Rebutlah peluang inisiatif TVET

Rebutlah peluang inisiatif TVET

M. SARAVANAN (berdiri, tengah) beramah mesra dengan peserta Program Penempatan Pekerjaan Insentif Pengambilan Kerja sempena Program Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) di ibu negara. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPENA menyambut Hari Kebangsaan ke-65, generasi muda tentu teruja berhimpun menghitung detik ambang kemerdekaan dan menyaksikan acara perbarisan serta perarakan di Dataran Merdeka.

Adakah mereka memahami erti perit jerih perjuangan dan pengorbanan terdahulu untuk negara bebas daripada penjajah?

Langkah kerajaan memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah khusus berkepentingan kepada generasi muda demi menerajui negara pada masa hadapan.

Negara sedang berdepan dengan anjakan paradigma dalam menghasilkan generasi celik teknologi digital. Dalam memastikan tiada rakyat tercicir, pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi mewujudkan ekosistem ke arah taraf hidup lebih tinggi.

Fokus kerajaan untuk meningkatkan kadar gaji minimum pekerja dapat meningkatkan pendapatan isi rumah dan kuasa membeli. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penetapan kadar gaji minimum ini dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan majikan, pekerja dan kerajaan bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat di samping memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.

Namun, titik keseimbangan antara pelarasan jumlah pendapatan dan tahap kemahiran pekerja haruslah selari. Ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah penting untuk memastikan pemadanan antara penawaran dengan permintaan, menjana produktiviti ekonomi negara dan menarik pelaburan.

3D

Melalui TVET, pelbagai bentuk inisiatif diambil oleh kerajaan demi memastikan setiap rakyat memiliki kemahiran kebolehpasaran mengikut keperluan industri dengan menerima pendapatan tinggi.

Persoalannya, adakah generasi muda sanggup bekerja dalam sektor 3D (bahaya, kotor, sukar)? Hasil kajian oleh Profesor Madya Dr. Fadilah Puteh dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati antara respons rakyat tempatan tidak berminat untuk terlibat dalam pekerjaan 3D adalah bayaran gaji rendah, tidak setimpal dengan kelayakan akademik, skop kerja berat berisiko tinggi dan perasaan malu disindir.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (2019) pula mendapati 72.1 peratus rakyat tempatan memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dapatan ini disokong oleh hasil kajian Dr. Azianura Hani Shaari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melaporkan bahawa pempengaruh di media sosial membuatkan remaja B40 tidak berminat melanjutkan pelajaran kerana berpendapat pendidikan tinggi tidak menjamin kehidupan yang senang. Walaupun memiliki ijazah universiti, ada juga memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan kerana waktu bekerja fleksibel, pendapatan lumayan dan tidak terikat dengan peraturan.

Kelompok berkenaan perlu sedar, dalam persaingan graduan mendapat pekerjaan, majikan mengutamakan calon yang berpengalaman. Ini bukanlah masa sesuai untuk bersikap memilih.

Pendidikan tinggi bukan bertujuan untuk makan gaji sahaja. Melalui pelajaran dapat melahirkan insan berpengetahuan dan berkemahiran, sekurang-kurangnya dalam waktu terdesak dapat membantu kerana hidup tidak selamanya memiliki fizikal yang sihat. Ilmu yang dipelajari memberikan keyakinan untuk membuka perniagaan dan mencipta kerjaya kepada industri terus berkembang seterusnya berbakti kepada ekonomi negara.

Oleh itu, kita meng­ha­rapkan penduduk Malaysia merebut peluang in­isiatif TVET yang disediakan oleh kerajaan yang akhirnya bermanfaat kepada industri awam atau swasta dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. – UTUSAN

SHAKIB AHMAD SHAKIR ialah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia & DR. RODZIAH MOHD. RODZI ialah Pegawai Khas (Penyelidikan) Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×