Malaysia parah jika orang politik fikir diri kingmaker - Dr. Sathia - Utusan Malaysia

Malaysia parah jika orang politik fikir diri kingmaker – Dr. Sathia

DR. SATHIA PRAKASH NADARAJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DR. SATHIA PRAKASH NADARAJAN, 44, antara muka baharu ditampilkan PKR hasil pemilihan parti itu baru-baru ini yang memperlihatkan keseriusan PKR untuk menyaingi musuh-musuh politiknya.

Menewaskan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui, 57, dalam pemilihan ketua cabang kawasan itu Mei lalu, pengasas rangkaian klinik Kumpulan SP Care itu percaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah pentas terbaik untuk rakyat memilih wakil rakyat yang berprinsip serta ada integriti.

“Orang macam saya kena buat semua dari bawah, dari kosong. Sehingga sekarang saya tak pernah terima apa-apa daripada mana-mana pihak.

“Boleh periksa latar belakang saya, kalau saya ada terima apa-apa kontrak kerajaan, saya akan tinggalkan kedudukan saya dan bekerja semula sebagai doktor biasa.

“Jadi, kita kena ada prinsip dan rakyat kena pilih individu yang berprinsip, itu penting. Bukannya cakap macam ada prinsip tapi rupanya ada agenda untuk kekalkan apa yang dia dah dapat sebelum ini,” katanya dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL baru-baru ini.

MAKNA BESAR PRU15

UTUSAN: Orang politik kini mula bercakap pasal PRU15. Apa makna PRU kepada Dr.?
DR. SATHIA: PRU15…ya, kalau fikirkan tentang masyarakat dan rakyat, mulakan segera untuk itu dan masalah kita selesai. Kalau semua (parti-parti politik) bergaduh, bertekak demi agenda masing-masing, takkan selesai apa-apa. Masalah terbesar kita sekarang ini adalah tuding menuding antara satu sama lain.

Baru-baru ini, kita dengar RM6.083 bilion sudah dibayar untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), tetapi satu kapal pun tak nampak (tak sampai di tangan TLDM). Benda-benda macam ini kita terkesan. Kalau benda macam ini, kita perlu siasat. Tetapi pada masa sama apa yang akan jadi pada kita? Macam mana nak stabilkan ekonomi negara, itu paling penting.

Ada kesankah kepada pelabur?
Setakat sekarang, disebabkan semua orang `bermain’ dengan tarikh PRU, pelabur mana nak datang ke negara kita, tak ada siapa nak datang. Kita tak tahu bila PRU tapi ada yang kata esoklah, beberapa hari mungkin, beberapa bulan mungkin.

Ada yang kata tahun depan, ada yang nak sekarang ada yang tak nak sekarang, tapi tak ada siapa fikir apa kesannya kepada ekonomi. Tak ada pelabur yang nak masuk, apa yang akan jadi pada negara kita, ia akan jadi tak stabil.

Sekarang pun tak stabil, lagilah tak ada duit masuk, keluar. Jadi semua orang cuba ambil kesempatan, semua cuba selamatkan tempat masing-masing. Dan sekarang tiba-tiba ada yang atas pagar…macam Zafrul (Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) orang (UMNO) nak dia (bertanding di Kuala Selangor) sebab kelebihan dia dalam bidang kewangan. Tetapi daripada mana dia dapat kelebihan dalam bidang kewangan, dari politik juga.

Mula-mula dia cakap dia tak nak masuk politik, dia kata cuma nak bantu rakyat, tapi sekarang dia nak masuk politik. Itu bukan cara yang betul. Ini bermakna dia gunakan duit untuk dapatkan kuasa dan nak kekalkan apa yang dia dah dapat sebelum ini, ini yang saya nampak. Ini tak sepatutnya berlaku, kamu buat benda tapi untuk benda lain.

SALAHKAH ZAFRUL BERTANDING?

Salahkah beliau (Zafrul) masuk politik?
Macam mana orang nak percaya, kalau kata orang nak dia sebab kelebihan dia dalam kewangan. Saya tak nafikan sebab sekarang (ekonomi) tengah teruk, tapi pada masa sama di mana prinsip kamu? Hari ini kamu cakap satu benda, esok kamu buat benda lain. Orang macam ini buat untuk kepentingan diri, nanti kalau partinya tak menang atau apa-apa, jadi, dia hanya atas pagar dan akan sokong mana-mana pihak untuk kepentingannya.

