SEBAIK sahaja tiba di asrama, saya terus mencari tempat sesuai untuk menggantung Jalur Gemilang. Terkenang aktiviti tahunan keluarga setiap kali menjelang tibanya 31 Ogos. Betapa meriahnya suasana apabila saya dan kakak-kakak menghiasi rumah dengan deretan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik.
Bagi saya, Jalur Gemilang melambangkan jati diri dan identiti negara bangsa. Kibarannya mencetuskan rasa bangga dan cinta kepada negara.
Malangnya, masih ada yang melihat bendera negara hanya sekadar hiasan dan mengibarkan tanpa mematuhi protokol. Kadangkala dalam keterujaan kita menyambut Hari Kebangsaan, ada yang terlupa Jalur Gemilang ialah lambang negara dan bukannya sekadar aksesori sambutan hari bersejarah.
Cinta kepada negara harus dipupuk sejak kecil supaya rakyat cintakan tanah watannya serta sanggup berkorban demi negara bangsa. Saya sering mengingatkan diri dengan kata-kata hikmah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kata Tunku, “Tidak ada tempat lagi yang kita hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita.”
Justeru, kita bertanggungjawab menjaga negara ini serta mempertahankan kedaulatannya. Seperti kata orang tua-tua, hujan emas perak di negeri orang; hujan keris lembing di negeri kita; baik juga di negeri kita. Jangan sampai kita menjadi seperti si Kitul yang sanggup menabur fitnah sehingga runtuhnya kerajaan Melayu Melaka.
PATRIOTIK
Orang muda harus mengenali negara mereka sendiri sebelum mendabik dada mengaku diri sebagai rakyat yang patriotik. Bagaimana mahu membentuk sahsiah dan jati diri jika tidak tahu siapa sebenarnya kita ini? Dalami dahulu sejarah perjuangan negeri-negeri Melayu sejak beratus tahun lalu dan hayatilah pengorbanan raja-raja Melayu untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan tidak bertanah tanpa ihsan raja-raja Melayu. Sejarah tanah air kita bukanlah baharu bermula 65 tahun lalu seperti sering disalah ertikan oleh sesetengah pihak.
Tanah Melayu ialah tanah berdaulat dan kita sebagai rakyat yang taat kepada negara harus mempertahankan kedaulatannya. Jangan kita mahu mengubah hukum yang tertulis demi kemodenan dan kemajuan material. Jangan sampai kita malu untuk mengangkat martabat budaya bangsa sendiri kerana terlalu menjunjung tinggi budaya luar. Jangan kita leka dan membiarkan pemikiran kita dijajah atas nama kemodenan dan kemajuan. Prinsip dan kedaulatan negara harus kita junjung dan pertahankan, bukannya diubah-ubah mengikut acuan pemikiran luar. Berpijaklah di bumi nyata dan jangan sampai hanyut dan leka sehingga terlupa siapa diri kita.
Semoga Hari Kebangsaan yang bakal menjelang mencetuskan kesedaran serta menyemarakkan semangat patriotik dalam diri setiap rakyat khususnya anak-anak muda sebagai pewaris negara. Sambutlah Hari Kebangsaan dengan penuh semangat patriotik dan kesyukuran kepada Allah di atas segala rahmat-Nya.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-65. Semoga Malaysia sentiasa dipelihara dan diberkati Allah serta dijauhkan daripada segala musibah dan malapetaka. Amin. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










