sesungguhnya inilah satu kenyataan yang melambangkan keberanian Ismail Sabri yang tidak takut untuk membubarkan Parlimen bila-bila masa sepertimana yang telah beliau sebut secara terbuka dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lalu.

Sebab itulah juga beliau telah menyaman fitnah sebuah portal berita yang pada 30 Januari lalu mengeluarkan laporan yang membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya termasuk bahawa beliau hanya berminat untuk terus menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kepentingan UMNO.Semua ini menjadi bukti bahawa Ismail Sabri bukanlah seorang yang tamakkan kuasa.

Pada hemat ramai, Ismail Sabri perlu diberi ruang lebih luas untuk menjayakan beberapa transformasi pentadbiran dan perundangan lagi, seperti mengehadkan tempoh masa pemegang jawatan Perdana Menteri, memperkenalkan Akta Pendanaan Politik dan sebagainya, selain terus memulihkan keadaan ekonomi negara.

Sebab itulah kita berharap tidak akan ada pihak yang terus mengganggu-gugat kelangsungan pentadbiran beliau kerana sekarang adalah masa terbaik untuk memperkenalkan transformasi pentadbiran dan perundangan seperti terbukti bila pindaan Perlembagaan antilompat parti diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bijaksanakah Bersatu menuntut jawatan TPM tatkala parti itu sudah ada dua menteri kanan dalam Kabinet? Begitupun, jika Bersatu sudah nekad mahu berpatah arang kerana jawatan TPM itu, maka PRU15 awallah kita semua. – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×