SEJAK akhir-akhir ini, senario politik negara semakin merimaskan rakyat. Saban hari kita membaca kejadian menjengkelkan berulang kali berlaku. Sama ada tentang ahli politik beralih sokongan, melompat parti ataupun didakwa terlibat kes rasuah. Begitu juga isu dana politik yang kini sekali lagi hangat diperkatakan, sehinggakan kita lemas memikirkan, sampai bilakah keadaan sebegini akan berterusan berlaku?
Lebih malang apabila ada pihak lantang menyokong pihak-pihak yang terlibat, asalkan ia menguntungkan parti mereka. Walhal, jika kes sama melibatkan pemimpin parti lawan, sekelip mata mereka terus menghukum. Bagi saya, ini adalah antara petanda bahawa banyak yang sudah tidak kena dengan keadaan politik negara. Dalam erti kata lain, politik negara sudah semakin rosak. Maka sudah sampai waktu kita memperbaikinya sebelum keadaan bertambah parah.
Dahulu, politik merupakan wadah perjuangan bangsa dan negara. Pemimpin politik terdahulu sanggup berkorban nyawa dan harta demi tanah air tercinta. Mereka tidak menggunakan kedudukan dan kuasa politik sebagai batu loncatan untuk meraih kepentingan peribadi.
PRU14
Sebagai anak muda, saya kecewa melihat sebilangan ahli politik yang bukan sahaja sudah kehilangan hala tuju, tetapi seakan-akan tidak lagi menjaga maruah sebagai seorang pemimpin.
Contohnya, ramai yang tidak lagi menjaga adab di Parlimen sehingga tidak malu bertengkar seperti kanak-kanak. Apakah ini contoh teladan yang mahu ditunjukkan kepada kami? Amat menyedihkan, namun itulah hakikat yang diperlihatkan kepada rakyat pada masa kini.
Perubahan budaya politik memuncak dengan ketara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Sejurus kerajaan bertukar tangan, kita lihat kejadian melompat parti secara besar-besaran tanpa rasa malu dan bersalah kepada pengundi. Ia berulang semula pada 2020 dan berterusan sehingga kini.
PARLIMEN
Justeru kita harus sedar, banyak masalah yang dihadapi kini berpunca daripada kesilapan sendiri. Rakyat yang sebenarnya membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab untuk naik. Dalam sebuah negara demokrasi, pemimpin politik memerlukan sokongan pengundi untuk menjadi ahli Parlimen, seterusnya jawatan-jawatan penting.
Itulah akibatnya jika rakyat salah memilih pemimpin dan pemimpin parti salah memilih calon untuk mewakili parti mereka. Tiada jalan mudah untuk memperbetulkan keadaan. Melangkah biarlah cermat, bertindak biarlah bijak. Bagi saya, kekerasan bukanlah jalan penyelesaian. Untuk berjaya dalam kehidupan, kita memerlukan iman, ilmu dan kesungguhan. Hidup dengan hanya menyalahkan orang lain tidak akan mengubah nasib bangsa. Jangan kita terpedaya dengan momokan anak muda yang sering tidak sabar serta suka membantah dan memberontak.
Bagi saya, anak muda juga boleh berfikiran matang jika betul cara didikannya. Jangan sampai kita diperkotak-katikkan dan dijadikan alat untuk kepentingan orang lain. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










