Pendekatan ketamadunan untuk menatijahkan kesejahteraan

Pendekatan ketamadunan untuk menatijahkan kesejahteraan

TERDAPAT juga segelintir cerdik pandai di Barat yang melihat kemerosotan kesihatan mental dan kerosakan alam sekitar sebagai suatu masalah berhubung kait disebut masalah sistemik. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, salah seorang raja muda terpelajar di negara ini menyuarakan suatu perkara penting tetapi mungkin jarang disebut. Bagaimanakah hendak menyelesaikan tekanan dan kegelisahan yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini?

Menurut tinjauan wacana dan kepustakaan yang ringkas, kita mendapati jawapan kepada persoalan ini sering kali disempitkan kepada penyelesaian dari sudut pandang perubatan atau psikologi moden. Ada juga penyelesaian bersifat lebih menyeluruh yang menghubungkaitkan kesihatan perseorangan dengan keadaan alam sekitar hari ini digelar planetary health

Namun, jarang sekali kedengaran bahawa akar permasalahan ini terletak pada pandangan alam, sistem pemikiran dan ideologi yang mendasari kebanyakan kehidupan moden hari ini. Terkait juga dengan pandangan alam, sistem pemikiran dan ideologi yang mencipta keadaan ini ialah sistem pentadbiran, sistem ekonomi dan corak pembangunan masa kini yang rata-rata tidak mesra dengan fitrah insan.

Perkara ini juga diperakui oleh segelintir cerdik pandai di Barat. Dalam buku Lost Connections: Uncovering the Real Causes of Depression oleh Johann Hari, beliau mendapati para saintis telah mula mengenal pasti sebab-sebab utama yang menyumbang kepada kemurungan. Antaranya terputus daripada pekerjaan yang bermakna, terputus daripada orang lain, terputus daripada nilai-nilai bermakna, terputus daripada alam sekitar dan terputus daripada harapan atau masa depan cerah.

Terdapat juga segelintir cerdik pandai di Barat yang melihat kemerosotan kesihatan mental dan kerosakan alam sekitar sebagai suatu masalah yang berhubung kait disebut masalah sistemik. Masalah sistemik di sini bermaksud sesuatu isu atau masalah adalah natijah daripada suatu masalah yang berpunca daripada sifat atau hakikat keseluruhan sesuatu sistem (sama ada sistem pemikiran, sistem pendidikan, sistem ekonomi atau sistem pentadbiran) dan bukan berpunca daripada sebab-sebab khusus atau faktor-faktor berasingan.

Menurut sejumlah cerdik pandai di Barat juga, akar kepada cabaran yang bersifat sistemik ini berpunca daripada pandangan alam moden sekular Barat itu sendiri yang telah menafikan hakikat rohaniah dan kekudusan alam semesta. 

Oleh itu, adakah jawapan serta penyelesaiannya terletak kepada mengasingkan diri daripada kehidupan bandar dan kehidupan moden keseluruhannya? Tindakan sedemikian tidak semestinya berkesan dalam kehidupan rohani seorang Muslim dan dalam pembinaan ketamadunan.

Dalam sejarah dunia, persoalan kesejahteraan atau kebahagiaan telah sekian lama diteliti dan dibahaskan oleh pemikir agung pelbagai tamadun sekurang-kurangnya 2,000 tahun dahulu. Jika kita menelusuri karya-karya pemikir besar dalam sejarah tentang apa yang membentuk kesejahteraan tulen dan apa yang tersirat, ia semestinya memerlukan suatu transformasi perspektif dan kesedaran manusia hari ini.

Ini kerana apa yang dimaksudkan dengan ‘kesejahteraan’ adalah bergantung kepada bagaimana sesebuah tamadun mentakrifkan hakikat dan kebenaran (atau pandangan alam), dan kewujudan secara keseluruhan. Seperti yang dijelaskan oleh Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisannya, setiap tamadun memaparkan faham hakikat dan kebenarannya sendiri yang dipelihara melalui konsep-konsep utama dalam bahasa tamadun tersebut. Ini adalah perkara yang sangat halus dan penting yang sering diabaikan oleh ramai orang.

