Kisah tembakau, rokok dan RUU

Kisah tembakau, rokok dan RUU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika dahulu tembakau menjadi antara tanaman utama yang menjana pulangan besar kepada petani. Misalnya, satu ekar ditanam tembakau jauh lebih besar hasilnya berbanding keluasan sama ditanam padi. Inilah antara tarikan utama petani di tanah kering dan berpasir memilih tembakau.

Penjagaannya agak khusus dan akar tidak boleh terendam lama. Kalau beberapa jam dilanda banjir kilat, pokok tembakau akan layu dan mungkin mati.

Sekalipun cerewet dan manja, hasil diperoleh memberikan kegembiraan kepada petani. Ketika itu hingga akhir dekad 1980-an, media cetak dan saluran televisyen pula begitu rancak menyiarkan iklan rokok. Rokok menjadi salah satu produk tembakau yang dipromosi sebagai satu gaya hidup.

Adakah rokok ketika itu tidak bahaya seperti sekarang? Semua rokok sama sahaja kesan buruknya pada kesihatan manusia. Hanya iklan yang menyebar propaganda kebaikan rokok dan sesetengah kita terus mempercayainya.

Kalau diambil garis masa sejak merdeka sahaja sudah berpuluh tahun tembakau dan rokok menjadi gaya hidup yang membumi dalam kalangan masyarakat. Mengatakan keburukan rokok dan tembakau tentu sahaja dianggap aneh. Tidak merokok pula dianggap hilang kesempurnaan hidup.

Ketika itu bukan sahaja orang kampung, kerajaan juga tidak ada kesedaran tentang bahaya rokok dan produk tembakau. Ketidaksedaran terhadap bahaya tembakau dibuktikan dengan tertubuhnya Lembaga Tembakau Negara (LTN).

Budak-budak yang ketagih TikTok sekarang jangan terkejut bahawa suatu masa dahulu kerajaan mewujudkan sebuah lembaga bagi membantu penanam tembakau. Malah tembakau pula hanya digunakan untuk menghasilkan rokok. Tentulah pelik kalau kerajaan melarang rokok tetapi menyokong penanaman tembakau.

Penanam tembakau mungkin tidak tahu kesan buruk rokok yang sudah banyak menjadi topik utama di persidangan kesihatan peringkat antarabangsa. Tetapi dengan berdirinya LTN, mereka boleh memahami isyarat bahawa tembakau tidak mendatangkan bahaya kepada manusia.

Tentu banyak tertanya-tanya, di manakah pakar-pakar kesihatan kita waktu itu yang tidak memberi nasihat kepada kerajaan berkenaan bahaya tembakau? Malah dari semua sudut – agama, moral dan kesihatan, tidak ada satu pun menganggap rokok suatu yang baik.

Hanya sejak hampir dua dekad lalu, penanaman tembakau menjadi semakin mengecil selepas kerajaan secara berperingkat menghentikan subsidi. Sejak 10 tahun lalu pula nama LTN ditukar menjadi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Kempen larangan merokok dan kesan buruk produk tembakau membuatkan banyak petani beralih pada pertanian lain terutama kenaf sekalipun pulangan lebih rendah.

Kini hampir semua kawasan penanaman tembakau diganti kenaf. Golongan petani memperlihatkan pertimbangan moral yang tinggi apabila sanggup berkorban menghentikan tanaman tembakau. Mereka sanggup berkorban demi kepentingan umum berbanding peribadi.

KAPITALIS

Penanam tembakau yang sebahagian besar terdiri daripada orang kampung rata-rata tidak berpendidikan tinggi. Mereka tidak banyak soal apabila kerajaan mengalihkan tembakau pada tanaman lain yang lebih kecil hasil pendapatannya. Mereka tidak mahu bersekongkol dengan kapitalis yang terus mencari helah menjadikan produk tembakau sebagai gaya hidup.

Buktinya sejak 2020, pengilang tempatan terpaksa mengimport 100 peratus bahan tembakau. Walaupun begitu, kerajaan tidak bertegas dalam isu rokok berbanding penanam tembakau.

Hasilnya, banyak kempen antimerokok sekadar melepaskan batuk di tangga.

Suatu ketika dahulu, kerajaan melancarkan kempen antimerokok, Tak Nak selama lima tahun dengan belanja RM5 juta. Kempen menggunakan gambar rokok patah itu sama seperti banyak kempen sebelumnya, gagal sama sekali. Malah menjadi bahan jenaka, ‘rokok patah memang orang tak nak.’

Disebabkan gaya hidup merokok sudah terlalu lama berakar umbi, apa sahaja berkaitan rokok jadi kontroversi. Tidak banyak pemimpin politik yang sanggup bertegas menolak rokok.

Mereka bimbang kehilangan sokongan dalam pilihan raya.

Lihat sahaja kecaman disasarkan kepada bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zulkifli Ahmad yang membuat peraturan supaya individu merokok mesti menjauhkan diri sekurang-kurang tiga meter dari orang lain. Malah beliau juga menambah kawasan larangan merokok termasuk di hentian di sepanjang lebuh raya.

Bagaimanapun selepas bertukar menteri, dalam warung pun sudah banyak yang merokok. Peraturan tiga meter sudah diabaikan, seolah-olah itu peraturan oleh menteri, bukannya kerajaan.

Penguatkuasaan semakin lemah dan perokok mengambil hak mereka yang memilih hidup sihat tanpa rokok.

Ketika ini dianggarkan 4.7 juta remaja berusia 15 tahun dan ke atas menjadi perokok tegar. Bayangkan masa depan remaja ini sekiranya tidak ada satu pelan tindakan jangka panjang untuk membawa mereka keluar daripada belenggu ketagihan kronik?

Kerajaan pula hanya berjaya mengutip cukai lebih kurang RM3 bilion atau 40 peratus daripada rokok yang beredar di pasaran. Baki 60 peratus adalah rokok diseludup dari negara jiran. Ini membuatkan kerajaan kehilangan 60 peratus daripada cukai yang sepatutnya dikutip dari pasaran.

Kerajaan pula terpaksa menanggung beban sekitar RM6 bilion setahun untuk merawat penyakit berpunca daripada tabiat merokok. Lebih menggerunkan apabila kos itu dijangka meningkat hingga RM8 bilion menjelang 2030.

Belanja rawatan itu ditanggung oleh rakyat yang sebahagian besarnya tidak merokok. Bayangkan berapa banyak projek pembangunan yang boleh dilaksanakan dengan peruntukkan RM6 bilion sekiranya tidak digunakan untuk merawat perokok?

Masalah rokok belum selesai, timbul pula isu vape. Vape bukan alternatif atau kurang bahaya berbanding rokok. Entah siapa yang menyebarkan maklumat palsu hingga timbulnya masalah baharu yang jauh lebih tenat.

Oleh hal demikian, ahli-ahli Yang Berhormat (YB) di Parlimen perlu menunjukkan kebertanggungjawaban terhadap masalah ketagihan rokok. Caranya dengan menyokong Rang Undang-

Undang Akta Kawalan Tembakau yang akan dibentangkan untuk bacaan pertama, minggu ini.

Antara terkandung dalam akta ini ialah remaja yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2005 dilarang membeli produk tembakau. Ini bermakna mereka berusia 17 tahun pada 2022 menjadi generasi pertama bebas rokok.

Walaupun begitu, semua ini bergantung kepada YB-YB kita. Kalau mereka lebih menjaga sokongan dalam pilihan raya, ke laut jugalah RUU akta ini. Kembalilah kita pada titik mula yang terus membawa binasa. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN