UNDANG-undang antilompat parti banyak kelebihannya. Yang penting, bolehkan parti yang ditimpa bahana perilaku sang pengkhianat, reset balik parti berkenaan.
Namun paling utama, undang-undang ini dapat bendung keruntuhan negara akibat ‘permainan’ kejam pelompat parti. Kerana pelompat partilah, demokrasi boleh ‘diniagakan’ sewenang-wenang. Akibatnya bahtera negara di lautan global terumbang-ambing, ekonomi di awang-awangan, rasuah ‘jual beli’ berleluasa, pelabur tarik hand brake, kepercayaan kian hilang, politik cacamarba dan akhirnya hala tuju Malaysia di persimpangan.
Krisis sebenarnya tunjukkan watak atau karakter seseorang. Sewajarnya apabila ada krisis, bangkitlah selesaikan. Itulah hikmahnya, membolehkan seseorang faham perjuangan sebenar parti politik yang dianggotai.
Bukannya menempel untuk rebut peluang, yang selepas bertukar kerajaan, terus ‘tukar baju.’
Akibat pukulan lompat ini, Barisan Nasional (BN) yang menang 79 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berbaki 41 kerusi sahaja. Lebih malang buat tonggaknya, UMNO yang daripada 54 kerusi diperoleh, cuma berbaki 38 akibat pukulan lompat ini.
Bukan UMNO sahaja terima penangan itu, Pakatan Harapan (PH) turut alami nasib serupa. Akibat ‘Langkah Sheraton’ 24 Februari 2020, kerajaan yang baru berkuasa masuk 22 bulan itu tumbang. Nampaknya ada ‘orang yang bijak cilok tang selekoh’ kaut laba politik. Tetapi karma juga, kerajaannya pun cuma mampu bertahan setakat 18 bulan.
Berikutan itu, Perdana Menteri kesembilan yang ambil alih hampir setahun ini akhirnya menoktahkan permainan si dedalu-dedalu yang hinggap di pokok-pokok nan rendang ini. Khamis lepas, 209 ahli Parlimen menyokong meluluskan rang undang-undang antilompat parti.
‘PESTA’ BERAKHIR
Selepas tiga dekad buntu dek terikat dengan satu kes lompat parti yang bertentangan Perlembagaan Persekutuan di Kelantan pada 1992, penyelesaian muktamad dicapai. Bertukar parti atau menjadi wakil Bebas selepas diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya mengakibatkan sang pelaku terlucut keanggotaan Dewan Rakyat.
Pelik sungguh politik Malaysia yang sejak dihambat ceritera lompat parti ini. Jika dulu-dulu bila setiap kali pilihan raya tiba, akan ada sahaja ahli-ahli yang keluar parti. Daripada parti itu ke parti ini. Itu musim pilihan raya menyaksikan banyak sesumpah, tetapi hari ini belum lagi berbahang pilihan raya, perbuatan lompat sudah berlaku – demi selamatkan ‘tengkuk’ daripada dihadap ke muka pengadilan atau diberi habuan jawatan dan wang ringgit.
Bagi wartawan seperti saya, jemputan sidang media mahu menjelaskan punca keluar parti sudah lumrah diterima sehingga keluar cakap-cakap ‘pesta keluar parti datang kembali.’ Biarpun begitu, ada ungkapan nakal dilontar, “Kalau selalu sangat keluar parti, tak meriahlah ‘pesta’ itu seperti karnival jualan murah hujung tahun.”
Benarkah perpecahan politik Melayu hari ini dek kerana perbuatan lompat parti? Saya tidak fikir begitu. Bukan sebab lompat parti maka kita dalam keadaan berceragah hari ini.
Tetapi kerana terjadi perpecahan politik Melayu itu, maksudnya kerana terlampau banyak parti Melayu. Adakah orang Melayu sedar bahawa lagi banyak parti mereka, lagi senang mereka dikalahkan?
JUARAKAN DIRI SENDIRI?
Sebenarnya masalah kita hari ini adalah tidak ada usaha, waima daripada mana-mana pihak sekarang untuk menyatukan semua parti Melayu. Kebanyakan pemimpin parti-parti Melayu hendak mencampin atau menjuarakan hanya untuk partinya semata-mata. Ini termasuk parti yang sudah kalah teruk, waima sebab apa pun.
Malangnya mereka ini tidak berfikir ke arah itu. Mereka masih berfikir ke arah, “Parti saya, parti saya, parti saya.” Jadi, sampai bila pun orang Melayu tidak akan mendapat kuasa politik majmuk.
Maka mesti diwujudkan satu muafakat nasional Melayu. Ini harus ada. Kalau tidak ada, rakyat, negara tidak akan berjaya. Tetapi siapa yang akan gerakkan?
Kita sewajarnya sudah sampai ke peringkat politik Malaysia harus diperkukuh. Jika tidak perpecahan terus berlaku.
Ini bermakna negara perlu lebih bergantung kepada konsep parti majmuk – semua parti boleh dan harus ada peranan dalam kerajaan. Cumanya berapa parti yang harus ‘dapat’, itu bergantung kepada satu catuan yang harus dibuat. Kelak barulah kita mempunyai satu kerajaan coalition yang mengandungi kepentingan-kepentingan semua pihak. Kalau diikutkan sekarang, tidak akan menjadi harmoni. Siapa pun yang menjadi kerajaan di sana akan jatuh dan akan dikongsikan dalam sistem pergolakan politik hari ini.
Maka, inisiatif mewujudkan muafakat nasional adalah kuasa politik Melayu. Ini penting kerana kalau tidak dibuat segera, kita tidak ada penyelesaian keluar. Dan Malaysia akan tergantungkah dalam mencapai matlamat hala tujunya sebab segala sekarang ini mementingkan parti-parti sendiri sahaja?
Waima apa pun, RUU antilompat parti diyakini akan menjulang wibawa politik Melayu, sekali gus Malaysia. – UTUSAN