Bagaimanapun, para sarjana dan pemikir terhebat dalam sejarah bersepakat bahawa mencapai kebahagiaan memerlukan kehidupan yang mulia dan membayangkan keseimbangan tertentu terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan alam sekitar. Kebahagiaan tidak pernah menjadi konsep yang sukar difahami oleh para bijak pandai tamadun dunia dalam sejarah. Tetapi ia menjadi konsep yang semakin kabur dalam kalangan ramai cerdik pandai kerana kebanyakan cara berfikir yang telah disempitkan akibat pengaruh pandangan alam sekular moden.

Dalam kalangan umat Islam yang berilmu sepanjang zaman, pemahaman tentang kebahagiaan atau kesejahteraan seperti difahami oleh para ulama besar dalam sejarah dan pandangan alam Islam diungkapkan dalam istilah sa’adah yang berasal daripada jaringan makna al-Quran. Perbincangan tentang mencapai kesejahteraan dalam erti kata sa’adah dapat dilihat dalam karya-karya Al-Farabi, Ibn Miskawayh, Al-Ghazali, Shah Wali Allah dan ramai lagi. Dan kesemuanya memahami kesejahteraan sebagai ketenteraman kalbu yang dikekalkan oleh kehidupan terpuji.

Dalam tamadun Islam sepanjang zaman sama ada di Empayar Uthmaniyyah, Safavid, Mughal-Timurid, Andalusia, peninggalan reka bentuk bandar dan corak pembangunannya mendedahkan kefahaman mengenai ketamadunan yang peka dengan soal kesejahteraan. Ia bukan sahaja indah dari segi keseniannya tetapi secocok dengan hasrat untuk mencapai kesejahteraan dalam erti kata sa’adah.

Oleh itu, dengan konsep kesejahteraan yang berbeza yang difahami oleh ketamadunan Islam dan Asia berbanding hadarah Barat moden sekular, penulis berpendapat Malaysia boleh menatijahkan hasil lebih menguntungkan dalam menzahirkan keadaan sesuai untuk kesejahteraan, walaupun tanpa tahap kekayaan kebendaan yang tinggi.

Di peringkat individu, seseorang itu hendaklah sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan ilmu dasar agama demi kesempurnaan rohani dan akhlak diri selaras dengan tahap tanggungjawab dalam kehidupan dan berusaha untuk menjalani kehidupan terpuji dan mulia.

Di peringkat masyarakat, kita mesti berusaha untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada perkara yang luhur dalam kehidupan dan kepada orang berilmu dan bijaksana, bukannya kepada selebriti, kecenderungan hawa nafsu orang ramai dan mereka yang menyumbang kepada fasad dalam pelbagai bentuk.

Di peringkat tertinggi kerajaan, kita perlu memastikan kesarjanaan ilmu yang bermanfaat demi kesempurnaan kerohanian dan ketamadunan terus diberi ruang, sokongan dan penekanan sewajarnya. Pada pada asasnya, kita perlu memastikan matlamat sebenar pengajian tinggi tidak tergugat iaitu melahirkan insan yang beradab dan bertamadun.

Secara keseluruhannya, kita perlu memastikan kesejahteraan dijadikan agenda bukan sahaja dalam erti kata kesihatan mental, bukan sahaja dalam erti kata mengukur tahap kepuasan penduduk tetapi yang lebih penting dari sudut menzahirkan masyarakat beradab dan bertamadun. Seperti dipesan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Hashimi (1904-1993) dalam kitabnya, Panduan Bangsa, “Saudara-saudara! Hendaklah diingati jalan kepada kebahagiaan ada di hadapan saudara-saudara. Dapatkanlah akan dia, pada pengetahuan, pekerjaan yang baik dan budi pekerti yang tinggi, dan hendaklah saudara berpertengahan pada segala perkara, dengannya kelak saudara akan berbahagia.”

Saya percaya pendekatan terbaik untuk negara dalam hal ini, mujurlah bukan melalui firma perunding antarabangsa mahupun melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebaliknya dengan merujuk dengan orang-orang yang benar-benar berkelayakan, yakni yang dikurniakan kebijaksanaan atau hikmah mengenai persoalan-persoalan luhur ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.