Bukankah akta antilompat parti kelak akan berkuatkuasa, sekali gus sesiapa pun termasuk Zafrul tidak boleh lompat?
Akta lompat parti sudah aktif, jadi dia tak boleh lompat. Tetapi dia akan cari jalan, sekarang dia ada ruang dan peluang kerana dia menteri kewangan, dia boleh gunakan duit. Jadi, peluang untuk menang adalah tinggi.

Sedangkan orang macam saya kena buat semua dari bawah, dari kosong. Sehingga sekarang saya tak pernah terima apa-apa daripada mana-mana pihak. Boleh periksa latar belakang saya, kalau saya ada terima apa-apa kontrak kerajaan, saya akan tinggalkan kedudukan saya dan bekerja semula sebagai doktor biasa.

Jadi, kita kena ada prinsip dan rakyat kena pilih individu yang berprinsip, itu penting. Bukannya cakap macam ada prinsip tapi rupanya ada agenda untuk kekalkan apa yang dia dah dapat sebelum ini. Semua orang tahu, kenapa kamu mahu berkuasa, untuk kekalkan apa yang kamu dah dapat.

Bukan sahaja Zafrul tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad pun masih mahu bertanding di usia 97 tahun dengan menerajui Gerakan Tanah Air (GTA). Komen Dr.?
Macam Tun, kenapa beliau asyik nak raih sokongan rakyat. Beliau cakap buat (GTA) untuk kaum Melayu, ini mengarutlah. Nak buat untuk kaum Melayu? Saya tak salahkan kaum-kaum lain tapi saya buat ini untuk lawan dengan parti Melayu lain, cukup mengarut.

Anda nak main isu perkauman tapi anda kata anda orang Malaysia. Ini tak patut. Kalau anda main (sentimen) kaum, orang boleh nampak jelas. Anda yang panggil orang Melayu pemalas, sekarang anda kata nak perjuangkan orang Melayu, apa yang anda dah buat selama 22 bulan? Anda itu Perdana Menteri (keempat dan ketujuh), anda sendiri yang main isu perkauman untuk dapatkan kedudukan, sekarang tengok apa jadi?

Orang Malaysia bukannya bodoh, mereka takkan pilih GTA lagi, mereka dah tahu, dah muak dengan anda. Anda kata nak bertanding 120 kerusi Parlimen bawah GTA. Kita semua boleh hidu permainan ini. Kalau GTA menang 10 peratus daripada kerusi yang ditandingi…sekurang-kurangnya 12 kerusi, anda (Dr. Mahathir) boleh kawal satu Parlimen itu nanti, dengan jadi kingmaker. Beliau tahu GTA tak boleh menang semua. Jadi, kalau GTA menang 10 atau 12 kerusi Parlimen, GTA akan jadi kingmaker. Inilah menyebabkan negara akan berdepan masalah yang sama lagi.

Bukankah biasa kingmaker muncul dalam mana-mana pilihan raya? Malah boleh menjadi semak dan imbang (check and balance)?
Cuma masalahnya apabila semua orang berfikir tentang (mahu jadi) kingmaker, apa yang akan jadi pada ekonomi kita? Ekonomi kita akan jadi bertambah parah, kita berisiko ‘menuju ke Sri Lanka’.

Sri Lanka pun main isu perkauman, mereka bergaduh dan banyak masalah berlaku, sekarang tengok apa jadi. Rakyat di Sri Lanka tak kisah dah…orang Ceylon ke, orang Islam ke, India ke, mereka semua hadapi bersama. Jadi, saya tak nak perkara macam ini berlaku di Malaysia. Kalau berlaku juga, habislah kita.

Kita akan ambil masa yang lama untuk bangkit, sebab kebanyakannya sudah terkeluar daripada hidup yang senang, sudah tentu ada yang berhijrah ke negara lain, itu saya tak nafikan. Tetapi macam mana dengan rakyat yang susah.

Justeru, politik mesti stabil, jangan gunakan tarikh PRU sebagai senjata hanya untuk main politik sahaja, tapi negara terkesan dengannya. Bila ada yang kata PRU hari ini ke esok…mungkin beberapa hari atau bulan. Bila bercakap macam itu, macam mana kerajaan nak buat kerja bila dah tahu PRU akan dibuat bila-bila masa.

Kalau dalam korporat, bila kita tak tahu apa akan jadi esok, adakah kamu boleh buat kerja ketika itu. Apa yang kamu akan buat, kamu akan fikir cukup duit tak, cukup tak untuk saya hidup, cukup tak untuk anak-anak.

Jadi, utamakan kestabilan dahulu, bukannya segerakan PRU?
Saya tak salahkan sesiapa, tapi cuma hari ini tak ada kestabilan. Sekurang-kurangnya bila kita sudah dekat PRU, mungkin Januari atau Februari tahun depan, kita kan ada PRU lima tahun sekali, jadi, ikut sahaja lah tempoh itu (penggal berakhir 16 Julai 2023). Ataupun kalau anda betul-betul nak bubarkan, anda rasa tak stabil, okay buatlah segera (awalkan PRU15).

Ini perlukan komitmen semua pihak untuk jayakan PRU?
Ya, semua orang yang terlibat dalam perkara ini perlu memikirkan tentang negara secara keseluruhan, bukan peribadi. Termasuklah raja-raja kita bersama Yang di-Pertuan Agong. Mereka kena buat keputusan, untuk kebaikan rakyat. Tak ada bagusnya buat rakyat tertanya-tanya.

Pelabur takkan masuk, negara tak stabil. Dalam lingkungan empat tahun ini sudah ada tiga Perdana Menteri. Ini contoh yang sangat tak stabil. Kalau sudah macam ini, bayangkan apa akan jadi kemudian. Siapa yang boleh selamatkan negara?

Saya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukan saya sengaja nak naikkan beliau, tidak. Kalau tengok pengalaman, beliau pernah jadi Timbalan Menteri, Menteri Pertanian serta Timbalan Perdana Menteri. Pengalaman ini cukup berharga.

Orang seperti ini sepatutnya menerajui negara untuk selamatkan negara. Tapi tengok apa jadi, disebabkan kepentingan peribadi, kita menjadi semakin mundur. Tak pergi ke mana-mana pun.

Nak salahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tak boleh juga. Tun Mahathir berkuasa selama 22 bulan, sekarang semakin banyak benda yang keluar, semuanya dikawal oleh Tun M. Jadi, tak ada siapa boleh buat apa-apa.

Dalam soal subsidi contohnya, bagaimanakah sepatutnya ia diuruskan?
(Kenderaan) dari Singapura, mereka tuang petrol (masuk ke Malaysia) yang paling murah. Dari Thailand pun (yang masuk) tuang petrol yang paling murah. Kita semua tahu ia (subsidi kita) disalah guna.

Hendak beli barang murah, siapa yang dapat manfaat. Warga asing. Dia akan gunakan pekerja dia untuk belikan barang, ini semua disalah guna. Subsidi ditarik balik tidak apa, tetapi yang teruknya kita tanggung RM8 bilion subsidi setiap bulan.

Apa penyelesaian isu ini?
Kalau kita boleh tolong mereka yang berusia 60 tahun ke atas, sejumlah RM8 bilion ini boleh tolong lapan juta orang dengan peruntukan RM1,000 seorang. Semua orang tua akan dijaga macam emas. Jadi, kita selesaikan dua masalah pada masa sama, ayah, ibu, datuk, nenek takkan dibiarkan dan pada masa sama mereka akan dapat wang yang secukupnya.

Kalau mereka ada bisnes, jangan bagi pada mereka. Kalau mereka ada pencen RM500, tambah RM500 sahaja. Kalau lebih daripada itu, tak payah beri kepada mereka. Jadi, kita boleh selesaikan banyak masalah.

Tetapi apa gunanya kalau duit itu diberikan kepada orang yang betul-betul tak perlukan, tapi mereka tetap dapat. Kita tahu BR1M diberikan kepada ramai yang tak layak pun dapat juga, yang betul-betul layak tak dapat. Jadi, Bank Negara kena kawal. SSM pun boleh kawal. Apa-apa duit masuk, mereka boleh dikenalpasti terutama untuk 60 tahun ke atas.

Pengalaman Dr. sendiri turun padang di Hulu Selangor?
Di Ulu Selangor, bila saya turun padang, saya kasihan dengan warga tua. Bukan nak kata anak-anak tak jaga, tapi mereka jaga dalam keadaan terdesak juga kerana tak cukup wang untuk mereka menjaga ibu, ayah.

Bayangkan, setiap ibu atau ayah yang berusia 60 tahun ke atas ada RM1,000, ingat mereka nak jaga ke. Kalau yang kewangannya okay, mereka tak perlukan, tetapi bayangkan di kawasan pedalaman. Subsidi dalam bentuk ini lebih baik. Orang-orang tua pun nak subsidi, mereka dapat lebih banyak duit sekarang ini. Tapi bila bincang, kita kata malas (membincangkan isu ini). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya